Hebatnya dakwah politik Tuan Guru Nik Aziz

Abd Shukur Harun

Hanya sesekali dalam suatu jangka masa yang lama, seorang pemimpin politik dan dakwah muncul untuk memberikan warna kepada kegiatan politik dan dakwah di negaranya.

Ini kerana tidak semua pemimpin berkeupayaan seperti itu, lebih-lebih lagi ia mesti mempunyai ilmu politik dan dakwah, mampu memikirkan sesuatu melampauai zamannya, berfikiran terbuka, luas pendedahannya kepada masyarakat dan mempunyai aura.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat mempunyai semua kualiti ini menyebabkan ia dilihat sebagai tokoh hebat dalam dakwah dan politik seperti Almarhum Muhd Natsir di Indonesia.

Dengan kewibawaan dan jiwa besarnya sebagai tokok pemimpin gerakan Islam, Tuan Guru telah melakukan langkah besar dan penuh makna baru-baru ini apabila selepas bertemu dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh, Tuan Guru bertemu pula dengan Bishop Pulau Pinang, Sebastian Francis di sebuah hotel di Pulau Pinang hotelnya.

Di majlis itu, Francis Sebastian telah menghadiahkan sebuah kek sempena hari lahir Tuan Guru Nik Aziz yang ke 82. Pertemuan ini tidak termasuk dalam jadual lawatan Tuan Guru Nik Aziz ke Pulau Pinang tetapi acara spontan dan ini memberi kesan mendalam kepada keharmonian antara agama di negara ini.

Pertemuan itu berlaku ketika isu nama Allah dicetuskan oleh pihak tidak bertanggungjawab hingga menimbulkan ketegangan. Pertemuan dua tokoh agama yang berbeza ini telah meredakan ketegangan yang cuba dihangatkan oleh pihak tertentu yang berkepentingan.

Dalam pertemua itu, Bishop Francis berkata, negara memerlukan contoh semangat seperti yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Nik Aziz.

Semenetara itu Tuan Guru gembira dengan kunjungannya ke Pulau Pinang dalam misi untuk bertemu pemimpin Kristian dan mewujudkan keharmonian agama di negeri itu.

"Alhamudlillah, dengan izin-Nya, misi mengharmonikan hubungan antara agama berjaya ketika berkunjung ke negeri Pulau Pinang dan saya amat gembira kerana sempat menerima kunjungan Father Sebastian Michael Biskop Roman Katholik bagi negeri Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu," katanya dalam satu tulisan di Facebooknya.

Pertemuannya dilihat oleh pemerhati sebagai usaha untuk memperbaiki hubungan antara penganut Islam dan Krisitan di negeri itu, yang menjadi tumpuan ekoran kontroversi berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible.

Sebelum itu Tuan Guru telah mengunjungi Pengerusi DAP Karpal Singh disambut air mata gembira oleh para penyokong Pakatan Rakyat.

Usaha ini bagi membina hubungan erat antara pimpinan parti dalam Pakatan Rakyat dan akan menambahkan keyakinan rakyat untuk mentadbir negara dengan baik apabila Pakatan berjaya ke Putrajaya nanti.
Pertemuan penting Mursyidul Am PAS dengan Bishop dianggap oleh AJK PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusof Rawa sebagai membuktikan dua agama boleh duduk berbincang dan berdialog.

"Itulah kerja Rasullulah s.a.w untuk berdakwah bukan bersikap keras sehingga orang bukan Islam pandang serong terhadap keindahan yang ada dalam Islam. Saya juga berharap selepas ini ada pertemuan yang lebih erat di mana jua termasuk dalam gereja sekalipun," katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Langkah besar pertemuan penting seperti ini hanya boleh dilakukan oleh pemimpin berjiwa besar, berilmu, terbuka dan mampu menguasai keadaan dan ini telah dilakukan oleh Tuan Guru yang dilihat sebagai cerminan dari sikap terbuka dan toleransi PAS, tetapi dalam masa yang sama ia tidak pernah berkompromi dengan dasar Islamnya.

Beliaulah orangnya yang menjadikan negeri Kelantan sebagai simbol perpaduan kaum, toleransi beragama dan sagat terbuka. Ketika sambutan hari-hari perayaan, malah di majlis perkahwinan anak cucunya, tokoh pelbagai agama antara tetamu undangannya. Beliau menjadi tokoh yang amat dikasihi oleh pelbagai kaum dan agama bukan saja di Kelantan bahkan di luar Kelantan juga.

Saya pernah menyaksikan beberapa kali di mana orang ramai pelbagai kaum – termasuk wanita Cina - berebut hendak bergambar dengan Tuan Guru. Inilah kemuliaan dan izzah yang dimiliki oleh beliau. Lebih-lebih lagi kehidupannya yang amat sederhana menjadikan beliau role-model pemimpin Islam masa kini.

Sebagai pemimpin dan ulama, Tuan Guru berusaha menterjemahkan kesyumulan dan sifat wasatiah Islam, hingga beliau dilihat sebagai tokoh dan elemen penyumbang kepada kesyumulan Islam dan benar-benar berusaha hendak menampilkan watak pemimpin Muslim yang sederhana untuk mememenuhi ciri-ciri pemimpin Islam sejati.

Bayangkan bagaimana dalam suasana yang sangat tegang berhubung isu Kalimah Allah dan isu lain, Tuan Guru mengorak langkah yang tentunya tidak diduga oleh banyak pihak, iaitu bertemu dengan Ketua Bishop utara di Pulau Pinang dan tentunya usahanya ini seperti ‘mencurah air di tengah api yang menyala’. Usaha murninya ini telah disambut pelbagai pihak, malah ada yang, khabarnya, menitiskan air mata terharu – rupanya masih ada seorang tokoh yang berjiwa besar dan berhati mulia.

Sebelum ini, ada beberapa tokoh pemimpin PAS seperti Dr. Dzulkifly Ahmad, Dr. Mujahid Yusof Rawa, Khalid Samad dan beberapa orang lagi mengadakan dialog dengan pemimpin Kristian di Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk bertukar-tukar pandangan dan menerangkan dasar Islam. Usaha ini berjaya membina hubungan baik antara kedua pihak, bukan kerana kepentingan politik tetapi memang sifat Islam sebagai ‘rahmat seluruh alam’.

Tidak syak lagi, usaha Tuan Guru Nik Abd Aziz dan pimpinan PAS yang lain itu tentunya mendorong pelbagai pihak yang rasional melihat PAS sebagai parti Islam yang sangat terbuka dan toleransi, dalam masa yang sama ia tetap berada di dalam orbit Islam.

Pada pendapat saya, PAS memerlukan kepimpinan yang mempunyai kemampuan seperti ini untuk melakar kejayaan PAS di masa depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan