Abby Abadi teruja mahu sertai Himpunan Kebangkitan Rakyat

Norutul Ilham
KUALA LUMPUR, 10 Jan: Pelakon dan selebriti terkenal, Abby Abadi sangat teruja menjadi antara sejuta rakyat menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Stadium Merdeka Sabtu ini.
Menurutnya, beliau akan berada di Kuala Lumpur bermula esok sebagai persiapan untuk menyertai himpunan raksasa itu.

“Teruja sangat, rasa macam nak raikan sesuatu. Tak pernah saya rasa seperti ini. Masa Bersih 1.0, 2.0, 3.0 saya terlepas. Kali ini saya akan rasakan sendiri pengalaman berhimpun bersama rakyat.

“Masa Bersih 3.0 saya hanya dengar dan ikut perkembangan daripada media. Bila kita tak berada dalam kumpulan itu, kita tetap tidak faham sepenuhnya apa yang dituntut mereka,” kongsi Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan kepada Keadilan Daily.

Kata Abby, beliau bersedia mengharungi pengalaman kali pertama berhimpun kerana memahami apa sebenarnya tuntutan rakyat, biarpun masih baru dalam pentas politik.

“Saya bersyukur walaupun ketinggalan tiga himpunan Bersih sebelum ini. Tapi saya gembira kerana dilimpahi kesedaran untuk menuntut perubahan,” kata ahli PAS seumur hidup itu.

“Perjalanan saya dahulu dan sekarang cukup berbeza. Dahulu, saya tidak mengambil tahu tentang dasar pentadbiran negara. Tapi sekarang apabila sampai satu tahap, saya mendapat pencerahan,” kata Abby yang terkenal dengan jolokan Inspektor Haliza menerusi drama bersiri Gerak Khas.

Tambah Abby, walaupun disogok berita huru-hara oleh media arus perdana, beliau yakin jika dengan niat betul dan ikhlas, perhimpunan itu pasti dipermudahkan olehNya.

“Saya bersyukur dengan penghijrahan ini. Saya tidak takut pada manusia kerana yakin Allah ada bersama. Kita pergi ke perhimpunan itu ada tujuan yang jelas…InsyaAllah untuk dunia dan seterusnya di akhirat kelak.
“Saya sendiri ada tengok dalam youtube bagaimana peserta himpunan sebelum ini dipukul tanpa melakukan kesalahan,” katanya.

“Saya berpesan di twitter kepada orang ramai, jika ada yang buat kecoh atau provokasi, kita tangkap dan ikat supaya kita boleh tanya kenapa dan siapa arahkan dia buat begitu,” kata Abby yang menyiapkan dua baju mengikut warna tema ditetapkan penganjur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan