Najib menggelar sesetengah peneroka sebagai 'haram jadah'

Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Di kala ada yang kononnya 'tersandar' selepas mendengar pengumuman durian runtuh oleh Perdana Menteri, namun ada juga yang terkejut dengan 'bahasa kesat' yang digunakan Datuk Seri Najib dalam ucapannya semalam.
(PM ketika menghamburkan kata 'haram jadah' kepada sesetengah peneroka semalam)
Najib dalam ucapannya di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, Pahang semalam dengan nada tegas dua kali mengulangi perkataan 'haram jadah'.

Beliau dipercayai menujukan kata-kata itu kepada pihak yang menentang penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia.

Menurut Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, kenyataan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang bergelar perdana menteri.

"Tak sangka perdana menteri yang dilihat bapa kepada rakyat, tetapi mengeluarkan kata-kata kesat kepada rakyat sendiri," katanya.

Yang menjadi persoalan kata Mazlan, apa yang menyebabkan Najib begitu marah sehingga sanggup mengeluarkan perkataan seperti itu.

"Perkataan ini jarang orang guna kecuali dalam keadaan terlalu marah.

"Dengan pengumuman durian runtuh itu, perdana menteri sepatutnya gembira kerana bakal mendapat sokongan dari peneroka. Tapi kenapa sampai perlu menyumpah haram jadah," soalnya lagi.

Mazlan berkata, sepanjang pemerhatiannya dalam media arus perdana dari malam tadi dan hari ini, tiada pun media yang melaporkan kenyataan yang dikeluarkan Najib itu.

Bagaimanapun ujarnya, rakyat semalam dapat melihat dan mendengar dengan jelas ucapan Najib itu yang disirkan secara langsung melalui televisyen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan