(Mohamad Sabu di mahkamah)
TASEK GELUGOR: Utusan Malaysia sanggup berbelanja besar mengimpot pakar sejarah dari England semata-mata ingin membuktikan bahawa Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu mengatakan Mat Indera bukan komunis.
Haji Mohamad yang diwakili peguam Hanipa Maidin dalam pembicaraan dihadapan hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam bertegas mengatakan Mat Indera pejuang Melayu yang kental malahan telah 'syahid' demi mempertahankan tanah air daripada cengkaman British.
Semalam 8 dan 9 Oktober merupakan pemulaan pembicaraan kes saman Haji Mohamad Sabu terhadap Utusan Malaysia setelah Utusan Malaysia membuat fitnah menuduhnya menyokong komunis.
Ia berikutan kenyataan Mohamad Sabu mendakwa Mat Indera bukan komunis ketika menentang pemerintahan British sebaliknya pejuang Melayu sejati semasa peristiwa Bukit Kepong diera sebelum kemerdekaan negara.
"Untuk membuktikan Mat Indera Komunis bagi menafikan kenyataan saya Utusan Malaysia sanggup berbelanja besar membawa pakar dari England. Entah berapa kos pula mereka tanggung penerbangan, penginapan dan makan minum ketika di sini," terang Haji Mohamad semasa ceramah merasmikan cawangan baru PAS di Taman Sena Indah dalam Parlimen Tasek Gelugor semalam.
Semasa dalam mahkamah beliau bukan sahaja menyifatkan Mat Indera mengamalkan corak perang secara Islam iaitu tidak membunuh tetapi sanggup menyelamatkan kanak-kanak, wanita dan orang tua daripada tertembak dalam peperangan menentng polis yang bekerja di bawah penjajah.
Cerita tangkapan Mat Indera juga turut dikesali, selepas pengsan ekoran terminum kopi yang dicampur sesuatu oleh kawannya sendiri yang diupah oleh penjajah.
Bila sedar saja sudah berada di balai polis dan seterusnya dihukum gantung sampai mati di Taiping, Perak.
Sedangkan beliau adalah seorang guru agama dan pernah mempelajari agama dari bapa Timbalan Perdana Menteri sekarang, Tuan Guru Haji Yassin.
Negeri Johor pula mengistiharkan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan, seorang pengerak cergas rakyat Muar dalam bidang kebajikan dan sebagainya.
Menurut Haji Mohamad lagi, adalah mustahil jika seseorang individu yang pernah berjasa pada masyarakat dianggap komunis melainkan penjajah yang tidak mahu kuasa mereka hilang kerana kebangkitan rakyat.
Katanya, semasa berceramah di Pusat Pendidikan Islam Padang Menora pada Ogos tahun lalu, beliau tidak pun mengeluarkan kenyataan menyokong perjuangan komunis.
Pita rakaman yang dirakam oleh pihak polis juga buat pertama kali diperdengarkan dalam Mahkamah Majistret Butterworth bulan lepas dalam kes dakwaan ke atas beliau atas petuduhan jenayah memfitnah.
Kes tuntutan jenayah itu akan disambung semula di mahkamah sama pada 15-18 Oktober ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan