SU Agung Umno minta saya keluar parti - Kadir

Nazri Abdullah
SERI KEMBANGAN, 26 Mac: Bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata antara faktor beliau keluar Umno kerana beliau menjadi sasaran terancang media arus perdana selepas menegur sikap Umno.

Ia ditambah lagi dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor minggu lalu yang mencabarnya keluar dari Umno selepas tidak selesa dengan kritikannya.

"Saya telah menjadi sasaran kritik yang begitu hebat oleh media massa arus perdana kepunyaan parti saya sendiri ketika itu. Jelas ia dibuat secara terancang dari pihak berkuasa.

"Ini diikuti pula oleh Setiausaha Agung Umno sendiri meminta saya keluar parti...hanya kerana itu. Maka saya keluarlah sebagai ahli Umno yang telah saya abdikan segala jiwa dan raga saya selama 56 tahun," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Alasan tersebut sebagai penjelasan kenapa beliau bertindak isytihar keluar Umno pada 19 Mac lalu.

Antara kritikannya kepada Umno sebelum ini, beliau mendakwa parti itu telah terpesong dari perjuangan asal berbanding sewaktu penubuhannya.

Veteran Umno itu juga mendakwa rasuah, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa termasuk 'kronisma mega' secara berleluasa sedang berlaku dalam parti itu sehingga kekayaan negara hanya berlegar disekitar kelompok tertentu dan tidak sampai kepada rakyat.

Tambahnya, ada juga yang perlu membayar wang kepada rakan-rakan seperjuangan sendiri untuk mendapatkan tempat dalam parti termasuk jawatan tertinggi.

Abdul Kadir juga sebelum ini mendedahkan Umno menabur wang di kampung-kampung untuk beli undi pilihan raya dan menuntut tindakan 'hodoh dan jijik' itu dihentikan segera.

Bagaimanapun kritikan-kritikannya itu disifatkan oleh pemimpin Umno sebagai menghentam parti dan beliau kemudian menjadi mangsa serangan media arus perdana sehingga ada desakan agar beliau keluar Umno.

Aktif politik semula

Dalam pada itu beliau yang juga bekas menteri penerangan dan komunikasi, hari ini tetap mempertahankan segala dakwaannya terhadap Umno malah berkata ianya baik untuk dikaji.

Beliau juga menegaskan akan kembali semula untuk aktif dalam politik selepas lama bersara untuk menumpukan kepada perniagaannya sebelum ini.

"Dengan ini saya isytiharkan berhenti daripada bersara dan akan membawa perjuangan Umno (yang lama) di tempat yang lebih sesuai," katanya.

Ditanya sama ada akan menyertai mana-mana parti politik, Abdul Kadir berkata beliau setakat ini hanya mahu menumpukan kepada Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) yang beliau kini sebagai timbalan presiden.

Namun katanya, ia bergantung kepada keadaan selepas ini.

"Ramai pemimpin Pakatan Rakyat kebetulan kawan-kawan saya pujuk saya, tapi saya buat keputusan sendiri.

"Buat masa ini dengan NGO (Amanah), perkara lain belum terfikir, tengok keadaan la. Kalau depa tabuh (serang) kuat sangat, kita terjun la", katanya sambil tersenyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan