Amuk: 'Isteri saya terjerat dalam dunia khayal Khalil'

OHAMMAD FAIRUZ JUMAIN & NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
KEJADIAN amuk yang berlaku di Kompleks B Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya Isnin lalu, menggemparkan negara apabila seorang individu menggelarkan dirinya imam Mahdi begitu berani merempuh masuk de ngan menggunakan pedang samurai.
Individu itu, Khalil Afandi Abd Hamid, 47, dikatakan mempunyai masalah kecelaruan personaliti, menggunakan Internet sebagai medium untuk menyebarkan fahamannya. Ketika kejadian, Khalil Afandi bersama seorang wanita dikenali, Muhdalina Ahmad, 28. Ikuti temubual khas wartawan Sinar Harian, MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN, NURUL RIDUAN NOR ASHAHA dan jurugambar AZMI ARYANTO bersama suami Muhdalina, Mohd Irwan Mohd Foad, 29, merungkaikan di sebalik kejadian amuk tersebut.

Bagaimana sifat dan sikap Muhdalina sebelum mengenali Khalil Afandi?

Muhdalina adalah seorang isteri yang taat pada suami. Tidak pernah melawan dan seorang ibu yang penyayang. Pergaulan dan hukum agama tidak dipandang ringan. Sehelai rambut pun orang lain tidak dapat melihat melainkan saya sendiri.

Dia juga seorang yang ceria dan semua itu berubah selepas dia mengenali Khalil Afandi, tanpa pengetahuan saya.

Dia seolah-olah tidak sedar apa yang dilakukan termasuk apa yang dituturkan.

Bagaimana permulaan perkenalan Muhdalina dengan Khalil Afandi?

Perkenalan Muhdalina dengan Khalil Afandi bermula dua minggu sebelum kejadian amuk di Putrajaya. Sebelum ini saya tidak tahu dia sudah mengenali dan menghubungi Khalil Afandi melalui blog dan Facebook.

Saya buta teknologi maklumat (IT) dan tidak mengetahui perhubungan tersebut. Muhdalina berurusan dengan Khalil Afandi hanya ketika bekerja di pejabat, sebuah syarikat di Pelabuhan Klang.

Seminggu kemudian, baru saya tahu mereka berkenalan antara satu sama lain. Ketika itu Muhdalina bertanyakan soalan; “Abang percaya ada lelaki hidup 1,000 tahun?” “Abang percaya bumi terbelah bila ditumbuk lelaki?” “Ada lelaki boleh tembus dinding?”

Saya menafikan soalan itu, namun Muhdalina mengiakan dan memberitahu Khalil Afandi boleh melakukan semua itu. Saya bertanyakan siapa lelaki itu dan dia menjawab Khalil Afandi adalah imam Mahdi.

Ketika itu saya hairan mengapa Muhdalina berubah dan begitu taksub dengan lelaki tersebut.

Kenal sejak dalam kandungan

Bila Mohd Irwan dan isteri tinggal sebumbung dengan Khalil Afandi?

Kami ‘berpindah’ ke rumah Khalil Afandi di Sri Kembangan pada malam Khamis iaitu empat hari sebelum tragedi amuk.

Muhdalina mendesak saya supaya membenarkan dia tinggal bersama Khalil Afandi. Saya tidak mengizinkan, tetapi dia mengugut akan menuntut cerai sekiranya dihalang. Saya tidak sanggup untuk berpisah jadi saya membenarkan dengan syarat saya menemaninya.

Sebelum hasrat itu disuarakan Muhdalina, dia menceritakan kepada saya bahawa Khalil Afandi sudah mengenalinya sejak dalam kandungan. Saya jadi bingung dengan kenyataan Muhdalina.

Bagi meyakinkan saya lagi, Muhdalina juga memberitahu, Khalil Afandi pernah bermimpi bertemu dengan seorang wanita berbaju kurung merah, mempunyai dua orang anak dan wanita itu adalah insan yang akan berjuang bersamanya bagi menegakkan keadilan.

Khalil Afandi mengatakan bahawa wanita itu adalah Muhdalina memandangkan kami mempunyai dua cahaya mata selain Muhdalina memiliki baju kurung berwarna merah.

Disebabkan itu, Muhdalina tekad untuk bersama dengan Khalil Afandi untuk berjuang. Kerana sayang, saya turuti kemahuan Muhdalina untuk tinggal bersama Khalil Afandi dan isterinya.

Keesokan harinya, Muhdalina menghantar surat berhenti kerja melalui e-mel kepada majikannya.

Apa yang berlaku sepanjang empat hari di rumah Khalil Afandi?

Ketika sampai di rumah itu, Khalil Afandi terus menjerit dan bertanya kepada saya, “Kenapa kamu tidak sembahyang? Aku tidak boleh tinggal serumah dengan orang yang tinggalkan sembahyang!”

Khalil Afandi juga mengatakan atas faktor itu, dia tidak bercampur dengan orang ramai kerana khuatir akidah terjejas.

Saya terkejut dan timbul sedikit kepercayaan kepada lelaki itu berikutan saya belum menunaikan solat (ketika itu).

Bagaimanapun, semua itu terhakis selepas Khalil Afandi mengatakan saya hanya perlu solat pada waktu malam dan bukannya waktu siang.

Mendengar penjelasan itu, rasa sangsi terhadap lelaki itu kian menebal.

Keadaan Khalil Afandi ketika itu amat pelik, bukan macam orang normal dan saya lihat dia sentiasa bermonolog sendirian.

Apa yang lebih pelik, dia memanggil ALLAH dengan nama ‘bos’.

Dia juga mendakwa kononnya dialah kekasih 'bos' yang paling tinggi. Watak Khalil Afandi juga sukar dicam. Sekejap dia menjadi amat baik, sekejap lagi dia bertukar garang. Dia juga mendakwa sering bertukar- tukar jasad, seperti dalam filem The Highlander. Dia sering mengatakan dirinya sebagai hero filem tersebut.

Dia juga sering memarahi isterinya secara melampau, sehinggakan saya lihat isteri Khalil amat takut dengannya.


Mohd Irwan Mohd Foad mengakui menghantar isterinya dan Khalil Afandi Abd Hamid ke Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya sebelum kejadian amuk, Isnin lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan