ibnuabbas
Saya adalah seorang guru yang telah berkhidmat di sekolah Kementerian Pelajaran selama lebih 10 tahun. Selama 10 tahun tersebut, saya telah mengajar sebanyak lima buah sekolah. Sekolah pertama saya ialah di Sabah. Sekarang saya telah berpindah ke Semenanjung dan bertugas di salah sebuah sekolah harian yang berada di pinggir sebuah bandar di semenanjung.
Selama saya bertugas di sekolah ini, terlalu banyak masalah yang saya hadapi dan para guru yang lain juga menghadapinya. Ini adalah suasana sebenar apabila berdepan dengan pengurusan dan pentadbiran di mana-mana sekolah di bawah Kementerian Pelajaran. Masalah yang didapati hampir serupa sahaja di sekolah yang berada dalam kawasan kampung yang diuruskan oleh Jabatan Pelajaran di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
BOSAN DENGAN SUASANA
Apa yang saya hadapi hari demi hari dalam masa bertugas di sekolah ini ialah rasa bosan yang teramat sangat. Rakan-rakan guru yang lain juga memberikan respon dan jawapan yang sama apabila mereka memikirkan apa yang sedang dihadapi. Andaikata terdapat kerja lain yang lebih sesuai dengan jiwa dan perasaan saya, sudah lama saya berhenti dari menjadi guru. Semua aktiviti dan P&P di sekolah amat menjemukan dan mengundang rasa malas dan bosan untuk melaksanakannya, tambahan pula dalam suasana PRU 13 yang semakin hampir. Ini kerana masing-masing guru merasa tidak sabar ingin mengecapi perubahan yang bakal dilakukan oleh kerajaan baru yang diharapkan dapat mengambil alih kerajaan sedia ada agar segala pengurusan sekolah menjadi lebih baik.
ISU DISIPLIN PELAJAR
Berbalik kepada suasana dan keadaan di sekolah, suasana pelajar yang tidak berdisiplin ketika berada di dalam kelas dan di dalam kawasan sekolah amat ketara. Tidak sedikit pelajar yang menghisap rokok, berambut panjang, memakai rantai datang ke sekolah, memakai seluar koyak dan ketat, mempamerkan keadaan pakaian dan penampilan yang kotor dan tidak terurus, berkumpul dan lepak di tandas pada waktu rehat hatta pada waktu P&P, bebas keluar masuk kelas dan keluar masuk dari kawasan sekolah serta merayau-rayau di luar kelas tanpa sebarang aktiviti manfaat yang dilakukan. Semua ini perkara biasa yang kami alami dan kami hadapi setiap hari pada masa bertugas. Keadaan ini amat menyakitkan hati kami dan menggugat kewibawaan kami sebagai seorang guru.
Masalah ini disebabkan disiplin dan peraturan sekolah yang terlalu lemah dan longgar. Pelajar sudah mula pandai melawan guru, tidak hormat kepada guru dan memperleceh guru. Pelajar bermasalah tidak diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berwajib yang seolah-olah membiarkan sahaja ianya terus berlaku, bahkan guru pula yang ditukarkan ke sekolah lain. Pernah suatu ketika, pelajar melawan dan memukul guru kerana guru tersebut menegurnya kerana membuat bising sewaktu peperiksaan percubaan SPM sedang berjalan, pelajar tersebut mengejar guru hingga ke dalam kereta.
Apabila hal ini dibawa ke dalam mesyuarat disiplin, guru yang terlibat akhirnya ditukarkan ke sekolah lain, sedangkan pelajar hanya digantung sekolah selama dua minggu. Ini menampakkan bahawa kesilapan guru lebih besar dari kesilapan pelajar dari sudut peraturan Kementerian Pelajaran, yang dikatakan langsung tidak membela guru tetapi membela pelajar yang melakukan kesilapan. Begitu juga hukuman merotan pelajar, terlalu banyak pengecualiannya dan hanya dibenarkan kepada Pengetua dan guru disiplin sahaja. Merotan pula hanya boleh dijalankan di tempat yang tertutup.
PENTADBIR SEKOLAH YANG TIDAK ADIL
Suatu ketika, guru Kemahiran Hidup yang sudah 10 tahun pengalaman mengajar, tetapi ditukarkan ke sekolah lain dan diganti dengan guru baru posting yang tiada pengalaman. Guru tersebut cuba membetulkan pentadbir dalam pengagihan peruntukan panitia yang didapati mahu digunakan dan dialihkan oleh pentadbir untuk tujuan lain. Hasilnya guru tersebut dituduh melawan pihak pentadbir dan akhirnya ditukarkan ke sekolah lain. Ini menyebabkan para pelajar tidak dapat menimba ilmu yang sepatutnya dari guru yang berpengalaman tersebut. Pentadbir memberi alasan yang tidak munasabah mengapa guru yang begitu jauh dan lama pengalamannya dipilih untuk ditukarkan dan diganti dengan guru lain yang baru setahun jagung, sedangkan kerja guru tersebut di sekolah amat cemerlang dan baik serta pengajarannya amat memuaskan.
Guru-guru dan pentadbir sentiasa bergaduh dan sentiasa tuduh-menuduh, fitnah memfitnah, menceritakan dan menyampaikan keburukan sesama mereka sehingga menyebabkan guru menjadi tension untuk mengajar dan menjalankan tugas. Guru-guru seolah-olah tidak mahu mematuhi arahan pentadbir disebabkan sikap pentadbir (pengetua) berat sebelah dan tidak professional terhadap guru yang selalu menyalahkan guru dalam apa jua masalah yang berlaku.
Guru Cemerlang yang suka menghina dan memperlekeh guru-guru lain menyebabkan budaya berkelompok wujud di kalangan para guru dan kerja berpasukan (teamwork) hilang. Guru-guru biasa merasa terhina dan tertekan dengan sikap Guru Cemerlang di sekolah berkenaan. Para pelajar mengadukan hal ini dan mengatakan sebahagian guru menceritakan perihal guru-guru lain semasa berada di dalam kelas.
Pentadbir membuat aduan kepada PPD untuk menyalahkan guru kerana prestasi yang buruk sedangkan pentadbiran yang bercelaru dan berkecamuk menyebabkan prestasi pelajar merosot. Hasilnya PPD datang dan memberi amaran serta memarahi guru-guru yang tidak bersalah. Guru merasa tertekan dengan sikap pentadbir.
Pentadbir menghina dan memperlekehkan kemampuan guru-guru yang telah dilantik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pelajaran Malaysia dengan mengatakan guru-guru tidak memberi sebarang keuntungan dan kebaikan kepada sekolah, sedangkan setiap hari guru datang ke sekolah untuk mengajar. Penghinaan tersebut menyebabkan guru tiada mood untuk mengajar. Pentadbir didapati memberi hadiah kepada guru-guru tertentu sahaja yang rapat dan sentiasa bersama dengannya, manakala guru-guru lain dihina begitu teruk sekali sehingga dikatakan tidak memberi apa-apa sumbangan kepada pihak sekolah. Ini menunjukkan sikap seorang pentadbir yang amat tidak professional.
Pentadbir sekolah mengatakan mana-mana guru yang tidak suka berada dan mengajar di sekolah itu hendaklah berpindah ke sekolah lain. Ini amat mengecewakan para guru kerana semua guru telah pun mendapat pengiktirafan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mendidik dan mengajar. Beliau tidak sepatutnya mengatakan sedemikian.
REPUTASI DIKEJAR, AKHLAK TERABAI
Pentadbir sekolah sentiasa menyebut-nyebut dan memberitahu para guru bagaimana cara untuk mudah naik pangkat dan cepat lompat ke DG48, DG52, DG54, JUSA C dan sebagainya. Itulah yang diwar-warkan selalu di hadapan para guru di dalam mesyuarat. Beliau juga terlalu mengejar anugerah, nama, glamour dan pangkat seperti perjanjian dengan pihak Jabatan yang menjanjikan imbuhan kewangan dari pihak Jabatan Pelajaran untuk meraih title dan anugerah tertentu, menyebabkan urusan yang lebih penting seperti disiplin (ramai pelajar ponteng dan tidak masuk kelas, melawan dan memperlekehkan guru) menjadi terabai dan menyebabkan sahsiah, akhlak serta kebajikan pelajar semakin hari semakin tidak diambil tahu dan dibiarkan. Begitu juga penekanan terhadap tugas-tugas asas guru seperti memantau dan menekankan para guru agar sentiasa masuk kelas, menjaga dan menyediakan kemudahan dan kelengkapan peralatan di sekolah untuk kepentingan pembelajaran anak-anak kami dan sebagainya, semuanya telah terabai.
Pentadbir sekolah juga terlalu mementingkan keceriaan bangunan dan kawasan sekolah sehingga memaksa dan memeras tenaga guru dan pekerja bawahan untuk menceriakan kawasan dan bangunan demi mendapat anugerah cemerlang dalam pertandingan keceriaan sekolah di peringkat Daerah dan Jabatan. Ini menyebabkan emosi guru terganggu dan guru merasa tertekan dengan arahan-arahan untuk melakukan kerja-kerja di luar tugas guru seperti itu, tambahan pula guru mesti mengeluarkan kos dan perbelanjaan sendiri untuk menyediakan peralatan bagi menceriakan sekolah.
MAKANAN KANTIN
Makanan yang disediakan kepada para guru di kantin sekolah amat tidak menyelerakan dan menjemukan. Ini menyebabkan ramai para guru tidak makan di kantin, sebaliknya membawa bekalan sendiri dari rumah atau membelinya di tengah jalan untuk dibawa ke sekolah. Ini kerana pengambilan tender yang tidak ada pengalaman dalam menyediakan makanan kepada pelanggan yang dilakukan oleh pihak pentadbir sekolah.
SISTEM PBS
Sistem PBS cukup memeningkan dan memenatkan para guru. Antara perkara yang menimbulkan masalah ialah penyediaan bahan bukti (evidens) atau instrumens bagi ujian PBS yang ingin disediakan untuk para pelajar yang terlalu banyak. Bayangkan jika satu subjek ada 30 tajuk, setiap satu tajuk mesti ada 6 evidens untuk 6 band, bermakna 36 helai kertas digunakan untuk kesemua 6 band bagi setiap tajuk. 30 tajuk bermakna 1,080 helai kertas diperlukan bagi setiap orang pelajar. Jika di dalam sebuah kelas ada 40 pelajar, bermakna setiap kelas memerlukan 43,200 helai kertas diperlukan. Jika ada dua kelas atau tiga kelas bagi setiap tingkatan, maka 43,200 x 2 atau x 3, fikirkanlah sendiri berapa kos kertas yang diperlukan oleh pihak sekolah bagi perlaksanaan PBS. Kos ini tidak dinyatakan dalam kursus PBS sumbernya perlu diambil dari mana, ia terpulang pada pihak sekolah untuk memikirkannya.
Dalam pengajaran guru, masalah juga timbul antara mahu “mentaati” Lembaga Peperiksaan ataukah mahu “mentaati” Kementerian Pelajaran. PBS diselia dan diurustadbir oleh Lembaga Peperiksaan yang inginkan penilaian setiap band berdasarkan eviden yang telah dibuat, mesti dikey-in setiap bulan mengikut tajuk. Ini bermakna kebanyakan waktu P&P guru digunakan untuk menjalankan ujian PBS ke atas setiap pelajar dan bagi tujuan dimasukkan nilai band dalam laman web PBS setiap bulan berdasarkan ujian dan eviden yang disediakan, manakala Kementerian Pelajaran mula mahukan tajuk dan sukatan dihabiskan dalam tempoh yang tertentu. Ini menimbulkan “pertelagahan” antara mahu mentaati kemahuan Lembaga Peperiksaan ataukah mahu mentaati kemahuan Kementerian Pelajaran. Dengan kata mudah, jika guru menjalankan ujian PBS semasa P&P, sukatan dan isi pelajaran tidak dapat dihabiskan dan diajar dengan sempurna, jika guru menjalankan P&P seperti biasa, ujian PBS tidak dapat dijalankan kerana masa 40 minit waktu mengajar telah digunakan untuk menjalankan P&P.
SISTEM PENILAIAN PENCAPAIAN BARU
Selain itu, pelajar tidak lagi dinilai dengan kedudukan dan nombor dalam kelas atau tingkatan tetapi dinilai dalam ukuran band, iaitu band 1 hingga band 6. Ini memberi masalah kepada para ibu bapa untuk mengetahui setiap prestasi, kebolehan dan pencapaian dalam setiap mata pelajaran yang dipelajari oleh anak mereka. Timbul masalah juga pelajar di sekolah pedalaman dengan sekolah berasrama penuh apa bezanya jika kesemua mereka mendapat band 6? Tiada penilaian dalam bentuk gred, peratus dan agregat seperti sistem lama dahulu. Bagaimana pula dengan ukuran kelayakan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh atau ke MRSM atau lain-lain yang sekolah yang menjadi rebutan para pelajar?
Ini hanyalah sebahagian masalah dan rungutan para guru yang bertugas di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran buat masa ini yang sempat saya tulis di ruangan ini. Sebenarnya banyak lagi rungutan yang tidak terkata seperti kebajikan para guru dan pelajar, masalah kemudahan dan infrastruktur sekolah yang juga diabaikan oleh pihak berwajib dan amat menyedihkan dan mengalirkan air mata bagi sesiapa yang memerhati dan memikirkannya. Mudah-mudahan luahan hati ini memberi pengajaran kepada kita akan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh sesiapa yang memegang amanah dan tanggungjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan