Nota dari Wad 5J HUKM

Ahmad Lutfi Othman
Catatan pendek ini mulanya saya usahakan ketika dalam Wad 5J, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), pada petang 15 Julai, dengan tulisan tangan, disebabkan jari-jari kiri saya masih tidak dapat mengetuk papan kekunci komputer. Meskipun cetusan idea terus terpancar, namun kelemahan fizikal, terutama di bahagian kiri badan, tetap menganggu kelancaran menulis.

Serangan kedua strok, Ahad 8 Julai, yang disedari ketika saya dan Wartawan Kanan Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob, singgah di kawasan R&R, Pagoh, dalam perjalanan balik dari Pasir Gudang ke Kuala Lumpur, menyebabkan kolum ini tidak dapat diisi selama tiga keluaran -- sesuatu yang cukup mendukacitakan saya. Justeru, saya berazam, walaupun masih bercuti panjang, tulisan ini harus disiapkan juga.

Hasrat saya untuk turun meninjau sendiri situasi terkini politik dan mood akar umbi menjelang PRU13, terhenti di Johor. (Niat melengkapkan pusingan pertama menjelajah seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak sebelum Ramadan, hampir tercapai, kecuali Kelantan dan Perlis).

Johor yang dahulunya dikenali kubu kuat Umno, malah dianggap "simpanan tetap BN", kini menjadi tumpuan dan perhatian penganalisis politik. Ramai menjangkakan kejutan bakal berlaku di selatan tanahair itu. Jika pada 2004, PAS mendapat kerusi Dun secara percuma di Senggarang, tetapi dalam PRU12, ia menang di Sungai Abong dan Maharani; ketiga-tiga Adun itu (Dr Mohd Ramli Kari, Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh dan Dr Mohammad Taslim) merupakan doktor perubatan.

Secara peribadi, saya melihat keunikan politik Johor (dan di sinilah terselit harapan besar) juga terletak kepada komposisi pengundi dalam 56 kerusi Dunnya. Daripada statistik 2008, ia mempunyai kawasan pengundi campuran yang tinggi, dengan 46 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan adalah kawasana yang tidak mepunyai majoriti sesuatu kaum ataupun sesuatu kaum hanya mendominasi antara 50-60 peratus jumlah pengundi. Sila rujuk buku Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-12: Isu dan Pola Pengundian, di bawah bab "PRU12 di Johor: Perubahan atau Protes", hasil kajian sekumpulan ahli akademik Jabatan Sejarah Universiti Malaya.

Seorang rakan memberitahu, Johor mempunyai banyak persamaan dengan Selangor, terutama dari segi komposisi kemajmukan penduduk, kemajuan negeri dan juga termasuk keistimewaan pengundi Melayu yang terdiri daripada suku kaum Jawa dan sebagainya. "Kalau Selangor mencipta kejutan pada 2008, tidak mustahil boleh Johor mengulanginya dalam PRU13," katanya penuh harapan.

Saya sukar menelan bulat-bulat andaian Pakatan Rakyat mampu memberi kejutan sebelum cuba merasai sendiri debaran di medan, walaupun laporan mengenai aktiviti dan program politik di sana begitu menggalakkan. Masakan Umno rela berputih mata di "tempat tumpah darahnya" sendiri?

Lagipun kekalahan BN di Johor memberi impak cukup besar, khususnya daripada segi psikologi aktivis Umno di seluruh negara. Runtuh Umno di Johor, maka berakhirlah hikayat panjang parti yang dilihat telah mengkhianati amanah kepemimpinan dan kepercayaan orang Melayu sejak merdeka itu.

Agak menarik apabila dua himpunan Hijau PAS di Johor, walaupun diadakan selang seminggu, masih mendapat sambutan menggalakkan. Lebih membanggakan, menurut pemerhati, majoriti hadirinnya adalah masyarakat setempat, bukannya penyokong tegar PAS dari jauh. "Saya melihat mudah aja, jika ramai yang datang dengan motor, berbanding kereta, maka kita boleh kitakan, yang hadir itu kebanyakannya orang tempatan," kata seorang aktivis parti di Kulai.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, jika dilihat kekerapannya turun Johor, seperti sedang memberikan perhatian istimewa selepas kongres tahunan KeADILan 2012 diadakan di negeri itu. Sejumlah 26 kerusi Parlimen yang ditawarkan Johor begitu penting dalam menjayakan misi penguasaan Putrajaya. Buat masa ini BN membolot 25 kerusi; hanya kerusi Parlimen Bakri dimenangi calon DAP, Er Teck Hwa, dengan majoriti 722 undi.

Kepulangan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ke negeri kelahirannya, selepas dua penggal menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan, bagi membantu Pesuruhjaya Negeri, Dr Mahfodz Mohamed, menyuntik semangat luar biasa penggerak parti, khususnya di peringkat bawahan.

Sekurang-kurangnya mereka merasakan harapan dan impian boleh digapai jika kombinasi prasyarat kemenangan dapat dipenuhi. Sesungguhnya keyakinan amat penting buat aktivis pilihan raya berdepan situasi sukar, tetapi penuh harapan itu.

Dan sememangnya Johor selama ini popular dengan "kolam pemimpin muda" berkebolehan, yang cukup berdedikasi, energetik, berfikiran terbuka, dan lebih penting lagi bersedia dengan idea-idea baru yang praktikal, bagi memecahkan tembok penghadang di antara PAS dengan golongan massa. Sesungguhnya tidak mudah untuk PAS mula bertapak kukuh di negeri ini dan sudah tentu cabarannya selepas ini berdepan liku-liku sukar.

Malam Ahad itu, saya dan Wan Nordin singgah dan bermalam di Kulai, ditemani wartawan Harakah Johor, Salman Hussin. Kami sempat mengikuti Bicara Selebriti membabitkan beberapa personaliti terkenal anak seni, seperti Aishah, Bob Lokman dan Mel bekas vokalis Wings, selain pejuang peneroka dan generasi kedua Felda, Mazlan Aliman, di Felda Taib Andak.

Sengaja saya memilih lokasi agak belakang, sedikit tersorok, sambil menyandar pada sebuah kereta di tepi jalan (sebenarnya saya berdiri hampir dua jam, dengan bertongkat, tempoh paling lama sejak diserang strok kali pertama pada pertengahan tahun 2010!), cuba untuk mendengar reaksi langsung anak-anak muda terhadap program tersebut. Sebahagiannya melihat dan memandang telinga dari jauh, di atas motosikal masing-masing.

Saya perhatikan ramai di antaranya, termasuk remaja perempuan, yang teruja dengan bentuk persembahan Bicara Selebriti, yang dianggap satu kelainan. Bob Lokman memang bijak berperanan sebagai moderator, sambil menyelitkan nasihat agama, disulami humor bermakna dan menjentik kesedaran politik audien melalui persoalan kepada Mazlan, di sekitar isu semasa Felda, terutama berkaitan penyenaraian FGVH, dengan pendekatan mudah dan menyenangkan.

Kisah "penghijrahan" Aishah mungkin sudah ratusan kali diulangnya namun ia tetap menarik dan mengusik emosi, apatah lagi untuk warga Felda Taib Andak yang baru pertama kali menariknya. Namun, nyanyian Mel lebih memukau walaupun dengan sokongan "PA system" bertaraf amatur.

"Aishah tak boleh menyanyi ke? Lagu nasyid pun jadilah, takkan tak boleh kot?" Saya terdengar bisik seorang pendengar wanita, agaknya dalam usia 20-an kepada teman sebayanya. Beberapa minit kemudian, seorang kawannya, lelaki, datang menyapa.

Beliau menyebut nama Mazlan yang sedang berucap ketika itu sambil memperkenalkan later belakang Presiden Anak kepada dua wanita berkenaan. Sepintas lalu, lelaki itu menyebut jasa-jasa Mazlan kepada peneroka Felda. Dalam hati saya terdetik, "hebat sekali, penjelasan spontan di tepi jalan dalam majlis santai ini, cukup mengesankan, terutama untuk khalayak yang baru."

Maaf, saya terpaksa menangguhkan dahulu catatan ini atas keuzuran. Saya tidak mahu subjek yang begitu besar dan penting, tentang politik sebuah negeri yang begitu menarik, akan menjadi hambar apabila idea lebih pantas mencurah daripada tulisan tangan yang semakin tidak bermaya ini.

Meneliti pola pengundian pada 2008, saya kira tsunami politik belum membadai bumi Johor, bukan sahaja dari kalangan pengundi Melayu, malah orang Cina sendiri. Masyarakat Tionghua yang kelihatan teragak-agak pada PRU12, kali ini dijangka memberi undi sepenuhnya kepada Pakatan Rakyat.

Malah, jika sebahagian pengundi Melayu, khususnya generasi muda termasuk di Felda, golongan terpelajar, kelas menengah, dan tidak terkecuali kelompok di kampung-kampung tradisi, beralih menyokong Pakatan, atau menunjukkan protes terbuka kepada Umno, maka sejarah baru politik Malaysia benar-benar akan terukir nanti.

Saya ingin menutupnya dengan memetik rumusan analisis buku Pilihan Raya Umum Ke-12: Isu dan Pola Pengundian, iaitu, "Peningkatan kawasan campuran akan menjadikan pola, bahasa, reka bentuk semulajadi politik di Malaysia terutamanya di Johor akan berubah ..."

Saya cuba memberikan analisis lanjut seterusnya nanti, insya-Allah. Selamat berpuasa dan mengimarahkan Ramadan. (Jutaan terima kasih dan penghargaan kepada warga kerja Wad 5J, HUKM, terutama Prof Dr Zamrin Dimon).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan