Mala petaka jika Umno terus berkuasa

Aspan Alias

Setiap hari kita mendengar malapetaka berlaku di banyak tempat dan negara di seluruh dunia. Malapetaka yang ‘natural’ seperti banjir dan bah besar telah meragut nyawa ribuan umat manusia. Di Amerika Syarikat malapetaka puting beliung berlaku acapkali dan telah membunuh banyak nyawa dan harta benda negara itu.


Tsunami di lautan India pada 2006 lalu telah memusnahkan banyak tempat dan telah membunuh lebih kurang dua juta manusia. Negara kita juga tidak terlepas dari ancaman yang amat mengerikan itu. Sehingga hari ini usaha masih dilakukan untuk memulihkan kawasan- kawasan yang ditimpa malapetaka tsunami itu.

Itu malapetaka yang ‘natural’ dan susah untuk dielakkan. Malapetaka juga boleh berlaku dalam bentuk dan keadaan yang lain. Di negara kita, setakat ini kita masih belum mengalami mala petaka seperti yang disebut tadi. Tetapi kita juga sedang menghadapi mala petaka dalam bentuk yang lain.

Mala petaka yang kita hadapi lebih besar harganya. Jika tsunami yang berlaku pada tahun 2006 itu telah mendatangkan kerugian yang beratus ribu juta ringgit nilainya, mala petaka yang terbit dari rasuah dan salah guna kuasa kerajaan kita hari ini memungkinkan kita membayar harga mala petaka yang lebih tinggi lagi.

Mala petaka politik dan ekonomi yang berlaku di negara kita telah mendatangkan kerugian yang jauh lebih besar dari tsunami itu. Sejak sepuluh tahun yang lalu wang negara kita yang diperolehi secara haram berjumlah RM1.3 trillion telah mengalir keluar dan jumlah ini jauh lebih besar dari kos memulihkan kerosakan hasil dari mala petaka tsunami dahulu.

Rasuah bermega-mega

Jumlah itu belum lagi dicampurkan dengan jumlah wang rakyat yang digunakan untuk menyelamatkan perniagaan anak saorang Perdana Menteri dan rasuah-rasuah yang mega-mega yang dilakukan oleh pimpinan kita. Negara kita yang telah dan sedang melaksanakan projek infrastruktur yang mega-mega itu telah dan sedang diiringi oleh kegiatan rasuah yang juga dalam kategori mega-mega.

Walaupun sejarah dan hakikatnya perkara-perkara seperti ini akhirnya akan menghancurkan negara dan tamadun kita, kegiatan ini masih berlaku dengan meluas seolah-olah pimpinan kita mahukan negara kita hancur suatu hari nanti.

Tidak ada siapa yang menolak hakikat yang rasuah itu akan menghancurkan negara dan generasi kita yang akan datang, namun perkara itu masih juga dilakukan oleh mereka yang berkuasa.

Maka tidak salah jika mereka (pimpinan) melakukan perkara yang kotor itu untuk menghancurkan negara kita ini. Jika mereka tidak mahu melihat negara kita hancur, masakan mereka masih begitu ketagih dengan wang rasuah yang besar-besar itu.

Pimpinan yang ada pada hari ini sebenarnya memang tidak boleh lagi menyelamatkan Umno itu kerana ‘conduct’ mereka yang sangat buruk. Malahan mereka berkeras untuk memenangkan Umno itu kerana mereka mengharapkan Umno itu yang menyelamatkan mereka.

Hidup mati Umno

Umno hanya diperguna untuk meyelamatkan mereka dari ‘retribution’ yang bakal mereka hadapi jika Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya umum akan datang. Isu ini merupakan isu ‘life and death’ untuk barisan kepimpinan Umno dan BN pada hari ini.

Bagi Umno usaha mengalahkan mereka oleh barisan alternatif itu adalah usaha pengkhianatan tetapi mereka tidak mahu menerima kenyataan yang mereka (Umno) lah yang sebenarnya yang menjadi pengkhianatan terhadap negara dan segala institusi yang mengawal sebuah negara demokrasi seperti kita ini.

Umno sudah berhenti memperjuangkan orang Melayu dan rakyat. Parti itu sekarang hanya menumpukan usahanya untuk memenangkan Umno kerana Umno sahajalah yang boleh memberikan perlindungan terhadap kerja buruk dan hina yang telah mereka lakukan sekian lama.

Umno bukan lagi parti yang melindungi rakyat yang ramai dan parti itu hanyalah berperjuang untuk memberi perlindungan kepada pemimpin-pemimpin yang telah menyeleweng selama ini.

Umno tidak mahu menerima hakikat yang Pakatan Rakyat itu digerakkan oleh rakyat sedangkan Umno itu digerakkan oleh pemimpin- pemimpin mereka dan kuasa yang masih berbaki ditangan mereka sekarang ini. Umno sekarang ibarat duduk dihujung tanduk: pada bila -bila masa sahaja ia akan jatuh terhempas.

Tetapi jika Umno jatuh terhempas, adakah kejadian itu suatu kejadian yang ganjil? Jawabnya TIDAK. Itu merupakan satu dari perkara biasa yang terjadi di dalam sesebuah negara demokrasi seperti yang berlaku di mana-mana negara maju dalam mana pertukaran pemerintahan itu adalah perkara yang amat biasa.

Jika Umno kali ini diletakkan di pihak pembangkang setidak-tidaknya parti itu boleh melakukan introspeksi terhadap mereka sendiri dan kembali berkuasa dalam pilihanraya-pilihanraya yang akan datang jika mereka melakukan transformasi yang benar-benar.

Umno ibarat ayam daging

Tetapi masalahnya, seperti yang saya katakan beberapa kali Umno itu ibarat ayam daging yang sudah biasa dengan suapan dan makan yang diberi tanpa berusaha. Umno tidak seperti PAS dan DAP yang saya anggap seperti ayam kampung yang mampu untuk menyelia kehidupan mereka sendiri.

Ayam daging, jika dikeluarkan dari reban, ayam itu akan mati terus kerana tidak pandai mencari makanan sendiri. Umno perlu melakukan transformasi besar terutamanya dari sikap dan persepsi terhadap kehidupan dengan cara yang betul.

Itulah sebabnya PAS, DAP dan PKR mesti bersedia untuk menjadi pewaris kepada mandat dari rakyat dan berhati-hati apabila menjadi pemerintah kerana rakyat jelas nampaknya sedang cenderung untuk memberikan peluang kepada Pakatan untuk mengambilalih kerajaan setidak-tidak sampai ke pilihan raya yang berikutnya (PRU ke 14).

Tidak ada apa yang ganjilnya jika kali ini adalah giliran Pakatan pula untuk mentadbir Putrajaya itu. Ini negara demokrasi dan rakyat berhak untuk melakukan apa-apa yang mereka rasakan perlu untuk dilakukan.

Peralihan kali ini perlu berlaku untuk mengelakkan mala petaka yang kian hari kian hampir jika BN terus diberikan mandat oleh rakyat. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan