Shahrizat (umno) 'menjanjikan' huru-hara sekiranya mereka kalah PRU13?

Harakahdaily 
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan kenyataan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang membayangkan tragedi 13 Mei 1969 akan berulang jika Umno hilang kuasa pada PRU13 sebagai 'bahaya' dan 'boleh mencetus huru-hara'.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan ketua wanita Umno itu bukan sahaja mempamerkan ketakutan Umno, malah cuba 'mengugut' rakyat.

"Kenyataan itu sebenarnya berbaur ancaman seolah-olah mereka akan berusaha mencetus huru-hara jika Umno kalah pilihan raya.

"Mereka cuba takutkan rakyat bahawa tragedi 13 Mei akan berulang jika Pakatan ambil alih kuasa," katanya.

Kenyataan ancaman Tragedi 13 Mei akan berulang itu dimuatkan dalam teks ucapan Shahrizat di Perhimpunan Agung Wanita Umno di Dewan Merdeka hari ini.

Dalam teks itu, bekas menteri yang turut terpalit skandal RM250 juta NFC itu berkata, jika Umno tidak lagi berada ditampuk kuasa, kestabilan politik negara "akan goyang" dan pastinya kaum Melayu yang menjadi rakyat majoriti di negara ini tidak akan senang.

Keadaan itu ujarnya dibimbangi akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berpendapat, kenyataan Shahrizat itu adalah hasil didikan 'mentor politik' Umno iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sering mengeluarkan kenyataan menakut-nakutkan rakyat.

Beliau dalam pada itu meminta PAS di semua peringkat membuat laporan polis berhubung kenyataan shahrizat yang disifatkan 'bahaya' itu.

"Oleh yang demikian saya mewakili pimpinan PAS mengarahkan semua peringkat parti untuk membuat laporan polis di seluruh negara atas kenyataan Shahrizat itu.

"Kita minta pihak polis mengambil tindakan segera sebagai tindakan mencegah, sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan