Bapa kafir: Rahim Noor, NST disaman RM10 juta

Aslani M 
KOTA BHARU: Gara-gara mengeluarkan kenyataan menuduh Menteri Besar Kelantan sebagai bapa kafir, kini bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor berdepan dengan tuntutan saman sebanyak RM10 juta.

Saman tersebut difailkan melalui Tetuan Hisham Fauzi & Associates pada 31 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Dan sebutannya akan diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu 15 Julai depan.

Rahim dalam kenyataannya melalui akhbar New Straits Times pada 8 Mei lalu menyebut “Nik Aziz is father of kafir”.

Ekoran itu Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan memberi tempoh 24 jam kepada Rahim bagi menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka.

Bagaimanapun bekas ketua polis yang kontroversi itu gagal menarik balik kenyataan tersebut. Keengganan Rahim menyebabkan pelbagai pihak tampil membuat laporan polis dan demontrasi membantah kenyataannya.

Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat akan diwakili pasukan peguam diketuai Hanipa Maidin dengan dibantu Hisham Fauzi, Aminudin Zulkepli, Hatman Abdullah, Abdul Rasyid Yah dan Hilmi Abdullah.

Saman juga dikemukakan terhadap enam lagi pihak iaitu tiga wartawan NST yang terbabit menulis berita berkenaan, Pengarang Urusan Kumpulan NST, penyunting kumpulan NST dan syarikat NST.

Menteri Besar dalam pernyataan tuntutan mahu defendan-defendan menarik balik berita fitnah yang disiarkan NST pada 8 Mei lalu.

Selain itu permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif dengan mengiklankan permohonan maaf tersebut semuka penuh dalam akhbar Utusan Malaysia atau Berita Harian.

Turut dituntut ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif.

Injunksi juga dikemukakan bagi menghalang defendan-defendan memberi komen, mengulangi atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan yang berunsur fitnah terhadap plaintif.

Dalam afidavitnya Menteri Besar berkata, tulisan tersebut bermaksud menuduh dan memfitnahnya sebagai “bapa kafir” menggunakan agama untuk mengelirukan umat Islam.

Tulisan tersebut juga disifatkan memberikan gambaran yang buruk terhadap plaintif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan