Kenapa dikatakan laluan utara - selatan ini keras

SITI NOR AFZAN KASIMAN
SEBAHAGIAN besar kisah misteri di lebuh raya didakwa berlaku pada waktu malam. - Gambar hiasan
DI SEBALIK keghairahan warga kota yang berpusu-pusu pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri, banyak cerita mistik dikaitkan dengan lebuh raya yang mereka lalui.

Lebuh Raya Karak dan sepanjang jalan lama dari Genting Sempah ke Gua Musang, misalnya, popular dengan pelbagai kisah seram yang tersebar di internet.

Ramai yang mendakwa mereka bertemu entiti menyeramkan seperti kelibat kereta rosak, ibu mendukung bayi, kereta tanpa pemandu dan Volkswagen kuning di laluan ke Pantai Timur itu.

Perjalanan ke arah selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat-Pedas Linggi juga sering diuar-uarkan sebagai kawasan berpenunggu. Banyak kemalangan ngeri dilaporkan terjadi di situ.

Menurut anak kelahiran Johor, Masnita Abdul Rahim, 38, dia pernah terserempak dengan kereta Proton Iswara putih yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Kereta bau bangkai

“Ketika itu, saya memandu kereta bersama anak lelaki saya yang berusia 15 dan 12 tahun. Kami dalam perjalanan dari Seremban, Negeri Sembilan ke Pagoh, Johor untuk menziarahi ibu mertua yang sakit.

“Apabila tiba di bawah jejantas Simpang Ampat kira-kira pukul 1.30 pagi, saya lihat ada sebuah kereta Iswara putih kira-kira 500 meter di hadapan saya yang dipandu perlahan.

“Mungkin pemandunya mengantuk lebih-lebih ketika itu hujan gerimis. Semakin saya mendekati kereta itu, hidung saya terhidu bau busuk seperti bangkai.

“Apabila saya memintas kereta itu, bau busuk itu semakin kuat sehingga memaksa saya menurunkan cermin kereta.

“Pada masa itu, saya memandang sekilas ke arah kereta tersebut dan sangat terkejut apabila mendapati bahagian hadapan kereta itu rosak teruk. Kalau diikutkan fikiran logik, ia memang tidak boleh bergerak lagi.

“Saya mula rasa tidak sedap hati. Apabila saya tanyakan kepada anak-anak saya, mereka tidak nampak kereta yang saya maksudkan malah mereka juga tidak tercium bau bangkai.

“Apabila saya melihat ke cermin pandang belakang, saya lihat kereta tersebut sudah tiada.

“Perasaan aneh dan seram terus menyelinap dalam diri. Saya cuma bertawakal sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk menenangkan hati,” cerita Masnita.

Sementara itu, bagi seorang gadis yang mahu dikenali sebagai Izza, dia pernah berdepan kejadian misteri di kawasan lebuh raya arah selatan itu.

“Petang itu selepas habis waktu kerja, saya dan rakan, Nisa berhajat untuk pergi ke Masjid Tanah, Melaka bagi menziarah rakan kami yang baru bersalin.

“Memandangkan kami bekerja di Senawang, perjalanan ke Masjid Tanah tidaklah begitu lama, kira-kira 45 minit sahaja jika menggunakan lebuh raya.

“Selepas meluangkan bersama rakan kami itu dan puas menilik bayinya yang comel, kami meminta diri untuk pulang. Ketika itu jam menunjukkan pukul 11 malam.

“Nisa memandu kereta Kelisa miliknya dan kami berbual sepanjang perjalanan untuk mengelak daripada mengantuk,” kata Izza.

Sebaik sahaja memasuki Plaza Tol Pedas-Linggi, Nisa tiba-tiba membrek secara mengejut.

Tindakannya itu mengundang rasa cemas Izza. Apa yang lebih menggeramkannya, Nisa langsung tidak bersuara.

“Beberapa minit selepas itu, Nisa memberhentikan keretanya di tepi jalan. Dia minta saya memandu, katanya kakinya menggigil dan kepalanya berdenyut.

“Saya tidak memikirkan yang bukan-bukan. Mungkin Nisa juga masih terkejut dengan tindakan berbahayanya tadi.

“Tidak lama selepas saya memandu, saya cuba berbual dengan Nisa, namun dia hanya membisu. Beberapa minit kemudian, Nisa bertanya kepada saya, kau nak bawa aku ke mana?

“Saya menjawab, hendak balik ke rumahlah. Bukankah engkau yang suruh aku bawa kereta tadi?
GAMBAR misteri wanita berkebaya merah dirakamkan oleh seorang pengguna lebuh raya pada tahun 2009.
Lelaki tua

“Nisa bertanya lagi, rumah aku tu dekat mana? Saya mula berasa tidak sedap hati. Bila saya toleh ke kiri, saya lihat Nisa menundukkan kepalanya dengan rambutnya yang lebat dan panjang itu menutupi mukanya.

“Melihatkan keadaannya, saya berasa seram, apatah lagi Nisa kerap ketawa dengan perlahan. Sebaik sahaja membayar tol di Senawang, saya memberhentikan kereta di plaza tol itu dan keluar daripada kereta.

“Nisa sempat bertanya, rumah aku jauh lagi? Belum sempat saya menjawab, dia sudah ketawa mengekek. Saya katakan, dekat saja lagi, saya kata kepadanya, saya mahu ke tandas dan memintanya tunggu di kereta.

“Saya terus ke tandas dan menghubungi bapa. Saya ceritakan apa yang telah terjadi kepada kami dan bapa meminta saya tunggu di situ sehingga dia datang.

“15 minit kemudian, bapa, ibu dan dua adik lelaki saya tiba. Saya menaiki kereta bersama ibu dan adik, sementara bapa dan seorang lagi adik memandu kereta Nisa menuju ke rumah seorang ustaz di Port Dickson untuk berubat.

“Setibanya di rumah ustaz, Nisa terus diubatkan. Saya tidak berani masuk sebaliknya cuma duduk di sofa bersama ibu di luar.

“Saya dengar Nisa meracau-racau menjerit meminta tolong. Bila ustaz menyuruhnya keluar, Nisa menjawab, ‘keluarganya’ telah dimusnahkan oleh Nisa dan ‘dia’ enggan melepaskan Nisa.

“Sekitar pukul 3 pagi barulah Nisa tidak melawan dan dapat dipulihkan. Ketika itu ahli keluarga Nisa juga sudah sampai untuk membawanya pulang berehat di Tampin,” katanya.

Selang beberapa hari kemudian, Izza pergi melawat Nisa di rumahnya dan bertanyakan apa yang berlaku malam itu. Nisa memberitahu, dia nampak ada lelaki tua menaiki basikal sedang melintas jalan.

“Semasa dia meminta saya memandu, dia masih sedar. Namun selepas itu dia langsung tidak sedar apa yang berlaku ke atasnya,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan