Jangan layan ‘Ulama upahan’

Menjelang PRU Ke-13 bermunculan pelbagai isu yang terbit dari pelbagai kenyataan bukan saja dari para pemimpin politik, tokoh masyarakat bahkan juga dari kalangan yang menggelar diri mereka ‘ulama’ atau ‘digelar ulama’.
Seingat saya, Malaysialah adalah negara yang begitu mudah orang ‘bergelar ulama’ atau ‘digelar ulama’ - baik dari kalangan muda mahupun tua.

Oleh itu orang jadi keliru bahawa kretaria yang bagaimana mahu dipakai untuk digelar ulama, sedangkan ulama ialah sebuah entiti yang sangat mulia di sisi Islam, pewaris nabi, golongan yang paling takut akan Allah dan pelbagai kemuliaan yang mereka miliki kerana ilmu dan ketakwaan mereka.

Di tengah-tengah simpang siurnya gelar ‘ulama’, keluarlah pelbagai fatwa, pandangan, malah kenyataan yang berbaur politk parti dan sebagainya.

Ini tidak membantu menyuburkan dakwah Islam, malah menambah kekeliruan lagi bagi masyarakat, malah menghambat kerja dakwah yang mulia.

Lebih-lebih lagi menjelang PRU Ke-13, maka riuh rendah dunia politik digamatkan lagi oleh kenyataan sesetengah yang dikatakan ulama, yang bunyinya pelik, sukar difahami dan tentunya sangat mengelirukan.

Umpamanya ada ‘ulama’ yang membongkar kembali isu Amanat Haji Hadi yang telah dilupakan sekian lama, ada pula yang menyebut mengenai kafir harbi, ada yang memberi pandangan yang bersifat rasis, malah ada yang terang-terang kelihatan seperti menjadi jurubicara parti pemerintah dan ada pula yang menyifatkan ulama tersohor dunia, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sebagai khawarij dan pelbagai lagi.

Pada hal dibandingkan ilmu Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dengan ilmu orang yang menuduh itu bagaikan bumi dengan langit. Namun yang menuduh itu tidak malu-malu dan tidak merasa bersalah, malah merasa sangat hebat.

Inilah anehnya keadaan di negara ini, lebih-lebih lagi menjelang PRU Ke-13. Apa pula kenyataan dan tuduhan yang akan muncul selepas ini, namun kita boleh menjangka akan muncul kenyataan yang lebih pelik lagi.

Namun suatu hal yang pasti ialah akan terus muncul ulama-us'suk (ulama jahat) di samping ulama sebenar (baik), yang memikul amanah sebagai pewaris Nabi). Hal ini akan berlaku di mana-mana di sepanjang zaman.
Revolusi bersejarah rakyat Mesir yang tercetus lebih setahun lalu menjadi iktibar penting bagaimana munculnya ulama jahat di tengah-tengah kancah revolusi rakyat Mesir itu dan kemunculannya beriringan dengan tulisan jahat dalam akhbar-akhbar Mesir yang turut menentang revolusi itu.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menjadi sasaran mereka, justru tokoh ulama besar ini mempertahankan Revolusi Rakyat Mesir itu, sedangkan ‘ulama upahan’ ini beserta penulis-penulis di akhbar Mesir menyerang pandangan Al-Qaradhawi dan turut sama mempertahankan rejim diktator Hosni Mubarak.

Dalam bukunya ‘Yusuf Al-Qaradhawi Dan Kebangkitan Rakyat’ (terjemahan) - terbitan Abim - menghuraikan bagaimana ulama besar dunia yang telah membaca 286,000 buku setakat ini, melakukan ijtihad bahawa demonstrasi rakyat menuntut keadilan dibenarkan oleh Islam.

Semuanya ini hasil keyakinannya yang kukuh bersandarkan kepada hujah Al-Quran dan Sunnah, juga hadis serta pandangan ulama muktabar terdahulu, ditambah dengan pengalaman dan pengamatannya
yang tajam terhadap suasana masa kini.

Fatwanya ini melumpuhkan pandangan golongan ‘ulama upahan’ yang berada di sekeliling pemerintah zalim Hosni Mubarak selama ini yang berpendapat demonstrasi menentang Mubarak itu adalah haram. Ulama ini berkhidmat di institusi kerajaan Mesir termasuk Mufti Kerajaan Mesir, Ali Jum’ah dan pemegang jawatan penting di institusi pengajian tinggi.

Bagaimanapun tetap ada di kalangan ulama yang berani menyokong demonstrasi tersebut.

Pandangan ‘ulama upahan’ ini disokong oleh pihak tentera dan polis serta pegawai tinggi awam, kalangan korporat dan golongan disekeliling Hosni Mubarak yang mengaut harta kekayaan Mesir. Merekalah yang mempertahankan diktator berumur 84 tahun itu.

Memang pada awalnya, media Mesir, malah media dunia Arab lain memberi ruang luas kepada pandangan ‘ulama upahan’ Arab yang mengatakan bahawa demonstrasi di Medan Tahrir itu adalah haram kerana kononnya menimpakan pelbagai kerosakan.

Iktibar dari peristiwa di Mesir itu ialah bahawa ‘ulama upahan’ ada di mana-mana dan pada setiap waktu. Dalam Revolusi Jasmine di Tunisia Januari 2011, muncul ‘ulama upahan’ yang menjadi imam di masjid jame’ Tunisia yang khutbahnya memuji diktator President Zine El Abidine Ben Ali.

Setelah Revolusi Jasmine itu berjaya menyingkirkan diktator tersebut, menghilang diri entah ke mana hingga kini. Inilah nasib ‘ulama upahan’.

Oleh itu tidak pelik ulama seperti ini ada di mana-mana dan bila-bila masa.

Menjelang PRU Ke-13 mungkin akan muncul pelbagai lagi jenis ‘ulama upahan’ seperti ini yang memberi fatwa dan pandangan yang pelik dan mengelirukan.

Oleh itu, PAS/Pakatan Rakyat sewajarnya tidak melayan karenah ‘ulama upahan’ yang hanya menimpakan kekeliruan. Pakatan perlu meneruskan gerak kerja pilihan raya tanpa memberi perhatian kepada pandangan yang mengelirukan, yang tujuan mereka hanya untuk menolong parti yang memerintah meneruskan hayat kuasanya.

Yang penting diberi perhatian ialah pengundi generasi baru yang dikatakan mencapai 40 peratus, suatu jumlah yang besar. Pengundi ini ada di mana-mana – di luar bandar mahupun di dalam bandar. Pengundi baru ini diyakini memberi perhatian kepada isu-isu rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dana awam, nepotisme, kronisme, pembaziran dan pelbagai lagi.

Inilah isu yang mesti diberi perhatian sungguh-sunggu, bukan memberi perhatian kepada pandangan ‘ulama upahan’ yang hanya mengelirukan.

Dalam masa yang sama, tumpuan perhatian juga perlu diberikan kepada kawasan ‘Malay Belt’ – kawasan pengundi Melayu – yang setakat ini menjadi pengundi majoriti.

Jika dua tumpuan ini diberikan, di samping mengambil kira undi bukan Islam, Insya-Allah, kemenangan akan memihak kepada PAS/Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan