Durian runtuh: Janji Najib kabur, dahului mahkamah

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 1 April: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai pemberian "durian runtuh" kepada peneroka Mei depan sebagai terlalu kabur dan dan mendahului keputusan mahkamah.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, hal ini kerana keputusan mahkamah berhubung permohonan injunksi lapan peneroka bagi menghalang Koperasi Permodalan Felda (KPF) melupuskan ekuitinya dalam Felda Holdings Berhad (FHB) kepada FGVH hanya akan diketahui esok.

"Pengumuman Perdana Menteri peneroka akan durian runtuh masih terlalu kabur kerana kita belum tahu keputusan mahkamah berpihak pada peneroka atau Felda.

"Jadi bagaimana beliau boleh kata akan beri durian runtuh dan akan senaraikan FGVH ke Bursa Malaysia sedangkan kes masih lagi dalam perbicaraan mahkamah," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Mazlan juga kesal dengan sikap Najib yang dilihat membelakangkan pandangan dan tuntutan sebahagian besar peneroka yang tidak mahu FGVH disenaraikan.

Beliau berkata, Anak masih menunggu maklum balas daripada Najib untuk mengadakan perbincangan dengan mereka selepas menyerahkan memorandum bantahan ke pejabat perdana menteri itu Jumaat lalu.

"Hari Jumaat lepas kita baru serah memorandum dan tandatangan bantahan peneroka, PM sudah sebut tentang durian runtuh dan penyenaraian. Berkecai hasrat peneroka.

"Pegawai yang menerima memorandum berjanji akan memanjangkannya kepada Perdana Menteri. Jadi kami menunggu respon daripada Datuk Seri Najib untuk bertemu dan berdialog dengan kami, mendengar sendiri pandangan kami," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Semalam, Najib dalam program pemimpin bersama peneroka dilaporkan berkata, jumlah durian tuntuh yang bakal diterima peneroka akan diumumkan Mei depan yang disifatkan bakal membuatkan para peneroka "tersandar, rebah dalam kejutan".

Mengulas perkara tersebut, Mazlan berkata, Najib berulang kali memberi harapan kepada peneroka bagi memastikan usaha penyenaraian FGVH terlaksana.

"Saya yakin Najib cuba membohongi rakyat dengan terus memberikan harapan kepda peneroka.

"Harapan demi harapan deberikan kepada peneroka, asalkan FGVH disenaraikan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan