Amanat Haji Hadi: Amanat Mahathir bagaimana?

Ahmad Fadhli Shaari

1. Saya tertarik apabila membaca desakan beberapa orang ulama Umno yang mahu agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menarik balik apa yang disebut sebagai Amanat Haji Hadi yang didakwa disampaikan oleh beliau pada 7 April 1981 iaitu lebih kurang 31 tahun lepas. Ini termasuklah Pengerusi ILMU sendiri, Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya di muka hadapan Sinar Harian dan Utusan Malaysia hari ini 18 Disember 2012 yang mendesak agar Amanat ini ditarik balik. Dengan tidak menafikan hormat saya kepada ilmu yang dimiliki oleh beliau, saya mengira bahawa desakan ini tidak lain hanyalah merupakan salah satu helah dari pihak UMNO untuk mencalarkan imej Presiden PAS ditambah dengan suasana yang sedang menghampiri PRU13 ini.


2. Apa yang disebut sebagai Amanat Haji Hadi ialah ucapan biasa beliau di sebuah majlis ceramah pada tahun 1981 (ada versi yang menyebut 1979) di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu. Ia kemudiannya dicetak oleh individu perseorangan yang disebut sebagai amanat dan didakwa kemudiannya sebagai punca pemecahbelah umat Islam dan penyebab berlakunya solat dua imam di beberapa lokasi khususnya di Terengganu. Padahal sehingga sekarang tidak ada sebarang kajian terperinci yang dapat mengesahkan dakwaan ini.

3. Perlu diingatkan bahawa isu ini telah berkali-kali dibangkitkan khususnya menjelang pilihanraya umum. Padahal jika disoroti sejarah, Abdul Hadi sendiri pernah bersedia untuk bermuzakarah dengan Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2001 tentang isu amanat ini. Pada masa itu barangkali Pengerusi Ulama Muda Umno masih belum terlibat dengan politik atau sedang sibuk berprogram bersama-sama ahli PAS di Madinah. Sekitar bulan April tahun 2001 menyaksikan bagaimana isu 'Amanat' ini dimainkan secara besar-besaran dengan tujuan untuk menjatuhkan imej Tuan Guru Abdul Hadi (pada masa itu Menteri Besar Terengganu) di kalangan pengundi Melayu. Akhirnya, apabila isu ini diperbesar-besarkan sekian lama dan Majlis Fatwa Kebangsaan dikatakan telah bersetuju untuk bermuzarah, tiba-tiba pada 2 Mei 2001, Dr Ismail Ibrahim (pada masa itu sebagai Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan) muncul di kaca televisyen membuat kenyataan bahawa muzakarah tersebut dibatalkan ekoran ia telah dipolitikkan oleh golongan-golongan tertentu. Soalnya, siapakah yang mempolitikkan isu ini?

4. Saya melihat bahawa usaha Ulama Muda Umno ini lebih kepada mengalih isu yang sedang berlegar di kalangan mereka yang hakikatnya sedang diperhatikan satu persatu oleh rakyat. Adapun apabila ia disokong oleh beberapa orang mufti yang sudah dikenali sebagai pro-Umno, ia langsung tidak menjadi satu perkembangan yang menakjubkan. Mufti Perak sendiri yang masih belum hilang wangi di tangannya setelah menerima sendiri Anugerah PERKASA dari Datuk Ibrahim Ali tentu tidak akan melepaskan peluang ini untuk menghentam PAS habis-habisan.

5. Adapun pihak Ulama Muda Umno, saya kira lebih baik mereka menjawab isu TIADA JIHAD DI PALESTIN yang telah dinyatakan oleh seorang ustaz mereka di dalam salah kuliahnya. Ia tersebar di dalam media Youtube sehingga mengundang kritikan ramai pihak. Tidakkah ini lebih mengelirukan daripada membangkitkan isu lama yang tidak relevan? Atau lebih manis sekiranya tuduhan Doktor Sheikh Al-Qaradhawi yang dikatakan khawarij itu diperjelaskan dengan lebih terperinci agar Tokoh Maal Hijrah yang dinobatkan oleh kerajaan Malaysia itu sendiri tidak dicemari dengan tuduhan liar ini. Atau adakah lebih tepat jika disebut bahawa kerajaan Malaysia telah memberikan anugerah kepada Tokoh Khawarij?

6. Lebih menarik lagi pula ialah salah seorang daripada Ahli Majlis Syura ILMU ialah Ustaz Rasul Dahri (rujuk : http://ilmuanmalaysia.com/tentang-kami/) yang mana buku-buku karangannya ada yang diharamkan kerana didapati menyebarkan mempropagandakan akidah, hukum dan ajaran yang bercanggah dengan Mazhab Ali Sunnah Wal Jamaah (rujuk : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/pengharaman-buku-buku-tulisan-saudara-rasul-dahri-yang-telah-diperakui-haram-0). Dalam keadaan ILMU terpalit dengan individu seperti ini, saya kira lebih baik Fathul Bari menumpukan perhatian kepada membersihkan tanggapan masyarakat terhadap ILMU terlebih dahulu.

7. Jika ucapan Abdul Hadi 30 tahun lepas yang disebut sebagai 'amanat' ini ingin ditarik balik, bagaimana pula dengan amanat Mahathir tentang hukum hudud yang mencetuskan kontroversi sedari dulu lagi. Tidakkah Mahathir pernah mengatakan pada 14 Julai 1992 bahawa 'apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan?" Tidakkah Mahathir juga yang menyebut pada 3 Mac 1994 bahawa 'hukum rejam kepada penzina adalah primitif?' Banyak lagi koleksi ucapan ini jika ingin dijadikan sebagai amanat. Ini belum mengambil kira kenyataan-kenyataan terbaru beliau bahawa hudud tiada di dalam Al-Quran dan isu 'syaitan yang dikenali'. Jika semua ucapan ini disebut sebagai amanat, maka tidak bahayakah Amanat Mahathir kepada umat Islam?

8. Saya kira Amanat Mahathir yang baru saja menyambut ulang tahun kelahirannya ini agak menarik untuk kita bincangkan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan