Perjanjian British dengan Sultan dan Temenggung Johor, 1824M 1239H

Tranungkite Online
Teks ini diambil daripada Perjanjian dan Dokumentasi Lama Malaysia. Kuala Lumpur: ITNMB
SUATU PERSETIAAN PERSAHABATAN dan PERIKATAN antara SYARIKAT HINDIA TIMUR lNGGERIS YANG MULIA di satu pihak, dengan DULl YANG MAHA MULIA BAGINDA SULTAN dan DATUK TEMENGGUNG JOHOR di satu pihak lagi, diikat pada dua hari bulan Ogos, satu ribu lapan ratus dua puluh empat (1824), bersamaan dengan enam hari bulan Zulhijah, tahun Hijriah, satu ribu dua ratus tiga puluh sembilan (1239), oleh Sultan Johor yang di atas, iaitu DULl YANG MAHA MULIA SULTAN HUSSAIN MUHAMMAD SHAH, dan DATUK TEMENGGUNG JOHOR yang di atas, iaitu DULl YANG AMAT MULIA DATUK TEMENGGUNG ABDUL RAHMAN SRI MAHARAJA bagi pihak Baginda dan Datuk Temenggung sendiri, dengan JOHN CRAWFURD, ESQUIRE, Residen British di Singapura, yang diberi kuasa sepenuhnya dalam persetiaan ini oleh Yang Teramat Mulia WILLIAM PITT, LORD AMHERST, Gabenor General Kota William di Benggala, bagi pihak SYARIKAT HINDIA TIMUR lNGGERIS YANG MULIA itu.

Perkara I
Keamanan, persahabatan, dan persefahaman yang baik akan wujud selama-lamanya antara Syarikat Hindia Timur Inggeris Yang Mulia dengan Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan dan Datuk Temenggung Johor serta waris dan pengganti masing-masing.

Perkara II
Duli Yang Maha Mulia Sultan Hussain Muhammad Shah dan Datuk Temenggung Abdul Rahman Sri Maharaja dengan ini menyerah sepenuh kedaulatan dan hak kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris Yang Mulia, waris dan penggantinya untuk selama-lamanya, Pulau Singapura, yang terletak di Selat Melaka, bersama-sama laut, selat dan pulau-pulau kecil bersebelahan dengannya, dalam lingkungan sepuluh batu geografi dari pantai pulau utama Singapura.

Perkara III
Syarikat Hindia Timur Inggeris Yang Mulia dengan ini berjanji, sebagai balasan kepada penyerahan yang dinyatakan dalam Perkara terdahulu ini, membayar kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Hussain Muhammad Shah, sejumlah wang sebanyak tiga puluh tiga ribu dua ratus (33,200) Dolar Sepanyol, bersama dengan gaji, sepanjang hayat Baginda, sejumlah satu ribu tiga ratus (1,300) Dolar Sepanyol sebulan, dan kepada Duli Yang Amat Mulia Datuk Temenggung Abdul Rahman Sri Maharaja, sejumlah wang sebanyak dua puluh enam ribu lapan ratus (26,800) Dolar Sepanyol, dengan gaji bulanan sebanyak tujuh ratus (700) Dolar Sepanyol sepanjang hayatnya.

Perkara IV
Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Hussain Muhammad Shah dengan ini mengaku menerima daripada Syarikat Hindia Timur Inggeris Yang Mulia, sebagai menyempurnakan ketetapan kedua-dua Perkara terdahulu ini, sejumlah wang sebanyak tiga puluh tiga ribu dua ratus (33,200) Dolar Sepanyol (iaitu kurang drpd RM3 juta sekarang – Hasbullah Pit), bersama dengan ansuran bulanan pertama gaji yang tersebut di atas sebanyak satu ribu tiga ratus (1,300) Dolar Sepanyol, dan Duli Yang Amat Mulia Datuk Temenggung Abdul Rahman Sri Maharaja juga dengan ini mengaku menerima daripada Syarikat Hindia Timur Inggeris Yang Mulia, sebagai menyempurnakan ketetapan kedua-dua Perkara terdahulu ini, sejumlah wang sebanyak dua puluh enam ribu lapan ratus (26,800) Dolar Sepanyol, bersama dengan ansuran bulanan pertama gaji di atas sebanyak tujuh ratus (700) Dolar Sepanyol.

Perkara V
Syarikat Hindia Timur Inggeris Yang Mulia berjanji menyambut dan melayan Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Hussain Muhammad Shah, dan Datuk Temenggung Abdul Rahman Sri Maharaja, dengan penuh kemuliaan, kehormatan dan adat istiadat yang layak atas kedudukan dan taraf masing-masing, bilamana Baginda dan Datuk Temenggung menetap atau mengunjungi Pulau Singapura.

Perkara VI
Syarikat Hindia Timur Inggeris Yang Mulia dengan ini berjanji, sekiranya Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan dan Datuk Temenggung, waris atau pengganti Baginda dan Datuk Temenggung memilih untuk menetap di mana-mana bahagian Negeri sendiri, dan bagi maksud tersebut hendak berpindah dari Singapura, membayar kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Hussain Muhammad Shah, waris atau pengganti Baginda, sejumlah wang sebanyak dua puluh ribu (20,000) Dolar Sepanyol, dan kepada Duli Yang Amat Mulia Datuk Temenggung Abdul Rahman Sri Maharaja, waris atau pengganti Datuk Temenggung sejumlah wang sebanyak lima belas ribu (15,000) Dolar Sepanyol.

Perkara VII
Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Hussain Muhammad Shah dan Datuk Temenggung Abdul Rahman Sri Maharaja, sebagai balasan kepada bayaran yang dinyatakan dalam Perkara terdahulu ini, dengan ini menyerahkan, bagi pihak diri, waris, dan pengganti masing-masing, kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris Yang Mulia, waris dan pengganti mereka buat selama-lamanya, semua hak dan hak milik kepada setiap jenis harta tak alih, sama ada dalam bentuk tanah, rumah, kebun, dusun, atau pokok kayu, yang mungkin dimiliki oleh Baginda dan Datuk Temenggung di Pulau Singapura atau di wilayah tanggungannya pada masa yang difikirkan Baginda dan Datuk Temenggung sebagai sesuai untuk berpindah dari pulau tersebut, bagi maksud menetap di Negeri sendiri, tetapi hendaklah difahami dengan sejelas-jelasnya oleh setiap pihak bahawa peruntukan Perkara ini tidak meliputi apa-apa jenis harta yang boleh dipegang oleh mana-mana pengikut atau orang suruhan Duli Yang Maha Mulia dan Datuk Temenggung yang berada di luar kawasan sekitar kediaman sebenar yang kini diperuntukkan kepada Duli Yang Maha Mulia dan Datuk Temenggung.

Perkara VIII
Duli Yang Maha Mulia Sultan Hussain Muhammad Shah, dan Datuk Temenggung Abdul Rahman Sri Maharaja, dengan ini berjanji bahawa selama Baginda dan Datuk Temenggung menetap di Pulau Singapura, atau menerima gaji bulanan masing-masing daripada Syarikat Hindia Timur Inggeris Yang Mulia, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Persetiaan ini, Baginda dan Datuk Temenggung tidak boleh sekali-kali mengikat apa-apa perikatan dan juga tidak boleh berutus-utusan dengan mana-mana kuasa atau raja asing, tanpa pengetahuan dan keizinan Syarikat Hindia Timur Inggeris Yang Mulia, waris dan penggantinya.

Perkara IX
Syarikat Hindia Timur Inggeris Yang Mulia, dengan ini berjanji bahawa jika sekiranya Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Hussain Muhammad Shah, dan Datuk Temenggung Abdul Rahman Sri Maharaja berpindah dari Pulau Singapura sebagaimana yang dibayangkan dalam Perkara ke-6, dan berasa gusar untuk menetap di wilayah mereka sendiri berbangkit daripada perpindahan itu, memberi mereka suaka diri dan perlindungan sama ada di Pulau Singapura atau Pulau Pinang.

Perkara X
Pihak Penjanji dengan ini menyatakan dan berjanji bahawa tiada mana-mana pihak pun akan campur tangan dalam hal-ehwal dalaman pihak pemerintah yang satu lagi, atau dalam mana-mana pertelingkahan politik atau peperangan yang mungkin tercetus dalam wilayah masing-masing, dan mereka juga tidak boleh menyokong satu sama lain melalui kekuatan senjata terhadap mana-mana jua pihak ketiga.

Perkara XI
Pihak Penjanji dengan ini berjanji menggunakan apa-apa cara yang masing-masing berkuasa bagi menghapuskan rompakan dan pelanunan di Selat Melaka dan juga di laut sempit, selat dan sungai lain yang bersempadanan, atau yang di dalam, wilayah masing-masing selagi ia berkaitan dengan kekuasaan dan kepentingan langsung Duli Yang Maha Mulia dan Datuk Temenggung.

Perkara XII
Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Hussain Muhammad Shah dan Datuk Temenggung Abdul Rahman Sri Maharaja dengan ini berjanji mengekalkan perdagangan bebas dan tidak terganggu di mana-mana sahaja di kawasan kekuasaan mereka, dan membenarkan perdagangan dan lalu lintas negara British ke dalam semua pelabuhan dan pangkalan kapal kerajaan Johor dan wilayah tanggungannya berdasarkan syarat negara yang paling diutamakan.

Perkara XIII
Syarikat Hindia Timur Inggeris Yang Mulia dengan ini berjanji, selagi Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Hussain Muhammad Shah dan Datuk Temenggung Abdul Rahman Sri Maharaja kekal menetap di Pulau Singapura, tidak membenarkan mana-mana orang suruhan atau pengikut Baginda dan Datuk Temenggung meninggalkan langsung khidmat sebenar mereka, untuk tinggal atau kekal berada di Pulau Singapura atau wilayah tanggungannya. Tetapi dengan ini hendaklah difahami sejelas-jelasnya bahawa semua orang suruhan dan pengikut itu hendaklah terdiri daripada rakyat kelahiran mana-mana bahagian wilayah kekuasaan Baginda dan Datuk Temenggung sahaja, di mana kuasa Baginda dan Datuk Temenggung kini bertapak kukuh, dan nama-nama mereka pada masa memasuki perkhidmatan Baginda dan Datuk Temenggung, hendaklah ditulis secara sukarela dan sewajarnya dalam sebuah daftar yang disimpan bagi maksud itu oleh ketua pihak berkuasa tempatan pada masa itu.

Perkara XIV
Maka adalah dengan ini, saling dinyatakan dan dipersetujui bahawa syarat-syarat semua Konvensyen, Persetiaan atau Perjanjian yang lalu yang diikat antara Syarikat Hindia Timur Inggeris Yang Mulia dengan Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan dan Datuk Temenggung Johor, hendaklah dengan Persetiaan ini disifatkan sebagai, dan dengan ini, terbatal dan termansuh sewajarnya, walau bagaimanapun dengan pengecualian syarat-syarat terdahulu sebagaimana yang telah diberikan kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris Yang Mulia, apa-apa hak atau hak milik bagi pendudukan atau pemilikan Pulau Singapura dan wilayah tanggungannya seperti yang tersebut di atas.

Dibuat dan diikat di Singapura, pada hari dan tahun yang tertulis di atas.

(T.T.) SULTAN HUSSAIN MUHAMMAD SHAH.
(T.T.) 1. CRAWFORD.
DATUK TEMENGGUNG ABDUL RAHMAN SRI MAHARAJA.
(T.T.) AMERST.
(T.T.) EDWARD PAGET.
(T.T.) F. FENDALL.

Diratiftkasikan oleh Yang Amat Mulia Gabenor Jeneral dalam Majlis, di Kota William di Benggala, pada sembilan belas hari bulan November, satu ribu lapan ratus dua puluh empat.

(Tandatangan)
GEO. SWINTON, Setiausaha Kerajaan.

Nota:
2 Perkara VI dan VII, apabila berkaitan dengan Datuk Temenggung, telah dibatalkan melalui perjanjian bertarikh 19 hari bulan Disember 1862. Lihat Maxwell & Gibson 1924: 129-130.
......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan