Demi cinta terhadap seorang 'jeneral' dalam tentera Amerika Syarikat yang dikenali menerusi laman sosial, seorang ibu tunggal warga tempatan sanggup menjual harta bendanya dan menyerahkan hasil jualan berjumlah RM5 juta itu kepada lelaki berkenaan tanpa menyedari dirinya ditipu oleh satu sindiket antarabangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur ACP Izany Abdul Ghany berkata sejak 2010, wanita berusia 63 tahun itu yang datang daripada keluarga berada, sanggup menjual banglonya di Bangsar di Kuala Lumpur, dengan nilai RM3.5 juta manakala RM1.5 juta lagi diperoleh dengan menjual tanah miliknya, berhutang dengan rakan serta saudaranya untuk diberi kepada lelaki itu.
"Polis telah menjejaki sindiket itu sejak anak wanita itu membuat laporan polis pada September tahun lepas, manakala ibu tunggal itu enggan bekerjasama kerana yakin terhadap cintanya itu sungguhpun siasatan mendapati 'jeneral' itu sebenarnya tidak wujud," katanya kepada pemberita, di Kuala Lumpur, Rabu.
Izany berkata hasil intipan sejak lapan bulan lalu, polis menahan 15 lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan berusia 50 tahun, yang menjadi pemilik akaun bank untuk transaksi wang mangsa, masing-masing pada Isnin dan semalam, di sekitar Kota Damansara, Subang Jaya dan ibu negara.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan