TG Haji Hadi tidak pernah kata Umno kafir

ROSALWANI CHE SOH
Mohd Nasaruddin Daud
Mohd Nasaruddin Daud
KOTA BHARU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah menuduh Umno kafir, namun amanatnya yang disampaikan 32 tahun lalu disalahertikan oleh pihak sehingga menimbulkan kontroversi.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Datuk Mohd Nasaruddin Daud berkata, musuh politik sengaja menimbulkan isu yang sudah lapuk ini, sedangkan ia tidak pernah memberi kesan kepada masyarakat dan pimpinan Umno sebelum ini, tetapi sengaja ditimbulkan kembali menjelang pilihan raya.

“Beliau (Hadi) tidak pernah mengatakan mereka (Umno) murtad, namun tanggapan mereka ketika dahulu, ‘politik suku agama suku’ (politik asing agama asing) yang pernah dilontarkan oleh pimpinan pihak berkenaan sebelum ini menjerat diri mereka sendiri.

“Akibatnya, mereka pula yang terasa dengan apa yang mereka hujahkan dan mula menuduh Pas pula yang menimbulkan isu panas itu,” katanya ketika berucap pada forum ‘Isu Gadai Tanah : Menjawab Tuduhan Umno Kelantan di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, malam kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohamed Fadzli Hassan, serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Pendidikan dan Dakwah, Mohd Amar Nik Abdullah.

Dalam perkembangan isu terbabit, Nasaruddin berkata, perlu diingat sebelum ini pada tahun 2001, Hadi pernah menyatakan kesanggupan berdepan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan apabila tiba masanya pengerusi majlis terbabit membatalkan muzakarah itu.

“Sekarang isu ini diungkit kembali oleh Umno, dan Presiden kita (Hadi) bersedia menjelaskan amanat yang diucapkannya di stesen RTM dan TV3 namun niatnya tidak disokong kerana ada pihak yang menentang dan menyatakan penjelasan itu boleh dibuat di dalam media lain dan bukannya arus perdana.

“Sepatutnya kedua-dua stesen televisyen inilah yang memberi peluang kepada Hadi, disebabkan TV3 dan RTM yang sering memainkan isu ini dan menyerang hadi secara terang-terangan,” katanya.

Beliau berkata, apa yang lebih menghairankan juga Hadi sendiri tidak pernah menerima sebarang surat dari Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengatakan kenyataannya itu bercanggah dengan ajaran Islam.

“Hanya ditempelak oleh dua mufti iaitu Mufti Perak, Tan Sri Harrusani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang menggesa Hadi menarik balik amanatnya berkenaan.

“Mereka kata amanat ini sesat, Hadi kena bertaubat, sepatunya mereka beri peluang dulu, biar beliau terangkan dan selepas itu nilai kembali apa yang dinyatakan sebelum membuat tuduhan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan