Mohd Sayuti Omar
Kadang-kadang nasib malang dan penganiayaan berlaku ke atas seseorang atau kumpulan di negara ini berlalu begitu saja. Kalau tidak ada yang membela kejadian itu akan tertutup dari pengetahuan awam. Sedihnya ia akan jadi seperti mana katak atau ular yang mati dilanggar kereta, bangkainya akan dibiarkan berulat di tengah jalan, dan lama ke lamaan hancur begitu saja diselam tanah.
Abu Bakar Abdullah: Teraniaya
Begitu juga dengan nasib sesetengah pegawai kerajaan yang tidak ada kekuatan untuk melawan atau pun ada jiwa membela diri terhadap tindakan politik oleh parti pemerintah. Nasib malang yang yang diterimanya dibiarkan saja dengan meletakkan semua itu atas kehendak takdir untuk tidak mendamaikan jiwa. Sesetengah dari mereka mati beragam begitu saja kerana tidak ada keupayaan untuk membela diri disebabkan berjauhan dengan penguasa-penguasa politik.
Mereka yang dekat dengan penguasa politik apa lagi yang sedia menjadi perkakas akan mendapat manfaat lumayan seperti kenaikan pangkat dan segala macam kemudahan termasuk memakan gaji buta. Walaupun grednya jauh lebih rendah dan perkhidmatannya baru setahun jagung tetapi kerana dekat dengan penguasa, kenaikan pangkatnya secepat kilat di senja hari.
Yang tidak kenal penguasa dan tidak sedia jadi perkakas terus bersembahyang hajat mendoakan kenaikan pangkat. Setengah sampai berlumut di ruang pejabat tetapi pangkat tetap tidak naik. Lalu mereka pun senyap-senyap mendengangkan lagu, "di manakah keadilan" seorang diri?
Misalnya nasib malang diterima oleh bekas Ketua Pengarah JPA, Abu Bakar Abdullah yang ditamatkan perkhidmatannya sesuka hati oleh kerajaan, hampir terbiar begitu saja, tidak ada mana-mana pihak mempedulikannya. Kesatuan pegawai-pegawai kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa untuk membela atau memberi simpati kepada Abu Ab Bakar kerana beliau pegawai tinggi. Lagipun kesatuan hanya membela orang-orang rendah daripada Abu Bakar. Jadi orang tinggi teraniaya siapa membela?
Mungkin tindakan kerajaan memecat beliau ada alasan, tetapi sejauh mana alasan itu memenuhi ehsan pertimbangan manusia boleh dipertikaikan. Mungkin Abu Bakar dan kita semua dapat menerimanya. Namun keadilan terhadapnya masih boleh dipertikaikan.
Apabila Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar membangkitkan di parlimen isu pemecatan Abu Bakar dianggap zalim itu, ia merupakan satu pembelaan oleh Pas. Tindakan Mahfuz membawa isu ke parlimen sebagai kepedulian terhadap nasib malang diterima Abu Bakar. Saya nak tanya di mana peranan ahli parlimen BN terutamanya ketua pemuda Umno yang tidak ada kuasa, Khairy Jamaluddin? Syabas kepada Mahfuz kerana prihatin mengenai perkara ini.
Saya bersetuju dengan persoalan oleh Mahfuz sebagai menjawab penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz berhubung pemecatan itu; bahawa pemecatan Abu Bakar atas alasan kesalahan berhubung penglibatan Abu Bakar dalam menggubal dan melaksanakan SPBA yang dibuat tanpa mengambil perhatian semua golongan perkhidmatan.
Soal Mahfuz dalam sidang akhbar, adalah tidak adil kalau tindakan itu dipersalahkan kepada Abu Bakar saja sebab yang terlibat dalam menggubal dan melaksanakan SPBA itu bukan Abu Bakar bersendirian. SPBA dibincang dalam mesyuarat gaji kabinet dan dipengerusikan sendiri oleh Najib Razak.
Anihnya pada peringkat awal Najib sendiri bersetuju dan memuji SPBA. Apakah semasa membuat kelulusan itu Najib tidak menyemak dan bersetuju buta begitu saja? Kalau begitulah caranya macam mana Najib boleh muncul menjadi seorang perdana menteri cemerlang. Seorang perdana menteri seharusnya lebih prihatin, peka daripada mana-mana kumpulan.
Justeru yang perlu bertanggungjawab bukan saja Abu Bakar tetapi Najib juga perlu memikul tanggungjawab sama dengan meletak jawatan? Atau sekurang-kurangnya Najib perlu memohon maaf dan dia sendiri harus ambil tanggungjawab membela Abu Bakar atau pertahankan dari menamatkan perkhidmatan Abu Bakar begitu saja.
Apakah tindakan itu bukan penganiyaan dan kezaliman ke atas Abu Bakar?
Saya perhati Abu bakar mendiamkan diri berhubung kesnya itu menyebabkan orang akan menuduh yang bersalah 100% adalah dia. Beliau seakan tidak ada naluri langsung untuk bangkit membela diri. Di sini apa kata kalau saya cadangkan Abu Bakar mula bangkit untuk membela penganiyaan itu dengan bertanding dalam pilihan raya akan datang. Pas mungkin boleh berikan kerusi parlimen Putrajaya kepadanya.
Kalau Abu Bakar sedia terjun ke dalam politik dan bertanding, tujuannya bukan hendak membela dirinya semata-mata tetapi tetapi untuk mengajar kerajaan yang berlaku zalim ke atas orang sepertinya dan para pegawai lain. Saya yakin kalau Abu Bakar sedia menawar dan mengorbankan diri ramai yang menyokongnya.
Abu Bakar boleh cuba merisik perkara ini. Saya rasa kalau kerusi Putrajaya diberikan kepada Abu Bakar banyak undi simpati dari kalangan pegawai kerajaan akan masuk ke peti undinya. Kalau kena strategi dan taktik ia boleh menyebabkan Teuku Adnan Teuku Mansor akan mati terkangkang di Putrajaya? Apa kata?
Lagi pun katanya Pas ketiadaan calon yang sesuai untuk diletakkan di Putrajaya. Ada ura-ura untuk meletakkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi Nik Mohd Zain Yusuf untuk bertanding di situ tetapi calon itu agak tua bimbang tidak mendapat sokongan golongan muda. [wm.kl.4:21 pm 30/10/12]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan