ADUN DAP buat laporan polis selepas terima 'bahan lucah'

Dua pemimpin DAP hari ini membuat laporan polis selepas masing-masing menerima sampul surat yang mengandungi dokumen dan cakera video digital (DVD) dipercayai mengandungi bahan lucah seorang individu yang didakwa menyerupai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R. Ganesan dan seorang wanita.

Laporan polis itu dibuat oleh dua pemimpin DAP Perak iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V. Sivakumar dan ADUN Buntong, A.N Sivasubramaniam di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, petang tadi.

Menurut laporan polis itu kedua-dua pemimpin DAP tersebut menerima sampul surat yang dialamatkan kepada mereka pada 10.30 pagi.

Sampul surat yang mengandungi dokumen dan DVD lucah itu dihantar melalui perkhidmatan Pos Laju ke Ibu Pejabat DAP Perak dan disampaikan oleh seorang petugas pejabat berkenaan ketika mereka berada di persidangan DUN.

Bercakap pada sidang media, Sivakumar berkata laporan polis itu dibuat supaya ia tidak menjejaskan imej speaker dan DUN Perak.

Beliau turut mendakwa pengirim pada sampul surat yang diterima beliau itu tertulis Badan Perhubungan MIC Perak.

Sementara itu, Ganesan yang ditemui di pejabatnya berkata beliau akan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

"Saya akan melaporkan perkara itu kepada polis dan saya meminta pihak polis menjalankan penyiasatan. Saya tidak tahu tentang semua perkara ini," katanya.
- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan