Ustaz Azhar Idros bersama selebriti di Dataran Kemerdekaaan Shah Alam, Sabtu ini

SIRAJ MOHD ZAINI
SHAH ALAM, 8 OGOS: Ustaz Azhar Idros, Faizal Tahir, Ali XPDC dan Diana Amir antara selebriti yang akan hadir pada sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaaan Shah Alam pada Sabtu ini.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sambutan ini diadakan bersempena sambutan Hari Belia peringkat Antarabangsa yang akan disambut pada 12 Ogos ini.

“Beberapa pengisian sudah dirancang bermula jam 9 pagi sehingga lewat malam dan beberapa selebriti terkenal akan hadir memeriahkan sambutan pada kali ini,” katanya ketika sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Menurutnya, antara program menarik pada sambutan kali ini adalah pertandingan memasak bubur lambuk, pertandingan catur piala Menteri Besar dan sesi motivasi ‘Ramadanku’ bersama Selebreti TV9 Ustaz Zamri dan Yatt Hamzah.

Katanya, pengunjung juga turut dapat berbuka puasa bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan solat maghrib dan isyak serta terawih bersama-sama di sana.

Di sebelah malamnya, Abdul Khalid akan melancarkan Belia Ehsan Selangor diikuti persembahan istimewa Faizal Tahir dan diakhiri dengan sembang santai bersama Ustaz Azhar Idros bersama selebriti jemputan.

Dengan bertemakan ‘Anak Muda Pemacu Pembangunan Negeri Selangor’, sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Selangor diharap dapat menarik orang ramai untuk sama-sama hadir memeriahkan program sehari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan