Shahbudin Husin
Lagi berkenaan Mahathir. Dalam cubaan membersihkan namanya yang mula dikaitkan dengan pemberian kira-kira 200,000 kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah untuk kepentingan politik UMNO pada tahun 1994, bekas Perdana Menteri itu tidak saja mengaitkan Tunku Abdul Rahman yang dituduh lebih teruk daripada, bahkan beliau turut mencadangkan ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja atau RCI berkenaan dengannya.
Ketika Mahathir membandingkan kesalahannya dengan Tunku pun sudah ramai yang geleng kepala, apabila beliau mencadangkan turut ditubuhkan RCI berkenaan dengannya, ramai yang bertanya, apa sudah jadi dengan Mahathir sekarang ini?
Siapa yang mahu diseretnya dalam RCI sebelum merdeka itu? Kalau pun ingin membersihkan dirinya daripada kesalahan itu, tindakannya kali ini dianggap amat keterlaluan. Kenapa begitu jauh terlajaknya kali ini?
Apakah beliau sudah nyanyuk? Adakah Mahathir lupa bahawa beliau pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan tentunya lebih arif tentang perbezaan pemberian kad pengenalan yang dilakukannya pada 1994 dengan apa yang pernah dilakukan oleh Tunku dahulu.
Walaupun untuk menyelamatkan diri dan mengelak daripada dianggap bersalah, mengaitkan dengan Tunku adalah perbuatan keji dari segi moral, apalagi mencadangkan penubuhan RCI mengenainya.
Akibat daripada itu, Mahatahir kini bukan saja diserang oleh pelbagai pihak yang mula menpersoalkan kewajarannya berbuat demikian, tindakan beliau itu turut mengundang
perasaan kurang senang di kalangan kaum Cina dan India.
Mempersoalkan pemberian kad pengenalan datuk nenek kaum Cina dan India yang ada sekarang samalah seperti mempersoalkan kewarganegaraan mereka. Ia tentunya menghiris perasaan kedua-dua kaum itu, apatah lagi ia tidak pernah dipersoalkan oleh sesiapa sebelum ini.
Dalam suasana menjelang pilihanraya yang hampir tiba dan sokongan kaum Cina dan India begitu diperlukan oleh BN, tindakan Mahathir ini jelas menyusahkan semua orang. Sehingga ini MIC melalui salah seorang pemimpinnya, Vell Pari telah secara terbuka mengkritik Mahathir atas tindakannya yang dianggap bersifat perkauman itu.
Pemimpin MIC itu turut menyarankan supaya Mahathir menutup mulut dan menjadi pesara yang baik seperti pemimpin-pemimpin yang mengisytiharkan dirinya sudah bersara.
Jika Vell Pari, anak Samy Vellu mula berani membidas Mahathir, tidak mustahil MCA, Gerakan dan NGO berkaitan kaum Cina turut bersuara juga selepas ini. Jika itu berlaku, hubungan kaum akan kembali renggang dan 1Malaysia yang dicanang Najib sudah tidak bermakna lagi.
Beberapa pihak turut mengecam Mahathir kerana mengaitkan nama Tunku. Pihak pembangkang dan mereka yang arif tentang sejarah negara, turut mengecam Mahathir dalam hal ini.
Mahathir, dalam isu kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah ini, bukan saja mula menyusahkan Najib, UMNO dan BN tetapi mula dianggap beban kepada usaha BN mencapai keputusan yang lebih baik dalam pilihanraya akan datang ini.
Penubuhan RCI ini telah lama diluluskan penubuhannya oleh kabinet tetapi hanya baru sekarang ia berfungsi. Ada dakwaan mengatakan ia sebahagian perancangan Najib untuk menutup mulut Mahathir dan supaya bekas Perdana Menteri itu tidak terlalu mengganggu pentadbirannya kerana beliau tahu Projek IC ini didalangi oleh Mahathir.
Dan untuk melepaskan diri, Mahathir tidak saja mengaitkan kesalahannya dengan Tunku Abdul Rahman, tetapi turut mencadangkan penubuhan RCI berkaitan dengannya. Mahathir dalam hal ini jelas mahu membalas dendam kepada Najib kerana melalui dakwaannya terhadap Tunku dan mencadangkan RCI itu akan menyebabkan makin berkurangnya sokongan kaum Cina dan India kepada BN.
Tindakan Mahathr cuba menyusahkan Najib boleh difahami kerana beliau sejak kebelakangan ini didapati lebih cenderung mahu mempromosi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas pilihanraya nanti bagi mengganti Najib yang dianggapnya lemah dan banyak masalah. Beberapa petunjuk ke arah itu semakin jelas dan dapat dibaca oleh sesiapa saja.
Tetapi tindakan terbaru Mahathir ini turut mendatangkan kesusahan kepada masa depan politiknya anaknya sendiri, Mukhriz yang kini menjadi timbalan menteri dan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah. Secara langsung dan tidak langsung, langkah politik Mukhriz menjadi tersekat dan beliau juga mula dipandang serong oleh ramai orang akibat kelakuan melampau bapanya itu.
Orang Melayu yang melihat Tunku sebagai pejuang yang berjasa dan memerdekakan negara sama-sekali tidak dapat menerima Tunku dipersalahkan dalam memberi kerakyatan kepada kaum Cina dan India yang telah dipersetujui dengan British sebelum kemerdekaan itu. Oleh kerana Mukhriz satu-satunya waris Mahathir dalam politik, kepercayaan ramai kepadanya turut menurun akibat daripada itu.
Kaum Cina dan India yang tersinggung dengan keceluparan Mahathir itu, pastinya turut kecewa dan sekali lagi, Mukhriz juga yang akan menanggung akibatnya.
Jika orang lain menanggung beban politik kerana kesalahan atau tingkah yang tidak kena daripada anak dan isteri, Mukhriz pula sebaliknya. Beliau menanggung beban daripada karenah tidak sudah-sudah bapanya sendiri.
Selagi Mahathir ada dengan wataknya yang ada sekarang, Mukhriz juga terhalang untuk menonjolkan kebolehan sebenar serta bakatnya sebagai pemimpin sedangkan beliau diceburkan dalam politik adalah dengan matlamat menyambung warisan kepimpinan bapanya.
Kerana karenah bapanya itu, Mukhriz tidak berupaya menonjol seperti Hang Tuah yang suka membodek dan mengampu dan tidak juga mampu menjadi seperti Hang Jebat yang berani menegur dan bersuara. Mukhriz sekadar mampu menjadi seperti Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu yang kehadirannya tidak dirasakan oleh sesiapa, ada tidak menambah, dibuang tidak mengurang.
Dalam hal ini, jika Mahathir berdiam diri, ia jauh lebih baik untuk masa depan anaknya itu. Lagi banyak Mahathir bercakap, beliau bukan saja menyusahkan Najib, UMNO, BN, MCA, MIC dan lain-lainnya tetapi turut menyusahkan masa depan anak kesayangannya sendiri.
Masih layakkah bergelar Toon kalau macam ni? Toon jenis apa ni kalau sampai menjual negara kepada pendatang asing dengan cara beri IC semata mata nak kekalkan kedudukan kuasa! Bukankah ini boleh dianggap pengkhianat dan derhaka kepada YDPAgong? Betulkah ikut peraturan pemberian IC? Tapi kalau di lihat sikap penjawat awam sejak zaman madey semua penjawat awam ni jenis penakut,kaki bodek ampu, dan tak ikut peraturan serta salahguna kuasa demi pangkat dan nama! Oleh kerana sikap ampu,penakut maka penjawat awam ni laksanakan arahan beri IC walaupun kriteria sebenar bagi penerima IC tidak mematuhi syarat! Memang benarlah UMNO ni dari bekas PM,PM lani hingga menteri dan ahli biasa jenis yang rosak sehingga ke usus! Haprak punya karToon!
BalasPadam