Pasca Bersih 3.0: Kisah Ibu Tua, 71 tahun yang dibelasah polis

Hafiz Zainuddin
Ini adalah kisah seorang ibu tua penanam belimbing yang telah dihalau dari tanah yang diterokanya suatu ketika dulu. Lantas, beliau dan keluarga membawa diri ke Kuantan untuk memulakan kehidupan baru. Tanahnya yang kini telah dibangunkan The Mines Shopping Mall yang megah itu baginya cuma sekadar kenangan duka jerih perih mencari nafkah dari bumi bertuah ini. Segalanya telah berlalu.


Ibu tua berumur 71 tahun ini bernama Tuw Ah Mei. Beliau ibu bagi empat orang anak, juga nenek bagi sembilan orang cucu. Beliau seperti kita, rakyat biasa yang mengharapkan agar negaranya sejahtera dan aman di mana masyarakatnya dapat hidup dalam keadaan harmoni dan adil… Cukuplah dulu tanah kebunnya telah dirampas kerajaan Barisan Nasional…

Sebagai seorang ibu dan warganegara yang sedar dan prihatin. Puan Tuw sememangnya cakna dan sensitif terhadap isu yang berlegar di sekitarnya. Tidak hairanlah, demi menunjukkan kepedulian dan komitmennya kepada semangat kebebasan dan keadilan, beliau pernah berpuasa selama lima hari dan berdoa agar Anwar Ibrahim dibebaskan pada 9 Januari lalu (tarikh keputusan kes Liwat II). Ibu tua ini juga telah memprotes dengan mogok lapar apabila Lim Guan Eng ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Semangat seorang ibu…

Semangat Puan Tuw Ah Mei tidak boleh dinafikan. Demi masa depan negara yang tercinta, baru-baru ini beliau turut serta dalam perhimpunan duduk-bantah Bersih 3.0 yang menuntut reformasi sistem pilihan raya Malaysia. Dalam perhimpunan tersebut, beliau telah menyaksikan keganasan pihak polis membelasah peserta perhimpunan.

Insiden pertama keganasan polis yang disaksikan Puan Tew berlaku di Jalan Raja Laut pada Sabtu itu, sewaktu beliau melihat tiga orang peserta perhimpunan aman dibelasah oleh beberapa orang polis. Perkara yang sama juga disaksikan semasa beliau melalui Jalan Tun Perak yang menyaksikan lebih ramai peserta perhimpunan aman dibelasah beramai-ramai. Perasaannya ketika itu luluh bercampur-baur antara ketakutan dan kesedihan.

Hati ibu ini sangat tersentuh dengan insiden yang disaksikan oleh mata kepalanya sendiri. ‘Polis pukul orang tanpa sebab yang munasabah…’ Semena-mena air matanya mengalir, beliau menangis sambil mempersoalkan tindakan melulu pihak polis. Mereka yang dibelasah polis tersebut ibarat anak-anaknya sendiri. “Apakah kejadian ‘Teoh Beng Hock’ akan berlaku sekali lagi?” bisik hati kecilnya.

Sang ibu ditumbuk polis wanita…


Dalam keadaan kacau bilau tersebut, Puan Tuw telah ditahan. Hati mana yang tidak meradang, sudahlah perhimpunan aman diganggu pihak berkuasa dengan kekasaran, semburan air asid dan tembakan gas pemedih mata, ditahan pula tanpa sebab yang munasabah malahan semasa dimasukkan ke dalam kereta polis, beliau ditolak dengan kasar.

Sewaktu ibu tua ini berada di dalam kereta polis, tidak semena-mena pula beliau ditumbuk oleh seorang polis wanita!

Mengapa semua ini berlaku? Apakah polis wanita tersebut tidak ada perasaan belas sehingga sanggup menumbuk seorang ibu tua berusia 71 tahun? Dimanakah letaknya peri kemanusiaan atau sekurang-kurangnya rasa hormat terhadap orang tua dan sesama wanita?

Sebagai warga Malaysia yang bermaruah dan prihatin, apakah kita boleh menerima tindakan polis wanita tersebut menumbuk seorang seorang ibu tua berusia 71 tahun?

Dalam keadaan tertekan, kepenatan dan marah di atas apa yang berlaku. Dengan segala kekuatan orang tua yang ada, Puan Tuw membalas tindakan polis wanita tersebut dengan menendangnya. Maka berlakulah sedikit ‘pergelutan’ sehinggalah seorang anggota polis yang prihatin datang menegur polis wanita tersebut dan meleraikan pergaduhan.

Di Pulapol…

Puan Tuw ditahan dan dibawa ke Pulapol Cheras. Dalam perjalanan ke bilik tahanan, seorang anggota polis telah menyimbah wajahnya dengan air. Beliau terpinga-pinga dengan tindakan anggota polis tersebut.


Segala persoalan membayangi fikirannya. Kenapa wajahnya perlu disimbah dengan air sedemikian rupa? Mengapakah ia perlu berlaku? Siapa pun pasti terpinga-pinga.

Polis yang dibayar oleh rakyat gaji mereka bertindak seolah-olah mereka yang memiliki negara ini. Walhal, Negara ini milik kita semua. Dimanakah letaknya sifat peri kemanusiaan seorang anggota keselamatan? Dimanakah letaknya maruah sebagai seorang insan? Apakah perkara ini adil bagi seorang ibu tua? Malah terhadap siapapun jua, ia tidak sepatutnya berlaku.

Apabila Puan Tuw membuka mulutnya…

Atas kejadian yang menimpa beliau. Puan Tuw telah pun membuat laporan polis untuk memohon siasatan segera terhadap aduannya dan turut menggesa polis untuk mengambil tindakan terhadap siapa sahaja yang melanggar undang-undang. Beliau juga dibantu oleh pihak parti untuk membuat sidang media menceritakan pengalaman yang dilaluinya.

Malangnya, inisiatif ibu tua prihatin ini telah diperlekehkan oleh Pengerusi MCA Serdang Liew Yun Keong. Menurut laporan Malaysiakini.com, Liew telah membuat tuduhan terhadap Puan Tuw dengan mengatakan bahawa Puan Tuw berbohong dan telah digunakan oleh DAP untuk menimbulkan isu ini. Apakah Liew sengaja membuat tuduhan ini untuk mendapat publisiti murahan?

Mungkin ini tuduhan sembarangan, masakan Liew tahu puan Tuw berbohong sedangkan beliau sendiri tidak berada di tempat kejadian?

Memang benar Puan Tuw Ah Mei adalah ahli DAP. Apakah itu boleh menghalalkan perlakuan sedemikian rupa terhadapnya? Apakah beliau tidak boleh melaporkan apa yang berlaku ke atas dirinya? Dan apakah beliau tidak layak untuk bersuara?

Polis belasah bukan perkara asing…

Kejadian ‘polis membelasah peserta perhimpunan’ bukanlah kes terasing. Kalau Puan Tuw Ah Mei berbohong sekalipun, ia tidak mengurangkan kebenaran tentang keganasan dan salah guna kuasa polis sebelum ini.

Peristiwa yang berlaku terhadap ibu tua bernama Puan Tuw Ah Mei bukanlah satu-satunya kejadian yang berlaku. Masih ramai lagi peserta perhimpunan dan rakyat Malaysia mengalami peristiwa yang hampir serupa; dibelasah polis, tercedera ketika menyelamatkan diri, lemas dalam gas pemedih mata dan sebagainya. Semuanya adalah sebuah manifestasi kepada sebuah kerajaan yang takut dengan bayang-bayangnya sendiri.
roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan