Kalimah Allah merentasi tamadun dan zaman
Akademi Tarbiyah DPPM
Jika kita melumati dunia kegerejaan, penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi penganutnya sendiri masih menjadi suatu polemik hangat dalam kalangan pendeta-pendeta mereka. Pengesyoran tersebut dianggap terlalu liberal dan membahayakan pengikutnya. Lantaran itu, apabila isu penggunaan kalimah Allah dipertahankan dengan cara terdesak, ia dilihat seolah-olah mempunyai agenda yang tersendiri. Apapun makarnya, inilah bukti yang menunjukkan bahawa kepercayaan penganut Kristian terhadap tuhannya begitu rapuh. Dalam masalah nama pun mereka tidak mempunyai pendirian yang jelas sama ada mahu menggunakan perkataan Allah ataupun God, Yahweh, Jehovah, Elohim, Father dan sebagainya.
"Dan ingatlah, ketika orang-orang kafir menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya." (Surah al-Anfaal: ayat 30)
Hari ini, walaupun umat Islam dihidangkan dengan pelbagai andaian dan keresahan mengenai kejahatan belakang tabir yang mungkin sahaja wujud daripada agenda missionari (kristianisasi), kita sewajarnya merasa megah dengan keunggulan agama Islam kerana desas-desus inilah salah satu bukti keunggulan tamadun Islam suatu ketika dahulu. Tamadun Islam yang penuh dengan nilai-nilai kemanusian, norma, doktrin, bahasa dan akhlak Islam yang mewarnai minda masyarakat umum satu ketika dahulu dan pernah menjadi "fenomenologi" terhebat di seluruh dunia.
Negara Barat juga mempelajari kegemilangan tamadun yang ada pada umat Islam. Malangnya, mengapa hari ini imej umat Islam dan tamadunnya kerap menjadi mangsa distorsi dan fitnah media Barat? Tidak lain kerana ada antara faktor-faktor tersebut adalah kerana sikap negatif yang ada pada umat Islam sendiri.
Ketahuilah, tamadun Islam adalah tamadun yang tunduk dan patuh kepada perintah Allah, taat pada ajaran Rasul-Nya, menghubungkan segala jenis ilmu, sosio-budaya dan kesenian kepada Maha Pencipta. Buktinya, nama Allah tidak hanya disebut di dalam solat tetapi disebut setiap kali sebelum menjamah hidangan, diakhiri dengan ucapan "segala puji bagi Allah".
Nama Allah diagungkan apabila proses penyembelihan dilakukan, diucap-tama apabila berada di dalam majlis keramaian dan doa kesyukuran, ditulis di dalam buku-buku fizik, biologi dan perubatan seperti yang dilakukan oleh at-Tifasyi (1184 M - 1253 Masihi), pakar pengkaji geologi beragama Islam yang menulis kitab "Azhaarul Afkaar fi Jawaahirul Ahjaar". Kitab karangan at-Tifasyi menjadi rujukan sekolah-sekolah sains di Eropah termasuk negara-negara maju yang lain. Tifasyi telah memulakan penulisan kitab tersebut dengan nama Allah sebagaimana berikut, "Segala puji bagi Allah, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang dan dengan-Nya kami mohon petunjuk..."
Tamadun Islam juga pernah mengambil falsafah Yunani sebagai ilmu moden, tetapi tidak 100 peratus meniru metodologinya yang cuba menafikan kewujudan Tuhan. Begitulah para ilmuwan Islam meneroka ilmu dengan tujuan untuk menguatkan lagi keimanan kepada Allah. Hubungan akademik dan ketauhidan terhadap Allah sentiasa bergandingan dan tidak lelah dipopularkan oleh para cendikiawan Islam silam.
Pengaruh bahasa Arab yang terhasil daripada pendidikan, penulisan, dan penterjemahan telah membantu perkembangan bahasa secara tidak langsung. Kerana itu, penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian bukanlah suatu isu yang baru, ia adalah kesan daripada perkembangan budaya dan ilmu Islam suatu ketika dahulu. Tidak mustahillah apabila penggunaan nama ‘Allah’ turut tersebar di kepulauan Melayu, Acheh, Tanah Jawa, Sumatera pada abad ke-14 hingga 18 Masihi, iaitu tahun ajaran Islam mula bertapak di Asia.
Oleh sebab itu, seharusnya kita bertindak dengan cara yang bijaksana dalam menangani permasalahan yang dilatari oleh masalah-masalah di "tempat tumbuhnya". Malah, yang dilakukan oleh komuniti Kristian meyakinkan dakwaan bahawa pendeta mereka bukan sahaja sanggup mengubah sebutan tuhannya; bahkan mereka juga sanggup menukar teks sebenar bible yang ada di tangan mereka. Demikianlah bukti bagaimana Allah menjaga kesucian zat-Nya kerana pada nama-Nya terdapat reputasi yang mengandungi erti yang sangat dalam bagi Si Penyandang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan