Aik! Belum bubar lagi?! Aduh!

SELENA TAY

Bulan lalu pada masa perhimpunan ahli dan penyokong Umno di Stadium Bukit Jalil, Perdana Menteri Najib Tun Razak nampak sangat beriya-iya hendak membubarkan Parlimen.


Tetapi hingga kini, Parlimen masih belum dibubar lagi. Situasi ini disebut sebagai 'kes acah saja'. Amat bijak PM Najib berpolitik sehingga pihak pembangkang iaitu Pakatan Rakyat terpinga-pinga pula. Kelam-kabut Pakatan dibuatnya

Inikah cara BN berpolitik? Dengan menggunakan 'taktik acah demi acah'? Aduh!

Namun demikian, pokok perbualan di sebuah kedai kopi Cina yang sering dikunjungi oleh penulis ini ialah bilakah Parlimen akan dibubar. Selepas Perdana Menteri membuat pengumuman bahawa Belanjawan 2013 akan dibentangkan di Parlimen pada 28hb September, ada ramai orang Cina yang berpendapat bahawa Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) akan diadakan sebelum Belanjawan dibentangkan.

Seorang warga emas yang selalu minum kopi-o-kaw di kedai kopi tersebut berkata, "Saya yakin bahawa PRU13 akan diadakan selewat-lewatnya pada awal bulan September. Selepas BN menang, Perdana Menteri tidak perlu lagi beri gula-gula kepada rakyat. Beliau boleh jadi PM dengan senang hati. Jika PRU13 diadakan selepas Belanjawan dibentangkan, gula-gula perlu lagi diberi kepada rakyat dan ini tentunya sekali lagi akan menelan belanja yang besar. Oleh itu PRU13 semestinya akan diadakan sebelum Belanjawan".

Seorang lagi warga emas yang juga sembang bersama berkata bahawa PRU13 masih boleh diadakan pada hujung bulan Jun ataupun awal bulan Julai jika Parlimen dibubarkan pada 10hb Jun sebagai serangan mengejut untuk memberi kejutan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang berkemungkinan memikir bahawa PRU13 adalah dalam bulan Oktober.

Seorang pemuda pula melontar cadangan bahawa Bersih 5.0 mesti diadakan. "Bersih 4.0 sudah pun digunakan oleh puak konco-konco BN. Lagipun orang Cina tidak gemarkan nombor '4' yang bermaksud 'kematian' dalam loghat Kantonis. Oleh itu kita patut gunakan nombor yang seterusnya iaitu 5.0. Tetapi kali ini bolehkah kita gunakan slogan 'Bersihkan SPR'?," soalnya dengan nada yang sinis.

Selain dari itu, seorang warga emas wanita melahirkan kebimbangan dengan taktik setengah-setengah pihak sejak bulan Januari tahun ini. Beliau berkata masyarakat kini yang sedang bergerak ke arah demokrasi era baru akan mengundi parti-parti yang beretika, bersih serta mampu berhujah dengan fakta dan bukti dan bukannya puak yang menggunakan taktik yang jahat, kotor ataupun yang tidak beretika.

"Taktik yang jahat akan gagal meraih sokongan masyarakat sebab dengan wujudnya handfon semua bukti siapa yang melakukan perbuatan yang jahat tidak boleh disembunyikan lagi. Tidak boleh baling batu dan sembunyikan tangan. Ini berbeza dengan zaman-zaman dahulu sebelum wujudnya handfon yang ada kamera. Zaman sekarang ini, klik saja dan muat-naik dan orang di seluruh dunia dapat tengok bukti itu," kata wanita warga emas ini.

Semua 5 orang rakan penulis di kedai kopi tersebut juga bersetuju bahawa PRU13 mesti ditangguhkan sehingga senarai daftar pemilih dibersihkan.

Mereka juga bersetuju bahawa Kerajaan BN seharusnya patuh kepada suara rakyat yang inginkan pilihanraya yang adil, bersih dan telus. Jika tidak, ini bermakna bahawa slogan 'Rakyat Didahulukan adalah 'cakap angin' sahaja. ('Cakap angin' adalah peribahasa Kantonis yang bermaksud percakapan kosong ataupun omong-omong kosong sahaja.)

Bubar atau tak bubar,
sudah jadi macam bubur cha-cha.
Acah dan lagi acah,
sampai semua dah tak tentu arah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan