Abdul Rahim Sabri
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini mengancam untuk mendedahkan dakwaan salah laku seorang pegawai kanan Felda jika dilantik menjadi pengarah besar baru agensi tanah tersebut, bagi menggantikan Datuk Dzulkifli Abdul Wahab pada 1 September ini.
Berikutan itu, Presiden ANAK Mazlan Aliman berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih mempunyai masa untuk menimbang semula keputusan mesyuarat khas Lembaga Pengarah Felda berhubung perkara itu.
"Saya merayu kepada perdana menteri supaya dapat mempertimbangkankan kedudukan Datuk Dzulkifli. Seorang yang telah bekerja, bermula dari bawah dan berjasa selama lebih 30 tahun (kepada Felda)," katanya.
Mazlan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai
dakwaan salahlaku tersebut, dan bukti yang beliau ada, tetapi berkata pegawai kanan itu rapat dengan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad (kiri).
Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibunegara hari ini, Mazlan berkata, masih ada beberapa hari lagi untuk perdana menteri menimbangkan semula perkara itu.
Jika cadangan pelantikan pengganti Dzulkifli itu diteruskan, Mazlan berkata pihaknya akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya disiasat dakwaan itu terhadap pegawai kanan berkenaan.
Dilaporkan Dzulkifli "disingkirkan" sebagai pengarah besar Felda dan akan dipindahkan ke Kementerian Asas Tani serta ditugaskan ke Rom, Itali.
November tahun lalu Dzulkifli (kanan) dilapor diarah bercuti dan mengikuti kursus pengurusan lanjutan bagi meningkatkan prestasi untuk melakukan transformasi Felda.
ANAK bagaimanapun beranggapan tindakan itu ekoran beliau tidak disenangi kerana didakwa menentang usaha menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan