Usaha jadikan Tok Pa MB

SAFAR JUMAAT
ANGAN-ANGAN Umno-BN mahu menawan Kelantan bukan cerita baru. Malahan, tiap kali sampai musim pilihan raya, maka datanglah mereka yang bernama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dan timbalannya kepada rakyat dengan membawa janji baru.

Janji baru dan dalam masa yang sama, kritikankritikan keras mengatakan rakyat Kelantan semakin jauh ketinggalan, berbakulbakul mereka usung cemuhan kononnya, jika mahu maju dan membangun, hanya dengan memilih Umno-BN.

Tiap kali mereka ini datang, tiap kali juga rakyat Kelantan menolak mereka.
Namun, angan-angan tersebut nampaknya lebih dahsyat kali ini. Mereka menjanjikan seorang Menteri Besar bernama Mustapa Mohamed yang kini merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Lebih menarik, angan-angan tersebut mendapat sokongan bekas Bendahari Umno, Tun Daim Zainuddin. Dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar arus perdana, Daim menyebut, Mustapa adalah seorang lelaki yang kuat bekerja dan boleh bekerja terus selama 18 jam sehari.

Maknanya, Daim hanya tahu dalam Umno, hanya Mustapa yang boleh bekerja seperti itu dan yang lain-lain, beliau tidak sudi menyebutnya. Mungkin, kerana Daim tidak kenal dengan yang lain-lain, kecuali seorang lelaki yang bernama Mustapa, Ahli Parlimen Jeli.

Daim mahu kenyataannya menjadi serampang dua mata.

Pertama, ditujukan kepada PM Najib Tun Abd Razak bahawa tidak rugi mengetengahkan Mustapa dan kedua, kepada rakyat Kelantan, sokonglah Umno-BN untuk melihat Mustapa yang dikatakan rajin bekerja menjadi Menteri Besar.

Ada juga kawan-kawan yang sambil bergurau memberitahu, mungkin serampang tiga mata, bagi meletakkan Mustapa sebagai salah seorang Naib Presiden Umno, jika tahun ini ada pemilihan dalam Umno.

Dulu, Umno memprojekkan Dr Awang Adek Hussein sebagai bakal MB Kelantan, jika Umno- BN menang pilihan raya.

Malangnya, Dr Awang Adek tewas kedua-dua kerusi yang ditandingnya, Dun dan Parlimen Bachok.

Kedua-duanya, Mustapa dan Dr Awang Adek adalah anak jati Bachok. Tetapi Mustapa tidak berani bertapak di Bachok kerana cengkaman bekas Ketua Umno Bahagian itu, Dato’ Ahmad Shahibuddin Md Nor suatu ketika dahulu, tetapi kemudiannya, untuk memberi laluan kepada Dr Awang Adek, Ahmad Shahibuddin dikorbankan.

Kali ini, Dr Awang Adek, seperti memahami permainan dan sepak terajang politik Umno, menyokong Mustapa dinamakan semula sebagai bakal MB Kelantan jika Umno-BN menang.

Kali ini, berebut-rebutlah mereka yang merasakan diri mereka layak menjadi Adun di Kelantan, melobi Mustapa.

Dalam Umno Bahagian Pasir Puteh, yang mempunyai satu kerusi Parlimen dan empat kerusi Dun, khabarnya ada 13 orang berebut menjadi calon. Masing-masing sedang menyusun strategi dan melobi di peringkat Pusat.

Di bahagian-bahagian lain juga begitu. Mereka di dalam Umno Kelantan sebenarnya “pelakon-pelakon wayang kulit” yang cukup hebat.

Mereka bergaduh siang dan malam. Malahan, mereka akan memastikan kawan-kawan sendiri kalah dalam pilihan raya hanya kerana mereka tidak diberi peluang menjadi calon.

Kalau sesiapa boleh memandang lebih jauh, Mustapa sebenarnya menjadi calon PM pilihan Daim. Malangnya, Mustapa tidak pernah menang pemilihan Naib Presiden Umno.

