Beli coklat dapat percuma ulat

NURUL FATIHAH SULAINI
Beli coklat, percuma ulat
ALOR SETAR - Rasa geli dan loya!, ­begitulah yang dihadapi tiga beranak ­apabila hasrat menikmati coklat yang baru dibeli dari sebuah pasar raya terbantut ketika melihat beberapa ekor ulat keluar dari kepingannya.

Ahmad Pouzai, 55, bersama isteri dan anaknya mula menyedari keadaan luar ­biasa coklat itu apabila membuka ­lapisan pembungkus coklat ketika ­berada dalam kereta selepas selesai membeli ­barangan keperluan kira-kira jam 10.50 pagi semalam.

“Entah kenapa tiba-tiba timbul perasaan ingin mencuba coklat ini, mungkin kerana keluaran tempatan dan ­diedarkan ke luar negara seperti United Kingdom, Hong Kong serta Singapura sedangkan saya sendiri tidak pernah membelinya ­sebelum ini.

“Sebagai langkah berwaspada ­setiap kali membeli, saya membaca dulu label kandungan coklat, tarikh halal dan yang pastinya tarikh luput coklat itu pada 16 Januari tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad berkata, isterinya sempat ­makan sedikit coklat berkenaan kerana belum menyedari kewujudan ulat yang ada pada bahagian bawahnya sebelum ­berkongsi bersama.=

“Namun, sewaktu saya ingin mematahkan kepingan coklat seterusnya, saya perasan seekor ulat jatuh ke ­tempat ­duduk sebelum membuat ­keputusan memeriksa keseluruhan coklat dan menemui tiga ekor ulat.

“Walaupun sebelum ini pernah ­mendengar kejadian serupa berlaku pada orang lain, namun tak sangka kali ini kami pula terkena,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad berharap pihak pengurusan syarikat pengeluar coklat itu lebih prihatin terhadap produknya termasuk mengutamakan ­aspek kebersihan serta memeriksa kembali tarikh luput sebenar coklat.

“Saya sendiri sudah tidak berminat untuk membeli coklat jenama ­berkenaan selepas ini. Jika ingin membelinya saya akan mencari jenama lain atau yang biasa dibeli,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail berkata, syarikat pengeluar coklat perlu lebih berhati-hati dalam memastikan kualiti bahan serta produk dihasilkan sentiasa terjaga.

“Kita tidak mahu kejadian ­seperti ini turut berlaku di tempat lain ­kerana coklat yang sama diedarkan ke ­negara luar. Imej baik produk tempatan akan terjejas jika ada pembeli di negara ­berkenaan terbeli coklat sudah berulat.

“Sepanjang tahun ini, kita sudah ­menerima empat hingga lima kes yang melibatkan produk makanan tercemar serta berulat. Kita akan menghantar notis kepada syarikat terbabit untuk ­memastikan mereka mengambil langkah ­sepatutnya bagi mengatasi masalah berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan