Walau dijanji RM15,000, lebih 3,000 peneroka saman Felda

Muda Mohd. Noor
PETALING JAYA: Walaupun semua peneroka dijanji `durian runtuh’ RM15,000 sekeluarga, lebih 3,000 peneroka di Pahang membuat tuntutan saman RM483,000 seorang terhadap Felda.
Mereka ialah 1, 086 peneroka dari Jengka; 800 (Keratong); 770 (Chini), 800 (Mempaga) dan 500 (Bera), kata Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal PKR, Suhaimi Said.

Peneroka Jengka, Bera dan Mempaga memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Temerloh, manakala peneroka Chini dan Keratong di Mahkamah Tinggi Kuantan.

“Pertama, peneroka menuntut geran tanah dikembalikan setelah mereka membayar semua hutang kepada Felda. Ada yang terpaksa menunggu 10, 15 dan 20 tahun tetapi geran tanah belum dikembalikan.

“Kedua, dana tanaman semula berjumlah RM17, 000 setiap seorang peneroka, kerana ramai lagi yang tidak mendapat dana tersebut.

“Ketiga, berhubung kadar perahan gred (KPG) kerana Felda membayar tidak mengikut KPG yang menyebabkan peneroka kerugian kerana ditipu dari segi kadar sebenar.

“Sebagai contoh, mengikut pasaran KPG ialah 25 – 27 peratus tetapi Felda membayar 17-20 peratus sahaja. Kalau secara kasar 5 peratus, peneroka rugi RM1, 200 setahun.

“KPG ini sepatutnya enam tahun sahaja tetapi Felda mengambilnya sehingga 15 tahun. Ini pecah tanah,” kata Suhaimi.

Beliau berkata, tuntutan peneroka itu lebih munasabah jika kerajaan benar-benar ingin membantu peneroka.
Katanya, ia tidak boleh dibantu sekali sahaja seperti bantuan RM15, 000 sebagaimana diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan