Perkasa cemas gara-gara lempar kasut

Subky Latif
BAGAIMANA Perkasa, sebuah NGO politik yang berimej samseng boleh cemas dengan dakwaan ia yang melempar kasut dalam masjid di Kedah yang disasarkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkasa tidak mengaku ia angkaranya dan menggesa ia disiasat dan buktikan ia angkaranya.

Orang Alor Setar kenal suku sakat Perkasa di situ dan di antara orang kuat Perkasa itu adalah orang UMNO. Dengan kejadian samseng di masjid itu, penyokong-penyokong Anwar yang memenuhi masjid itu tidak payah untuk mengecam anasir-anasir Perkasa yang ada di tengah mereka. Penyokong Ketua Pembangkang – PKR dan PAS – yang ada di masjid tidak teragak-agak menuduh ia gara-gara angkara Perkasa.

Perkasa ditubuhkan oleh Ibrahim Ali, MP Pasir Mas yang memang dikenali samseng sejak di zaman pelajarnya lagi. Ditubuhkannya Perkasa adalah membela UMNO yang tidak dapat mendakwa sebagai pembela Melayu kerana parti itu adalah penjual bangsa Melayu. Apa yang UMNO dan pemimpinnya cakap tentang Melayu tidak dipercayai orang.

Perkasa muncul bagi menggantikan UMNO untuk bercakap tentang orang Melayu. Ia mengaku NGO sebenarnya bekerja untuk UMNO dan kerajaan pimpinan Najib.

Bahasa orang politik pendekatannya adalah radikal. Pada orang Melayu radikal itu adalah samseng.

Anwar dalam jelajah Merdeka Rakyatnya singgah bertazkirah di sebuah masjid di Kedah. Lalu samseng tadi mensabotaj lampu dan pembesar suara hingga bergelap dan suara tazkirah tadi tidak didengar. Antara yang menjolok mata, anasir itu melempar kasuk yang disasarkan kepada Anwar tetapi mengenai orang lain.

Tidaklah banyak kejinya antara melempar kasut di masjid dengan memijak dan menungging punggung pada gambar Najib di Dataran Merdeka yang heboh sekarang.

Orang melondeh seluar dan memijak gambar PM itu sudah dikenal pasti kerana polis memang memerhatikan semua yang berlaku dalam Himpnan Janji Merdeka itu.

Walaupun Anwar itu Ketua Pembangkang dan Perdana Menteri menunggu, polis tidak terasa ia ada tanggungjawab melindungi majlis yang dihadirinya dari diganggu samseng. Tidak seperti polis di negara-negara yang mengiktiraf sisstem ketua pembangkang, menjaga keselamtan Ketua Pembangkang sama dengan menjadi keselamatan Perdana Menteri.

Bukan Perkasa saja pertubuhan samseng di dunia. Biasanya pertubuhan samseng itu membuat kacau terhadap seterunya di mana-mana saja. Kadang-kadang mereka meletupkan bom dan menembak orang.

Dalam setiap kejadian mereka nantinya mengaku bahawa kejadian itu mereka yang melakukannya. Mereka tidak sekadar tembak curi atau pukul lari. Mereka kemudian menghantar mesej kepada polis atau kepada media mengaku mereka yang punya angkara.

Semseng itu ada keberanian dan seolah-olah ada benda yang diperjuangkannya. Ia dibuat begitu kerana mereka mahu orang tahu akan kewujudannya dan kegiatannya. Tentulah pengakuan itu ada risiko tindakan ke atasnya.

Mereka sanggup menghadapi risiko itu.

Akan tetapi Perkasa tidak ada keberanian itu. Orang ramai di tempat kejadian tahu anasir Perkasa ada di situ dan mereka amat yakin ia angkara Perkasa. Sama ada dakwaan orang itu betul atau tidak, orang luar yang mengikuti kegiatan Perkasa percaya Perkasa boleh melakukannya.

Mungkin Perkasa tidak terlibat. Tetapi memandangkan Perkasa itu memang samseng, orang boleh percaya ia yang buat.

Sangkaan orang itu adalah satu pengiktirafan kepada Perkasa. Perkasa patutnya seronok dan berbangga bila orang akui ia garang, berani dan samseng.

Tetapi apabila Perkasa dituduh melempar kasut ia seorang tergamam. Tidak berkata beberapa ketika. Lama kemudian baru ia bersuara tidak mengaku dan menyuruh supaya disiasat.

Tidakkah itu cemas namanya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan