Saksi dakwa dipukul, ditendang anggota polis

Abdul Rahim Sabri
Seorang pesara Baharudin Hashim mendakwa beliau ditendang dan dipukul oleh anggota polis yang menangkapnya sewaktu pasukan keselamatan itu menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Saksi yang memberi keterangan di pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia itu berkata, beliau pada waktu itu berada di Wisma Kraftangan, berdekatan Masjid Jamek di Jalan Tun Perak.

Katanya, beliau melihat bahawa anggota polis yang menahannya itu memakai tanda nama tetapi tidak sempat membaca pengenalan diri tersebut.

"Mereka orang muda. Saya ada nampak tanda nama, tapi tak sempat nak baca... Mereka tangkap dengan mencekak kepala (saya).

"Selepas itu saya, rasa dipukul di kepala, ditendang dan diheret dari Wisma Kraftangan ke simpang (Tun Perak-Jalan TAR).

"Sepanjang jalan, ada polis, mereka tumpang sekaki... Saya rasa ditendang, dipukul di kepala, dipukul di belakang," dakwanya.

Bercakap di pendengaran awam berhubung perhimpunan BERSIH 3.0 itu, Baharudin berkata beliau berulang kali merayu kepada polis supaya melepaskannya.

"Saya kata, 'tolong lepaskan saya, saya sudah tua'. Saya kata berulang-ulang kali... Sampai di simpang saya ada dengar pegawai kata 'lepaskanlah, dia sudah tua'. Selepas itu saya bebas, tidak ditahan lagi," katanya.

Beliau mengalami lebam-lebam dan sengal-sengal badan akibat tindakan polis itu, katanya Baharudin.

Susulan itu, beliau membuat laporan polis berhubung insiden yang berlaku ke atas dirinya pada 4 Mei – hampir seminggu selepas kejadian tersebut, selepas peguam dari Lawyers for Liberty "memberi semangat" kepadanya untuk berbuat demikian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan