Lim Hong Siang
Seribu satu cerita di sebalik BERSIH 3.0 - apabila golongan paling konservatif untuk turun ke jalan raya, akhirnya memberanikan diri untuk berbuat demikian pada 28 April 2012.
Satu perkongsian pengalaman semalam, di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, membariskan panelis daripada pemain muzik, Yap Lian Tat (Tatmo), seorang ibu, Tan Phaik Ean, pelajar sekolah menengah, Lau Dian Yi dan seorang peguam muda, Chris Kooi, menarik kira-kira 150 orang hadirin.
Malah pengalaman hadirin tidak kurang menarik, menyaksikan perubahan yang berlaku pada mereka - sebelum, semasa dan selepas perhimpunan BERSIH 3.0. Forum ini dianjurkan bersama oleh Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, Alumni Kolej New Era, MerdekaReview dan Malaysiakini.
Agak suka "1Malaysia"
Tan Phaik Ean, seorang ibu menceritakan bagaimana impak perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 terhadap dirinya. Beliau sekeluarga baru pulang ke Malaysia dari luar negeri pada tiga tahun yang lalu. Tan Phaik Ean agak suka slogan 1Malaysia, dan amat berpuas hati dengan prestasi pemimpin kerajaan Malaysia. Sehinggalah perhimpunan BERSIH 2.0, "mulut celupar" dua orang pemimpin kerajaan - seorang bertukar dari pemimpin yang diseganinya kepada pemimpin yang paling fobia terhadap perhimpunan; dan seorang lagi menjadi pengkaji halatuju angin (menyindir Menteri Kesihatan Liow Tiong Lai) - telah menyemarakkan api dalam hatinya. Akhirnya Tan Phaik Ean mengambil keputusan untuk turun ke jalan raya.
Di sini Facebook memainkan peranan yang penting. Tan Phaik Ean (gambar kanan) secara berseloroh memberi amaran, jangan memperlekehkan golongan suri rumah tangga. Mereka mempunyai masa yang cukup untuk melayari Facebook sementara menunggu supnya masak di dapur. Maklumat dikongsi dan diserap melalui Facebook.
Tan juga berkongsi bagaimana interaksi dirinya dengan anak perempuannya yang belajar di kolej. Anak perempuannya tidak senang setiap kali Tan Phaik Ean berkongsi maklumat "politik" di laman sosialnya. Pernah anak perempuannya mengugut untuk "un-friend" atau "block" ibunya, tetapi tidak pernah dia memadamkan apa yang dikongsikan itu. Pada 28 April, Tan mengajak anak perempuannya turun ke jalan raya. Dan anak perempuannya yang pada mulanya berasa "malas untuk berjalan", diugut sebaliknya oleh ibu, "Jangan suruh saya bawa kamu dengan kereta bila kamu nak pergi mana-mana nanti".
Akhirnya anak perempuannya pergi. Dan selepas melalui segala-galanya, anak perempuannya meluru ke dalam bilik untuk memperbarui status Facebooknya sebaik sahaja tiba di rumah. Anak perempuannya menulis, "Wahai, kawan-kawanku, saya faham perasaan kamu. Sebelum ini saya juga sama dengan kamu, iaitu saya akan anggap segala maklumat BERSIH dan Lynas adalah "spam". Tetapi mulai sekarang, saya tak kisah andainya kamu jauhkan diri dari maklumat BERSIH yang ingin saya kongsikan, sebab saya mempunyai 'feeling' yang terlalu BERSIH."
Bukan sahaja pengalaman dirinya, malah Tan Phaik Ean turut berkongsi pengalaman rakan dalam Facebooknya. Seorang ibu menelefonnya, bertanyakan sama ada "selamat" untuk turun ke jalan raya pada 28 April. Tan Phaik Ean cuba menjelaskan apa yang diketahuinya kepada ibu tersebut. Pada hari keesokan, seorang penuntut kolej berumur 18 tahun menelefon Tan Phaik Ean, mendakwa dirinya anak kepada ibu tersebut. Budak itu memberitahu Tan Phaik Ean, ibunya adalah orang yang paling pengecut dalam keluarganya. Tetapi semalam ibunya memberitahunya, bahawa seandainya perlu ada satu wakil dari keluarganya untuk menyertai BERSIH 3.0, maka ibunya akan mewakili keluarganya.
Tan Phaik Ean berkata, "Tengok, demi anak, seseorang ibu sanggup melakukan apa-apa sahaja!"
Buang prejudis terhadap kaum lain
Secara jujur, Lau Dian Yi tidak banyak berfikir tentang politik selepas menghadiri perhimpunan BERSIH. Tetapi beliau mendapati sesuatu yang berubah dalam dirinya, antaranya prejudis terhadap kaum lain.
Sesungguhnya jalan raya adalah bilik darjah yang terbaik. Lau Dian Yi (gambar kiri) berkata, pelajar sekolah menengah seperti mereka mempunyai prejudis yang tidak baik terhadap kaum lain. Misalnya, mereka sering mengumpamakan kaum Melayu dengan sejenis binatang, dan ia adalah diskriminasi secara tidak langsung. Dan selepas menghadiri perhimpunan BERSIH 3.0, Lau Dian Yi berkata, "Saya dapati Melayu bukan musuh kita. Musuh kita adalah golongan yang bersifat perkauman dan ekstremis."
Berbeza dengan kebanyakan orang yang mungkin pertama kali berdepan dengan FRU, pemain muzik Rock, Yap Lian Tat (Tatmo) telah berpengalaman dalam demonstrasi jalanan lebih awal lagi. Beliau tidak menyertai perhimpunan semasa zaman Reformasi, tetapi sempat menghadiri perhimpunan protes harga minyak naik dan harga tol naik. Menurut rakannya yang lebih tua, demonstrasi jalanan adalah medan rock yang paling rancak - jiwa rock yang sebenar.
Malah Tatmo (gambar kanan) pernah menyertai HINDRAF, menyifatkan bahawa peserta demonstrasi itu "tidak gentar" untuk berdepan dengan polis. Kali ini, Tatmo menganggap bilangan peserta yang hadir menjadi kelebihan kepada BERSIH. Beliau yang berada di barisan agak depan mendedahkan bahawa terdapat orang yang cuba menghasut mereka untuk membaling batu ke arah polis.
Suara bantahan
Chris Kooi, peguam muda yang mengakui dirinya hidup dalam zaman Mahathir Mohamad. Generasi zaman ini hanya akan melukis bunga raya, menara kembar KLCC, gambaran tiga kaum terbesar bersama dan sebagainya. Chris Kooi berkata, "Kali pertama apabila saya melawat Kuala Lumpur, saya nampak KLCC yang cantik, Dataran Merdeka yang luas, dan saya bangga. Selepas melanjutkan pengajian di universiti, saya telah membaca sejarah, menyedari perkara yang tidak adil di negara kita. Tak kira betapa tingginya KLCC kita, tak kira betapa luasnya Dataran Merdeka kita, ia tetap gagal menampung suara bantahan kita."
Chris Kooi mengupas makna perhimpunan BERSIH. Apabila pertama kali diadakan, ia lebih membawa makna bahawa ia lambang kerjasama antara parti politik dengan masyarakat sivil. Perhimpunan BERSIH kedua membawa makna rakyat tidak takut lagi, dan perhimpunan BERSIH ketiga menyaksikan bagaimana rakyat sendiri mengorganisasi dirinya ke jalan raya.
Perkongsian sesetengah hadirin mengukuhkan apa yang dikatakan Chris Kooi. Terdapat sesetengah orang yang mengedarkan risalah BERSIH di pasar malam dengan inisiatif sendiri, dan orang itu bukan Wong Chin Huat dari BERSIH, malah bukan juga ahli parti politik.
Seorang pemuda, Tay, yang bakal berkahwin pada tahun depan, berkata beliau turun ke perhimpunan BERSIH 3.0 dan merakamkan kejadian tersebut. Beliau menjadikan kehadirannya sebagai hadiah untuk anaknya pada masa depan. Tay berkata, tidak bermakna hanya dengan berkata saya cintai anak saya, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk anak saya.
Chris Kooi juga berkata, semua manusia hanya "meminjam" bumi ini untuk sementara. Dirinya yang hanya berumur 26 tahun, mungkin hanya meminjam 50 tahun lagi bumi ini. "Dan saya tidak mahu memulangkan bumi Malaysia yang kotor kepada anak-anak dan cucu-cucu saya," tegasnya, dibalas dengan tepukan gemuruh.
Seorang bapa yang berumur 43 tahun, juga merakamkan apa yang berlaku di tempat perhimpunan pada hari itu, dan mengirim kepada anaknya yang kini berada di China. Bapa ini sering berulang-alik dari Malaysia ke China, dan anaknya layak jikalau memohon menjadi warga China. Tetapi bapa ini mahu anaknya menjadi warga Malaysia, dan dalam video yang dihantar tu, beliau memberitahu anaknya, "Tengok, begitu ramainya orang yang berusaha untuk melakukan sesuatu demi masa depan kamu!"
Seorang ibu yang masih tidak terkeluar dari "igauan 428", meluahkan perasaannya. Beliau gagal membayangkan bahawa dirinya perlu "melarikan diri" di tanahair sendiri. Malah beliau yang mengakui dirinya "naif", tidak percaya polis akan melepaskan gas pemedih mata ke dalam kelompok manusia, sehingga ia berlaku. Untuk ibu itu, ia bagai neraka, "Ia bukan negara saya (yang saya kenal sepanjang ini)".
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
Saya sudah lama teringin untu menertai perhimpunan org2 cina spt perhimpunan cina sel-kl ni. Tapi tak dpt maklumat. Rugi rasanya tak mendengar suara hati bangsa msia sendiri.
BalasPadamwa suka lu bro. sebenarnya umno pun demo di jalanraya. tengok sini.
BalasPadamhttp://wasukalu.blogspot.com/2012/05/umno-dan-demonstrasi-jalanan-gambar.html