Penerimaan orang Umno kepada Mustapa, dia seorang menteri yang tidak melayan orang Umno dan tidak perlu disokong menjadi Naib Presiden.

Daim dengan berbekalkan “ramalan tepatnya mengatakan tiga negeri kalah” dalam PRU12, membuat ramalan kali ini, semua negeri menang semula tetapi dalam masa yang sama, meminta perwakilan dan bahagian-bahagian Umno “menyokong” Mustapa untuk naik lebih tinggi dalam politik.

Dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Cina, Daim menyebut bahawa PM Najib perlu undur jika prestasi BN tidak lebih baik dari keputusan PRU12 yang lalu.

Katanya lagi, siapa yang bakal menggantikan Najib hendaklah diserahkan kepada Umno (pemilihan parti) kerana Daim dipercayai mahu perwakilan Umno memilih Mustapa sebagai penganti PM Najib dan bukan Muhyiddin Mohd Yassin yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Politik ini tafsiran. Apa juga yang Daim katakan, ia boleh ditafsirkan mengikut kefahaman landskap politik Umno. Dalam Umno, memang ada tangantangan ghaib yang menyusun perjalanan politiknya.

Jika Najib tidak sedar lagi, bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memilihnya dahulu mengantikan Anwar Ibrahim sebaliknya memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi, nescaya Umno akan kembali bergolak seperti yang pernah berlaku dalam tahun 1987, apabila Tengku Razaleigh hamzah bertindak menentang Dr Mahathir.

Jika Umno-BN masih memerintah di peringkat Pusat, Daim hanya nampak bahawa Mustapalah patut menjadi PM dan bukan Najib atau Muhyiddin.

Dalam masa yang sama, jika Umno-BN memerintah Kelantan, Daim hanya nampak, Mustapalah yang layak menjadi MB. Tapi kalau di Pusat, BN memerintah, Daim mestilah mahu Mustapa menjadi PM dan Kelantan, terserahlah kepada sesiapa yang Mustapa mahu.

Lucu sebenarnya politik Umno ni. Penuh dengan sandiwara, Mustapa tidak memerlukan sesiapa mengatakan dia bagus kecuali mendapatkan suara Daim yang jarang-jarang keluar di media massa.

Tidak ada siapa yang tahu bagaimana hubungan Daim dengan Dr Mahathir. Ada yang mendakwa, mereka tidak sehaluan dan ada juga yang mengatakan, mereka berdua tidak boleh bersua muka.

Daim juga menggunakan kesempatan dalam wawancara tersebut untuk menyerang Anwar Ibrahim. Dan itulah sebenarnya tujuan wawancara tersebut, bagi menyerang Anwar yang sudah lama “menjadi musuh” kepada orang-orang Umno.

Cerita-cerita lain, tidak begitu mustahak sebenarnya.

Menyerang Anwar adalah “perkara wajib” kepada manamana pihak, khususnya bekas pemimpin Umno jika mendapat tempat dalam wawancara media masa arus perdana.

Tujuan wawancara tercapai. Dalam masa yang sama, Daim memasukkan jarum untuk disampaikan kepada umum bahawa Mustapalah yang layak menjadi MB Kelantan dan layak juga menjadi PM Malaysia. Itu keinginan yang hendak diuar-uarkan dan niat tersebut tercapai sudah.

Cuma, satu hal yang Daim kena tahu, orang Kelantan bukan seperti yang Daim faham.

Orang Kelantan masih kukuh pendirian mereka, mahukan PAS memerintah mereka. Walaupun pembangunan disekat dan nampak lembab, tetapi yang pasti rasuah tidak berlaku di zaman pemerintahan PAS.

Orang Umno heboh bercakap soal air Kelantan. Mereka sebenarnya geram dan mengidam mahu mengambil alih kerajaan negeri untuk “perniagaan” mereka. Air adalah lubuk membuat kekayaan bagi orang-orang Umno seperti apa yang berlaku di Johor dan Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan