Perlembagaan benarkan kanak-kanak berhimpun

Mohamed Hanipa Maidan
Berdasarkan laporan media pihak polis dikatakan sedang memburu 14 orang yang dikatakan melakukan kesalahan membawa kanak-kanan menyertai perhimpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka pada 12 Januari yang lalu. Gambar-gambar suspek kini tersebar di media .

Hakikatnya ini satu lagi projek Barisan Nasional (BN) melalui institusi polis bagi melakukan intimidasi ke atas rakyat yang memilih untuk melaksanakan hak berhimpun yang dijamin ke atas mana-mana warganegara sepertimana yang diperuntukkan di bawah Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Jika BN merasakan intimidasi ini perlu bagi mewujudkan ketakutan ke atas rakyat yang menyertai perhimpunan aman dan bersejarah itu, BN hakikatnya melakukan kesilapan besar. Kehadiran ratusan ribu rakyat prihatin tersebut termasuk kanak-kanak itu sendiri menunjukkan tiada lagi elemen ketakutan di kalangan rakyat terhadap politik buli oleh BN melalui institusi polis.

Amat malang imej buruk pihak polis yang telah berjaya sedikit dipulihkan pada 12 Januari yang lalu kini kembali memusing U-turn kepada imej lamanya dengan tindakan memburu rakyat yang di dalam definisi BN adalah penjenayah kerana membawa kanak kanak menyertai perhimpunan aman.

Ya, memang seksyen 4(1)(e) Akta Perhimpunan Aman 2012 melarang kanak kanak di bawah umur 15 tahun menyertai perhimpunan termasuk perhimpunan aman. Ya, seksyen 4(2) Akta yang sama memperuntukkan kanak-kanak dan mereka yang membawa kanak-kanak menyertai perhimpunan meskipun aman adalah melakukan kesalahan. Itulah antara lain kandungan Akta tersebut.

Namun saya ingin menegaskan di sini hak rakyat negara ini termasuk kanak-kanak di bawah umur 15 tahun bukan ditentukan oleh Akta tersebut. Hak mereka ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan iaitu hukum tertinggi di negara ini. Tiada mana-mana orang atau pihak, dalam konteks negara ini, lebih tinggi dari Perlembagaan.

Artikel 10(1)(b) Perlembagaan menjamin semua warganegara termasuk kanak-kanak di bawah umur 15 tahun hak kebebasan asasi iaitu hak berhimpun secara aman tanpa senjata. Apa istimewanya hak ini? Jawapannya hak ini tidak boleh dilenyapkan. Ia boleh dihadkan tetapi tidak boleh sama sekali dilenyapkan. Melarang sama sekali kanak-kanak termasuk di bawah 15 tahun dari berhimpun adalah termasuk melenyapkan hak asasi di bawah Artikel 10(1)(b) itu dan ini dilarang sama sekali oleh Perlembagaan Persekutuan. Justeru itu mana-mana Akta atau tindakan yang melarang kanak-kanak bawah 15 tahun warganegara Malaysia berhimpun adalah bercanggah dengan Perlembagaan. Oleh itu yang salah di dalam kes ini bukan kanak-kanak yang menyertai perhimpunan aman 12 Januari lalu atau mereka yang membawa kanak-kanak tersebut atau penganjur yang menganjurkan perhimpunan tersebut.

Akta Perhimpunan Aman diwujudkan bagi menggantikan seksyen 27 Akta Polis 1967. Ironinya Akta Polis sendiri tidak melarang kanak-kanak menyertai perhimpunan aman. Hanya di Malaysia kita menyaksikan Akta baru yang mengganti Akta yang lama mengandungi peruntukkan yang lebih teruk. Ini berlaku kerana Malaysia ada BN — makhluk perosak nombor satu.

Yang bersalah dalam isu ini adalah Peguam Negara yang gubal undang-undang mengarut tersebut. Yang salah juga adalah Ahli Parlimen BN yang luluskan undang -undang tersebut dan dalam hal ini termasuk para pengundi yang telah beri mandat kepada Ahli Parlimen BN. Yang salah juga adalah pihak polis yang melaksanakan undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan tersebut.

Saya telah menghubungi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu selaku penganjur perhimpunan bersejarah tersebut dan beliau telah memberi arahan kepada saya dan pasukan peguam PAS untuk mencabar di mahkamah syarat perhimpunan aman yang dikenakan pihak polis yang melarang kanak kanak menyertai perhimpunan pada 12 Januari yang lalu.

Bagi pihak yang diburu saya menasihatkan untuk pergi ke balai polis dengan ditemani peguam PAS bagi mengelakkan tangkapan dibuat. Jadikan sedikit ujian tersebut untuk menaikkan semangat kita untuk menolak BN dalam pilihanraya kelak. Ingatlah mereka boleh tangkap dan dakwa kita namun mereka tidak akan dapat sama sekali merobek harga diri dan kebebasan kita yang diberikan oleh Allah sejak azali lagi.

* Mohamed Hanipa Maidan adalah peguam PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan