Aspan Alias
Najib sekarang diam membisu. Segala tuduhan terhadap beliau dan isterinya tidak mendapat apa-apa jawapan dan beliau terus mendiamkan diri. Seketika ini Najib tidak bercakap bergegar-gegar lagi dan beliau nampaknya duduk diam sahaja sedangkan banyak perkara sedang berlaku yang berkait dengan beliau. Isu Deepak terus mengganas dalam pemikiran rakyat yang ramai. Buku tentang Deepak sedang beredar di mana-mana. Buku setebal dua puluh enam muka itu sedang menjadi bahan telaah ramai. Semuanya berhubung kait dengan Najib dan isteri beliau. Apa yang diperkatakan oleh Deepak membabitkan Altantuya dengan akuan bersumpah satu dan dua menjadi tajuk perbincangan ramai.
Isu Deepak tidak berhenti setakat itu. Ia terus melebar dan sampai pula membabitkan ‘land-scam’ yang melibatkan Kementah, syarikat Deepak dan syarikat Raja Ropiah dan banyak lagi isu yang berkaitan dengannya. Musa Hasan tetap dengan kejutannya dengan membuat beberapa ‘pembongkaran’ dan UMNO nampaknya tidak dapat mengelak dari menghadapi isu-isu ini dengan debaran dan kerunsingan. Najib dan Hisham sedang berada di kedudukan seperi telur di hujung tanduk.
UMNO terpaksa mengalihkan pandangan ramai dengan menimbulkan isu Amanat Haji Hadi yang berusia 32 tahun itu. Nampaknya persepsi buruk rakyat terhadap UMNO dan seluruh kepimpinannya tidak akan membuatkan BN sebagai pihak yang ‘formidable’ lagi dalam siasah negara. Sehari dua ini Najib agak senyap kerana, beliau berada di luar negara bercuti dengan isteri beliau mengikut sumber yang boleh dipercayai.
Di mana beliau bercuti tidak pula saya tahu. Tetapi bercuti itu penting kerana dengan berehat Najib akan dapat merehatkan otak beliau yang terlalu sarat dengan isu beliau dan isteri yang sekali gus telah merosakkan imej negara dan rakyatnya sendiri. Najib terus membisu dan dengan membisu itu ia melambangkan betapa hampirnya kenyataan Deepak dan Musa Hasan itu kepada keadaan yang sebenarnya berlaku yang selama ini dilindungi dari pengetahuan ramai.
Nampaknya Muhyiddin sedang melakukan segala-galanya dan ini mungkin menandakan apa yang dirancang oleh Dr Mahathir Mohamad untuk Najib menjadi PM buat sementara itu semakin hari semakin kelihatan kebenarannya. Betullah apa yang dikatakan oleh setengah pihak dahulu Najib hanyalah diletakkan sebagai PM sementara kerana permainan di dalam UMNO itu akan menjadikan Najib sebagai pemimpin yang tidak berupaya untuk hidup sebagai pemimpin utama negara kerana ‘baggage’nya yang terlalu besar. Penggal Najib menjadi PM hanyalah sebagai memenuhi masa buat sementara Muhyiddin dapat menajamkan kukunya di dalam kepimpinan parti dan negara.
Saya selalu berkata semasa dalam parti itu dulu, sokongan yang didapati oleh seorang tokoh utama negara itu bukannya sokongan yang ‘legitimate’. Ia hanyalah sokongan politik sementara. Mahathir pernah berkata, “there is no permanent friend and enemy in politics’. Nampaknya Najib hanyalah menjadi jambatan sementara sahaja. Najib berguna kepada setengah pemimpin di bawahnya sementara mereka dapat menajamkan kuku untuk menusuk tengkuk beliau (Najib) sahaja.
Masalah yang dihadapi oleh Najib sekarang ini dipergunakan oleh lawannya di dalam parti sendiri sebagai isu yang begitu selesa untuk menjatuhnya. Sekarang Najib keseorangan. Kita tidak tahu siapa yang memerintah sekarang ini. Ramai berpendapat Mahathirlah yang sedang memerintah negara sekarang ini. Inilah kehendak Mahathir sebenarnya. Itulah sebabnya beliau menyampah dengan Abdullah Badawi kerana Abdullah tidak membenarkan beliau masuk campur dalam urusan negara semasa beliau (Pak Lah) menjadi PM.
Saya ulangi yang saya pernah menulis dua tiga kali dalam blog ini yang musuh Najib bukannya parti pembangkang tetapi mereka yang berada di dalam UMNO itu sendiri. Musuhnya di dalam UMNO itu lebih susah untuk beliau kendalikan kerana musuh-musuh itu berada di sekeliling beliau (Najib) sendiri. Kita mesti faham yang harimau yang mengendap itu lebih merbahaya dari serigala yang berhadapan secara berdepan. Sekarang ini harimau itu sedang bersedia untuk menerkam kerana Najib tidak mempunyai ilmu mempertahankan diri yang kuat. Walaupun harimau yang merancang untuk melakukan penerkaman itu sudah tua tetapi oleh kerana Najib tidak membuat persediaan yang berhati-hati maka Najib akan jatuh tersembam di hadapan mereka ini.
Permainan di dalam UMNO sekarang ini bertambah ‘interesting’ dan kita akan melihat keadaan ini akan semakin hari semakin serius. Inilah akibatnya jika kita memelihara harimau walaupun harimau itu harimau tua. Najib terlalu percaya dengan mereka yang tidak jujur dan membiarkan rakan dan taulan yang jujur terhadap beliau yang sebaliknya beliau anggap sebagai musuh. Najib bermusuh dengan musuh kepada musuh sebenar beliau.
Tidak salah jika saya katakan yang UMNO akan mati sekali lagi walaupun caranya agak berlainan dari cara ia mati pada tahun 1988 dahulu. Kejatuhan UMNO kali ini adalah ‘imminent’ dan jika ia jatuh kali ini UMNO ‘tak akan dapek bongkar laie’.
Bagi Pakatan Rakyat pula janganlah jadi seperti apa yang terjadi dalam UMNO jika di beri mandat oleh rakyat. Bagi orang Melayu samada yang berada di dalam UMNO atau di luar parti itu, bersatulah. Jika tidak mahu menyertai DAP atau PKR sokonglah PAS kerana buat masa ini kerjasama di antara ketiga-tiga parti ini adalah baik.
Jangan pula menjadi UMNO dan BN apabila menjadi kerajaan, kerana rakyat akan kecewa tidak terhingga jika berlaku perkara yang sama apabila mendapat mandat nanti.
Satu perkara yang parti-parti dalam Pakatan Rakyat jauhi dari berlaku ialah berbohong. Pemimpin-pemimpin jangan berbohong seperti pemimpin UMNO. Lidah jangan bercabang macam lidah biawak. Jangan bertindak berlandaskan perkauman. Semua kaum itu adalah kejadian Tuhan. Kalau marah dengan kaum yang lain bermakna kita marah dengan Tuhan yang menjadikannya.
Pemimpin-pemimpin yang bakal diberi mandat ini mesti membuat pengakuan tidak melakukan rasuah terutamanya kerana rasuah itu adalah sehina-hina perbuatan dan jangan bertindak mengikut sentimen parkauman. Kali ini siapa yang melakukan kesilapan oleh kerana permainan politik peribadi akan menerima hukuman dari rakyat.
Harap semua faham dan bacalah perasaan rakyat dengan betul. Untuk membuat keputusan dengan baik elemen yang sangat perlu ialah kebersihan jiwa kita sendiri. Jika jiwa kita di selaputi elemen kotor tidak mungkin kita akan bertindak dengan baik serta jujur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan