Detikdaily
TAN SRI Kadir Sheikh Fadzir memang cukup prihatin dengan proses pilihan raya yang sepatutnya bersih, bebas dan adil. Bekas menteri kabinet ini mahu kerajaan atau SPR memberi respons positif terhadap tuntutan rakyat, termasuk melalui Himpunan Kebangkitan Rakyat baru-baru ini.
Berdepan sekumpulan wartawan Harakah yang dsiketuai AHMAD LUTFI OTHMAN, semasa kunjungannya ke pejabat Harakah, 21 Januari lalu, Kadir menekankan agar isu media bebas dan salahguna jentera serta kemudahan kerajaan mesti diberi perhatian utama. Ia tidak boleh dipandang sebagai isu lapuk.
HARAKAH: Tan Sri juga dilihat antara pencetus awal idea Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR), yang mendapat sambutan hebat, 12 Januari lalu. Mungkin ada rumusan terbaik mengenainya?
KADIR: HKR di peringkat nasional berjalan dengan begitu baik. Ia membuktikan, kalau tiada campur tangan pihak yang berniat buruk, maka perjumpaan seumpama ini dapat berjalan dengan cara baik.
Ini satu pengajaran kepada kerajaan bahawa kalau tiada campur tangan, dia pun untung. Dia pun tak dapat nama busuk. Apabila saya jelajah seluruh negara, saya yakin angka satu juta boleh dicapai.
Tetapi apabila dibuat pengumuman, perjumpaan itu di Stadium Merdeka dan ia hanya boleh muat 30,000 orang dan diberi syarat pula, jangan melebihi 30,000 orang, serta syarat-syarat lain, ramai fikir, tak payah pergilah, ikutilah dalam internet atau media alternatif saja.
Kedua, ramai orang tak tahu mengenainya. Misalnya, ramai kawan-kawan saya di kalangan orang Melayu, orang Cina tapi yang bukan ahli parti politiklah, di Kuala Lumpur ini, memang nak hadir, tapi mereka tak tahu sebab boleh kata 'black out' terus dalam media arus perdana. Orang tak tahu ada himpunan menuntut pilihan raya adil.
Apakah hanya faktor kehadiran yang penting?
Alhamdulillah, ia tetap berjaya. Cuma saya harap lebih daripada itu. Sekarang kita nak tahu setakat mana kerajaan atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil berat tuntutan yang dikemukakan.
Saya nampak macam mereka dengar, tapi reaksinya senyap sunyi saja. Sedangkan itu yang penting. Kita nak supaya SPR bincang balik, buka balik 'chapter' lama. Iaitu bagaimananak adakan pilihan raya yang benar-benar bebas.
Kita tuntut nombor satunya, media yang bebas. Media bebas bukan bermakna waktu dua tiga minggu kita ada pilihan raya atau kempen pilihan raya yang tak sampai dua minggu itu. Jika hanya waktu itu baru diberi peluang terhad agar pembangkang menceritakan sedikit sebanyak manifesto, itu bukan bermakna media yang bebas.
Kita nak bebas sekurang-kurangnya dari sekarang. 'Countdown period' ini. Sepatutnya sepanjang masa. Tapi tak mengapalah kalau media nampak bebas mulai dari sekarang. Bermakna berilah masa kepada semua parti politik memberi hujah menerusi televisyen, radio dan juga akhbar arus perdana.
Atau diadakan sesi perbincangan seperti sewaktu saya jadi Menteri Penerangan dulu. Adakan debat perdana, kumpulkan wakil parti-parti kerajaan dan pembangkang, berbahas mengenai isu-isu tertentu.
Pihak SPR perlu ambil berat kepentingan media bebas ini.
Tapi SPR selalu jawab, hal media bebas bukan di bawah tanggungjawabnya?
Saya nampak SPR ini keliru sikit dengan tanggungjawab mereka. Tanggungjawab SPR adalah memastikan pilihan raya diadakan dengan cara adil, telus dan sempurna.
Sekarang SPR kata, itu kerja kerajaan, bukan kerja kami. Misalnya bila kita tuntut media bebas waktu pilihan raya, jawapan dia, itu bukan tanggungjawab SPR, itu soal kerajaan. RTM, kerajaan punya; Astro orang lain punya; TV3 syarikat lain pula. Jadi dia tidak bertanggungjawab.
Tapi SPR lupa, itu tanggungjawab dia, untuk berunding dengan kerajaan. Semuanya prasyarat penting wujudkan pilihan raya bebas. SPR kena bertanggungjawab berunding dengan kerajaan, memujuk kerajaan supaya buka sikit kebebasan media waktu pilihan raya. SPR tak boleh kata, ini soal kerajaan, bukan di bawah bidang kuasa kami.
Bidang kuasa SPR itu meluas. merangkumi segala-galanya. Waktu pilihan raya itu memang bidang kuasa dia, untuk pujuk, merayu, untuk meminta. Daripada jabatan-jabatan kerajaan juga, supaya dilonggarkan pelbagai perkara.
Selain media bebas?
Yang kedua, penggunaan jabatan-jabatan kerajaan dan juga separa kerajaan untuk berkempen bagi satu pihak waktu pilihan raya.
Sekarang kalau kita pergi ke kampung-kampung, kita dapat lihat banyak jabatan-jabatan kerajaan seperti Kemas, Jabatan Penerangan, Jasa, Risda, Felcra, Felda termasuk juga polis Cawangan Khas (SB) dan unit khas anggota bersenjata.
Sepatutnya salahguna kuasa berkaitan hal ini tak boleh dibuat semasa pilihan raya. Mereeka pergi berkampung di kampung-kampung dan dia guna alasan, dia bebas. Dia pegawai kerajaan. Nak sampaikan maklumat. Tapi sebenarnya, dia pergi berkampung di rumah orang-orang tertentu, di kampung-kampung tertentu, untuk berkempen dan dia menggunakan wang rakyat, wang kerajaan.
Dibuatnya secara besar-besaran, buat kenduri, beri bantuan khusus dan sebagainya, walhal untuk memujuk, memihak dan berkempen bagi satu pihak. Perkara ini sudah terlalu ketinggalan zaman, bercanggah dengan amalan demokrasi dan tak boleh lagi dibenarkan.
Bukankah salahguna sumber kerajaan ini sudah berlaku sejak lama dulu dan bukan isu baru?
Benar, banyak benda dulu, yang salah, kita buat tapi Dato' Seri Najib dah isytiharkan, melalui transformasi politik, benda-benda tak baik dulu, seperti u ISA akan dimansuhkan, Okey, kalau nak transformasi politik, Alhamdulillah, kita alu-alukan.
Jadi kita buatlah satu pembaharuan, satu 'chapter' baru, dan antaranya yang paling penting jabatan-jabatan kerajaan, separa kerajaan, GLC, termasuk polis dan sebagainya, waktu pilihan raya kena betul-betul berkecuali.
SPR pastinya tahu sangat perkara seumpama ini memang tak adil. Jadi jawapannya bukan lagi, "itu kena jumpa kerajaan, ini bukan tanggungjawab SPR, apa yang dalam bidang kuasa kami, kami buat, apa yang bukan dalam bidang kuasa kami, kami tak buat.
Bagi saya, tak betul jawapan seperti itu. Tanggungjawab SPR pergi pujuk kerajaan, kata semua perkara itu tak boleh buat, dan dijelaskan bagaimana sepatutnya yang boleh buat.
Menggunakan jabatan kerajaan untuk berkempen bagi sesuatu pihak memang salah. Untuk mengadakan pilihan raya bebas dan adil, maka harus ada akses media buat semua parti dan calon. Dan pastikan jentera dan kemudahan kerajaan benar-benar berkecuali.
Ini satu persoalan yang cukup penting. SPR tak boleh kata bahawa hal-hal itu bukan di bawah bidang kuasa dia, seperti membebaskan media, ataupun memberhentikan jabatan kerajaan diperalatkan untuk dikempen bagi satu pihak.
SPR tak boleh kata macam itu, sebab dia bertanggungjawab untuk memastikan pilihan raya dapat dijalankan secara adil, telus, bebas, bersih, sempurna dan sebagainya. Maknanya, SPR kena pujuk, beritahu dan mempengaruhi kerajaan untuk hentikan semua ini.
Sekarang saya tengok 'Special Branch' juga digunakan secara berleluasa untuk kempen. Mereka pergi dari rumah ke rumah, kadang-kadang caranya ada sedikit sebanyak menakut-nakutkan. Saya ingat tak bolehlah diteruskan amalan tidak demokratik seperti itu.
Kita berada di tahun 2013, selepas Dato' Seri Najib bercakap pasal transformasi politik, semua ini kena berhentilah.
Dalam HKR, pihak polis, khususnya Ketua Polis Negara, telah bertindak dengan cukup baik sekali. Mungkin ia dapat diteruskan dalam masa PRU13 nanti.
Saya harap juga begitu. Pihak polis juga mesti berani bertindak profesional, beritahulah kepada kerajaan, waktu pilihan raya ini janganlah menggunakan polis untuk kempen bagi satu-satu pihak. Ini bukan kerja polis atau kerja angkatan bersenjata kita. SPR kena beritahu kerajaan secara terus.
Selepas keputusan pilihan raya diumumkan dan kerajaan ditubuhkan, waktu itu nak guna jabatan kerajaan turun ke kampung membantu melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang dipilih rakyat ... itu tak apa.
Tapi semasa 'countdown' pilihan raya seperti sekarang, dan nak guna untuk kempen bagi satu-satu pihak, memang tak bolehlah.
Selain media bebas, bagi saya, inilah 'point' yang cukup-cukup penting, iaitu menamatkan penyalahgunaan kemudahan kerajaan. Pegawai-pegawai kerajaan apabila turun ke kampung, mereka boleh masuk rumah orang PAS, rumah orang KeADILan. Ya, semua rumah dia boleh masuk. Sebab dia kata dia pegawai kerajaan, dia bukan orang politik.
Tetapi apabila dia masuk berkampung, maka mulalah secara perlahan-lahan dia bawa keluar cerita-cerita yang sebenar-benarnya tugas mereka. Iaitu berkempen bagi satu pihak. Dalam waktu itu, mereka ada pula peruntukan yang pelbagai dan mewah. Peruntukan itu wang rakyat, tetapi digunakan untuk kempen bagi satu-satu pihak.
Mereka mungkin dapat masuk rumah ratusan ribu pengundi, mungkin jutaan, seluruh Malaysia. Jabatan kerajaan sekarang 'dok melilau' hingga ke Sabah dan Sarawak. Seluruh kampung mereka dah ada. Tiap-tiap hari berkempen, sejak berbulan dah. Ini bermakna jutaan undi dapat dipesongkan ke arah lain.
Ini hal yang cukup-cukup serius dan saya harap SPR dapat berunding dengan kerajaan supaya perkara ini diberhentikan. Janganlah SPR ulangi jawapan lama bahawa itu semua bukan tanggungjawabnya.
Ada dua isu tentang penggunaan jentera kerajaan. Pertama, mungkin SPR akan berkata kuasanya tidak terpakai sehinggalah Parlimen dibubarkan. Kedua, walaupun selepas Parlimen dibubarkan, selalunya dihujahkan bahawa projek program kerajaan itu perlu diteruskan. Jadi, pegawai-pegawai kerajaan yang mungkin turun ke kampung dan sebagainya itu semata-mata ingin melaksanakan program-program yang telah dirancang sebegitu.
Memanglah itu jawapan dia selama ni. Tapi saya rasa tak. Isunya adalah pilihan raya bebas dan adil. Bagi saya, sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tarikh pilihan raya, media mesti nampak bebas dan kakitangan kerajaan bertindak berkecuali. Itu 'countdown period' kata orang.
Dalam tempoh ini kerja-kerja jabatan kerajaan turun ke bawah ni, berkampung di kampung-kampung, saya ingat kena diberhentikan. Kita tahu itu kempen secara teranglah.
Jadi saya harap juga orang-orang di bawah, terutama daripada parti-parti politik yang tak berpuas hati dan dapati jabatan-jabatan kerajaan sedang berkampung di rumah-rumah orang, kononnya nak menerangkan dasar-dasar kerajaan, beri bantuan dan sebagainya, patut buat laporan polis. Juga laporan kepada SPR terus. Buat laporan di seluruh negara.
Saya ingat yang menyumbang kepada masalah ini, antara lain, negara kita tidak menetapkan secara khusus tarikh pilihan raya. Jadi bila tidak ada penetapan tarikh pilihan raya, macam mana kita nak buat 'countdown'?
Tarikh akhir hayat Parlimen 28 April. Maknanya elok sangatlah semua jabatan kerajaan tidak terlibat dalam urusan yang boleh ditafsirkan sebagai berkempen untuk satu pihak.
Ada juga kita dengar-dengar cadangan daripada pihak kerajaan sendiri, agar Parlimen dibubarkan dengan sendirinya pada 28 April. Ini satu cadangan yang cukup saya sokong. Ia juga pembaharuan yang amat baik untuk generasi akan datang.
Bbiarlah apabila kerajaan itu dipilih, maka dia akan berkhidmat dalam satu penggal yang cukup. Lepas itu biarlah rakyat menentukan baik buruknya dia, berdasarkan rekod lima tahun itu.
Kalau kerajaan yang ada sekarang buat keputusan begitu, saya mengalu-alukan. Ini satu pembaharuan, satu transformasi politik yang cukup bijak.
Selama hampir dua tahun, rakyat macam tak ada ketentuan. Banyak pelabur juga 'wait and see' (tunggu dan lihat). Mereka mahu tengok siapa yang menang, siapa kalah. Jadi kita rugi amat banyak. Pegawai-pegawai kerajaan pun tak dapat tumpu kerja-kerja dia.
Orang politik pun banyak main politik. Tak lagi tumpu pada kerja-kerja membuat kebaikan dan perbelanjaan pun banyak habis. Satu benda yang cukup rugi. Kalau dah dipilih untuk lima tahun, biar dia serve 'full five years'. Lepas tu bubar dengan sendirinya.
Ini peluang keemasan untuk pihak kerajaan mengamalkan dasar baru ni. Maknanya, dah dekat sangat 28 April. Biar hayat Parlimen mati secara automatik. Lepas itu, isytiharlah, okey, mulai sekarang kita buat pindaan undang-undang pilihan raya. Pilihan raya akan diadakan tiap lima tahun sekali. Kerajaan yang dipilih akan 'serve' untuk rakyat selama lima tahun.
Dalam HKR juga, Pengerusi Bersih, Dato' S Ambiga menjemput rakyat mengambil bahagian dalam program pemerhati atau pemantau PRU13. Bersih memerlukan lebih kurang 100,000 pemantau.
Saya alu-alukan cadangan itu. Jadi setiap ahlii parti sepatutnya jadi mata dan telinga kepada usaha untuk mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil. Apa yang tak kena kita buat laporan.
SPR pun nampak sangat dalam hujah-hujahnya, begitu memihak. Sangat merugikan. Lebih-lebih lagi, Timbalan Pengerusi SPR, dia nampak sangat terlalu memihak. Komen-komen dia pun terlalu memihak. Pengerusi SPR, nampak boleh tahan sikit.
Timbalan Pengerusi SPRterlalu memihak, 'to one side', tak langsung memberi sumbangan kepada mewujudkan suasana yang baik bagi rakyat untuk mengadakan pilihan raya yang bebas. Walaupun dia kata pilihan raya yang bebas tapi apabila dia cakap, benda baik pun jadi buruk.
Sebelum ini Tan Sri di dalam Umno, pernah jadi MT Umno, pegang jawatan sebagai menteri tapi sekarang ini berada di pentas Pakatan Rakyat, melihat kebangkitan rakyat sekarang ini. Ada peluang atau tidak untuk Pakatan Rakyat?
Saya sudah menjelajah seluruh negara. Saya yakin jika PRU13 tu dijalankan secara adil dan bersih, rakyat pada keseluruhannya, semua kaum, mahukan perubahan. Bukan sahaja di negeri-negeri, tapi juga di Putrajaya. Itu keyakinan saya.
Soalnya, sama ada pilihan raya itu adil dan bersih. Satu lagi, kita harap pada rakyat, tolonglah jangan menjual undi kita. Ini cukup penting. Sebab ada pihak yang rasakan, kalau dia tabur duit, maka ia dapat membeli undi.
Jadi saya harap kepada rakyat, janganlah bagi mana-mana pihak menghina kita. Undi itu hak kita. Undi keramat hendaklah digunakan untuk bawa kebaikan. Janganlah sebab RM500, RM100, RM200 dan sebagainya, maka kita menjual undi. Ini sangat membimbangkan kita.
Sebab dalam Umno saya dapat lihat, kadang-kadang orang yang bijak pandai pun, dalam parti yang saya pernah 50 tahun memegang jawatan, orang yang berjawatan tinggi, yang berpelajaran, dia sendiri juga memilih pemimpin berdasarkan, wang bukan berdasarkan sumbangan calon-calon tersebut.
Jadi ramai orang yang tak layak, menang dengan mudah. Ada yang menang Majlis Tertinggi Umno, lima bahagian pun dia tak pernah melawat seumur hidup dia. Tapi mudah menang. DEngan undi yang banyak pulak tu. Kerja dia, duduk di Kuala Lumpur, edar duit.
Sekarang dah jadi satu bukti yang paling nyata dalam Umno. Tak payah susah payah macam kami zaman dulu-dulu. Kena turun ke bawah, ke bahagian, cawangan. Berulang kali bermesra dengan ahli-ahli, bantu di mana boleh.
Sekarang mereka dah tahu, tak payah turun ke bahagian, tak payah bersusah payah. Cari duit banyak-banyak, tiga tahun sekali, duduk di Kuala Lumpur, edar duit, menanglah.
Jadi ada satu keyakinan, kalau benda ini boleh berpengaruh dalam Umno, dan menjadi satu budaya, maka budaya ini berpindah pula kepada rakyat seluruhnya. Jalan pintas sudah ditemui, dengan sogok rakyat seperti mana mereka menyogok ahli-ahli Umno dahulu.
Saya berdoa sangat-sangat, janganlah budaya yang bertapak dan berakar umbi dalam Umno itu turun melata pada rakyat pula.
Saya harap rakyat akan bersikap macam penduduk Kelantan. Sejak 20 tahun lebih, tiap-tiap kali pilihan raya, kerajaan cuba membeli undi dengan sogokan berbagai-bagai, tetapi mereka masih menggunakan undi mereka itu mengikut budi bicara mereka sendiri tanpa dipengaruhi janji manis, wang ringgit dan sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan