Adegan P Ramlee di alam nyata

ABD JALIL ALI
SEPERTI dijangka sehari dua ini ramai yang masuk surat khabar sebab tumpang semangkuk, naik semangat dan marah berapi-api apabila gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipijak.

Sekumpulan remaja memijak gambar pemimpin 1Malaysia itu pada perhimpunan ‘Janji Demokrasi’ di Dataran Merdeka, betul-betul malam menyambut kemerdekaan ke-55. Tidak sahaja melanyak gambar, ada juga yang mengibarkan bendera lain konon sebagai ganti Jalur Gemilang.

Orang Umno cepat menuding jari pada parti pembangkang yangdikatakan menjadi dalang insiden tersebut. Konon, pembangkang menyemai perasaan benci kepada kerajaan, dan menaikkan semangat kumpulan remaja berkenaan.

Pembangkang pun menuduh Umno sebagai dalang. Konon komponen terbesar BN itu sengaja mengupah beberapa orang remaja supaya memijak wajah pemimpin No.1, untuk menggambarkan betapa teruknya perangai pembangkang.

Tidak tahu – dan tidak perlu difikirkan! – siapa yang betul. Apa yang jelas memijak kepala orang, walaupun hanya gambar, memang perbuatan tidak betul. Sebab itu, tidak kira puak pembangkang atau puak pemerintah, semua tidak setuju tindakan sekumpulan remaja itu.

Kurang ajar, biadab, penderhaka, itu antara istilah yang digunakan media untuk menyatakan tentangan. Di alam maya – Facebook, Twitter, blog – kemarahan terhadap tukang pijak diluahkan dalam istilah yang lebih teruk: sewel, gila babi, keparat, bodoh, bangang, dan istilah-istilah carut lagi lucah.

Sebenarnya orang kita memang suka pijak-memijak, tikam-menikam, tolak-menolak, tenggek-menenggek, semuanya untuk pangkat, kedudukan, wang ringgit dan sebagainya. Perihal tabiat memijak gambar pun bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sebelum ini sudah kerap kita melihat gambar para pemimpin dipijak, dilenyek, malah dikencingkan.

Tentu semua masih ingat insiden 2009, gambar tiga orang Adun Bebas di Perak dipijak oleh pemimpin DAP. Jamaluddin Mohd Radzi (Adun Behrang), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Fong (Jelapang), ketika itu dianggap katak sebab keluar PR dan mengumumkan pro-BN. Sebab itu kena pijak.

Gambar Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Yang Dipertua Pas Selangor pun pernah kena pijak pada perhimpunan ‘kepala lembu’ di hadapan bangunan SUK Negeri, berhubung isu pemindahan kuil.

Malah, pernah terjadi poster wajah Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Abdul Hadi Awang dipijak dan dikencingkan. Dulu, kini dan selamanya orang kita memang selalu meluahkan perasaan secara tidak sopan @ samseng.

Insiden terkini pada malam merdeka itu membuat ramai orang marah, termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Seperti yang dilaporkan media, beliau akan bertindak tegas dan menyegerakan proses undang-undang terhadap pelaku tindakan biadab itu.

Polis pun berjanji akan bertindak segera dan akan menyiasat kes kibar bendera baru mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan 1948, manakala memijak gambar pemimpin negara mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan mudarat serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Harap-harap pihak berkuasa betul-betul bertindak tegas, bukan sahaja ke atas insiden gambar PM, malah ke atas tukang-tukang pijak sebelum ini.

Baik yang pijak Najib, Khalid, ‘sang katak’, Tuan Guru, semua perlu dijejaki, didakwa dan dihukum. Semua orang tidak suka budaya samseng.

Kalau ditanya pada saya mengenai insiden memijak kepala pemimpin, jawapan paling tepat bukan kurang ajar, biadab atau gila babi. Semua ini adalah kelakar, itulah jawapan selamba lagi sempoi daripada saya.

Saya teringat salah satu adegan dalam filem klasik P Ramlee, kalau tidak silap ‘Do, Re, Mi’. Terjadi perkelahian antara Re dengan Mi sebab masing-masing tidak mahu mengalah dan hendak tunjuk kuat mengenai satu isu.

Sang hero @ P Ramlee telah mengepal-ngepal dua kertas kemudian meletakkan di hadapan dua orang yang berkelahi itu, sambil berkata: “Yang ini kepala bapak engkau, yang ini kepala bapak engkau!” Lalu kedua musuh itu memijak kepala bapak lawannya. Dua-dua tidak menang!

Seniman agung itu memang berpandangan jauh. Lama sebelum ada BN dan PR, beliau sudah melawak-lawakkan adegan pijak kepala. Hari ini adegan lawak itu terjadi di alam nyata, dan rakyat sedang menontonnya di hadapan mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan