Musli Oli
Parti UMNO saya ibaratkan sebuah kedai kopi yang satu ketika dulu menarik ramai pelanggan. Kopinya sedap. Nasi lemaknya enak. Tentu sekali harganya juga berpatutan kerana tuan punya kedai orang yang berjiwa besar. Tidak tamak atau mengambil kesempatan terhadap pelanggan yang sebangsa dan seagama.
Tahun demi tahun. Pemilik kedai silih berganti. Dari bapa kepada anak. Daripada ipar kepada biras. Lama kelamaan sikap tamak mula menguasai diri. Keuntungan yang diperolehi hasil dari kedai kopi tidak digunakan untuk memperbaiki perkhidmatan dan meningkatkan kualiti makanan.
Kedai kopi yang dianggap pelanggan sebagai kedai kopi rakyat telah dijadikan milik sendiri dan kaum kerabat. Pekerja dan pelayan mulai bersikap sombong. Kopi dan nasi lemak tidak lagi seenak dulu.
Rakyat yang pada mulanya tiada pilihan terus melanggani kedai kopi itu walaupun telah timbul rasa tidak puas hati.
Tiba-tiba muncul Coffee Beans, Starbucks Coffee, Secret Recipe, Pappa Rich dan banyak lagi Kopi Tiam yang menjadi saingan kepada kedai kopi UMNO!
Terpinga-pinga pemilik kedai kopi…kedai kopi tiba-tiba lengang. Pelanggan yang datang hanya untuk main dam haji. Bukan dikalangan pelanggan yang makan dan minum seperti dulu.
Lalu pemilik kedai kopi berkata, "Alangkah bodoh dan bebalnya pelanggan yang mengunjungi kedai-kedai itu sedangkan makanan dan minumannya jauh lebih mahal dari kedai kopi kami!"
Lalu golongan muda dicerca dengan kata-kata tiada semangat nasionalis kerana melanggani kedai-kedai milik asing? Rakyat di tuduh lupa diri dan negara boleh dijajah semula jika terus makan dan minum di kedai-kedai milik Yahudi!
UMNO seperti kedai kopi tidak lagi trendy dan tidak berubah mengikut citarasa pelanggan. UMNO enggan menerima dan mengikut perubahan dunia. Bila dunia berubah, pemikiran dan sikap masyarakat juga berubah.
Pengaruh globalisasi, ledakan maklumat telah meniup sentiment universalisme dan kesamaan sejagat yang mengatasi kepentingan kaum dan agama, sebaliknya rakyat mencari kebenaran dan keadilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan