Khalid Samad sahut cabaran debat Hasan Ali

Nigel Aw
NONE
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor Khalid Samad mencabar bekas pemimpin parti itu yang dipecat Datuk Dr Hasan Ali untuk menerima tawaran debat mereka berdua anjuran akhbar Sinar Harian.


Katanya, beliau dimaklumkan bahawa KarangKraf - penerbit Sinar - sudah membuat undangan itu sejak Februari lalu tetapi ditolak atas alasan majlis syura NGO itu Jalur Tiga (JATI) yang dipimpinnya menolak.

Bercakap dalam sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini, Khalid berkata beliau sanggup menangguhkan programnya yang lain untuk berdebat dengan Dr Hasan.

Sementara itu, dalam sidang media sama, pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman menyelar Dr Hasan kerana didakwa menganjur dan mempromosikan debat dengannya tanpa persetujuan dibuat terlebih dahulu.

Dr Abdul Rani berkata, Dr Hasan juga tidak profesional apabila "orangnya" menghantar undangan debat pada Rabu walaupun dimaklumkan lebih awal beliau tidak ada kelapangan pada hari itu.

Justeru, Dr Rani mendakwa, debat itu sebenarnya cuba menggunakan nama pemimpin PAS untuk menarik orang ramai hadir ke ceramah Dr Hasan yang didakwa semakin tidak mendapat sambutan.

Dr Rani juga berkata, Khalid merupakan calon paling sesuai berdebat dengan Dr Hasan ekoran kenyataannya sebelum ini bahawa anggota Shah Alam itu "parasit" terbesar dalam PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan