Merdeka: Penjawat awam dibayar RM30 penuhi Stadium Bukit Jalil

Norutul Ilham
KUALA LUMPUR, 29 Ogos: Kerajaan Umno BN didedah mengerahkan kakitangan awam dan badan berkanun hadir ke sambutan Hari Kemerdekaan bagi menjayakan Himpunan Janji Ditepati yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Ogos ini.

Surat arahan yang sama juga diedarkan kepada kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut sumber daripada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), surat pengerahan kakitangan mula dihantar melalui Unit Sumber Manusia dengan mewajibkan setiap jabatan menghantar wakil.

“Berdasarkan surat tersebut, KTMB diwajibkan menghantar 100 penyertaan dan setiap jabatan wajib hantar wakil.

“Mengikut surat itu, mereka akan diberikan RM30 dan sehelai t-shirt, tetapi tidak diketahui bila duit itu akan diberikan,” katanya kepada Keadilan Daily.

Bagaimanapun kata beliau, sebagai balasan, mereka yang hadir akan diberikan cuti ganti sehari.

“Kalau ikutkan surat tersebut, pihak penganjur mahu capai ‘target’ lebih 100,000 hadir program itu,” katanya.

Pengerusi KTMB, Datuk Seri Ir Mohd Zain Mohamed merupakan Koordinator BN Selangor yang juga Ahli Parlimen Sepang.

Ramadan lalu, kakitangan KTMB dijadikan alat kempen kerajaan semasa program penyampaian kurma di beberapa stesen terpilih dengan memakai baju korporat BN.

Pada April pula, 30 bendera BN dipasang di Stesen Komuter Batu Tiga dan 10 lagi di Stesen Komuter Shah Alam.

Baru-baru ini, iklan kempen ‘Sayangi Selangor’ yang menampilkan gambar Datuk Seri Najib Razak mula ditampal di tangga, tiang dan gerabak komuter, terutama di laluan menghala ke Pelabuhan Klang.

Gambar Perdana Menteri itu diiringi slogan ‘Kami mendengar dan memahami keperluan anda tentang pendidikan’ dan ‘Kami mendengar masalah anda tentang kos sara hidup.
-keadilandaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan