"Jangan takut! Kalau kau takut, aku lagi takut!" kata AR Tompel

Aspan Alias
Apa yang berlaku sekarang adalah pengajaran sangat berharga untuk rakyat terutamanya dalam menilai prestasi kerajaan yang memerintah. UMNO itu sifatnya adalah sebuah parti yang angkuh dan MCA serta MIC juga di hinggapi oleh keangkuhan UMNO itu. Penyakit UMNO itu adalah penyakit yang sangat ‘contagious’ dan mudah merebak kepada sesiapa yang mendekati dan bersekongkol dengannya.
Kalau kita ingat-ingatkan kembali semua tindakan dan kata-kata pimpinan UMNO termasuk yang telah bersara, mereka ini adalah lambang sebenar kepada sikap dan nilai parti itu sendiri. Mereka merasakan UMNO itu sahajalah yang mampu melakukan semuanya dan menjadi penentu kepada semua manusia di dunia dan akhirat. UMNO sahajalah yang berkemampuan untuk mentadbir sedangkan Pakatan Rakyat itu tidak ada pengalaman dan berbagai-bagai lagi cemuhan yang di lakukan oleh UMNO.

UMNO lah yang terkuat dan UMNO lah yang boleh membawa tahap kemasyuran negara di peringkat antarabangsa. Kerajaan pimpinan UMNO sahajalah yang boleh menjadi contoh kepada seluruh dunia lebih-lebih lagi bagi negara yang sedang membangun. Sememangnya UMNO itu menjadi contoh kepada banyak negara membangun dan mundur. Itulah sebabnya di negara-negara mundur perlakuan rasuah itu menjadi-jadi kerana menjadikan negara kita ini sebagai contoh.

Tok Guru Nik Aziz di cerca dan ulamak di persendakan dengan menggunakan orang-orang setaraf “Abdullah bin Ubai’ untuk berada di dalam UMNO bagi melakukan segala kepura-puraan di dalam UMNO dan kerajaan. PAS kononnya sebuah parti sesat dan ulamak UMNO telah menjatuhkan hukum yang mengundi PAS itu adalah kerja syirik dan bermacam-macam lagi penghinaan.

Tetapi apabila sampai kita membuat penilaian kembali, kita melihat UMNO itu hanya bercakap kosong dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mengambil hati rakyat supaya menyokong mereka dalam pilihanraya ini. Dalam pada UMNO bercakap besar itu sekarang rakyat yang ramai bertanya pula kepada mereka beberapa soalan.

Soalan yang lazim di dengar ialah, kenapa pilihanraya tidak juga di adakan sehinggakan Dewan Undangan Negeri Sembilan akan terbubar dengan sendirinya pada Khamis ini. Pada Isnin yang akan datang terbubar pula kerajaan Negeri Johor Darul Takzim. Selepas ini bergilir-gilir Dewan Undangan Negeri-Negeri yang lain akan terbubar dengan sendiri. Apa ini semua kalau tidak kerana UMNO sudah mengetahui yang parti itu akan tumpas dalam pilihanraya yang akan datang ini?

Dewan Parlimen pula akan luput tarikhnya penghujung April yang akan datang ini. Inikah yang dikatakan sebuah parti yang bertanggungjawab sehinggakan Dewan Legislatif terbubar dengan sendirinya. Jika benar UMNO itu berkemampuan dalam segala-galanya, kenapa merasa takut untuk mengadakan pilihanraya?

Dalam pada orang menunggu tarikh luput Dewan Legislatif Johor kebangkitan rakyat Johor terlalu mendadak dan sudah di lihat dengan begitu jelas dan tidak ada apa yang boleh di buat oleh UMNO Johor untuk menghalang kebangkitan rakyat negeri itu menyokong Pakatan Rakyat. PAS dan DAP sudah nampak jelas telah mendapat sokongan rakyat Johor. Sallehuddin Ayob sudah menjadi sebutan rakyat Johor dan MCA sekarang sudah menjadi parti ‘orphanage’ kerana pengaruhnya di sekat oleh kemaraan DAP.

Dalam UMNO bercakap benar itu adalah haram dan satu kesalahan besar. UMNO itu angkuh dan tidak boleh di tegur dan sikap ini berlarutan kepada pemimpin di peringkat negeri dan bahagian. Saya mempunya pengalaman pahit semasa membuat kritikan dalam UMNO dahulu sehinggakan mereka membenci dan melakukan segala yang buruk terhadap diri saya dan orang seperti saya.

UMNO sudah tidak mampu memperbaiki diri lagi. Mereka bukan tidak mahu menjadi baik tetapi mereka tidak tahu lagi bagaimana hendak menjadi baik. UMNO teraba-raba mencari apa itu kebaikan malahan ramai di antara yang mereka lakukan itu mereka anggap baik. UMNO jelas pembawa dalil hari hendak kiamat. Yang baik dikatakannya buruk dan yang buruk itu dianggapnya sebagai baik.

Tetapi sekarang ini apa yang saya dan ramai lagi pemimpin yang bercakap benar dahulu terbukti kebenarannya. Apa yang di benci oleh UMNO terhadap kritikan kami dahulu sekarang sudah menjadi kenyataan. Urat dan akar dalam UMNO itu sudah mati. UMNO hanya kuat sedikit kerana ada kuasa di Putrajaya. Itulah sebabnya UMNO hanya bergiat di peringkat Putrajaya sedangkan di cawangan-cawangan UMNO sudah terkubur.

Pemimpin UMNO cawangan-cawangan hanya berkumpul di kedai kopi seperti orang baru balik dari tanah perkuburan setelah mengebumikan orang yang baru meninggal. Di kedai-kedai kopi ini sahajalah kita mendengar hal UMNO. Itu pun kita mendengar cemuhan terhadap rakan-rakan seperti mereka kerana merebutkan tempat.

Dewan-Dewan Legislatif kita akan terbubar dengan sendiri, malah kalau di kira dari pandangan yang lain, Dewan Rakyat dan DUN-DUN sudah pun terbubar sekarang ini. UMNO masih terkial-kial di bawah ini sedangkan pilihanraya sudah sampai waktunya diadakan. Di cawangan-cawangan UMNO masih kaku.

Saya menulis isu ini kerana saya tidak mahu lagi rakyat di bawah ini terus mengharapkan pembelaan dari UMNO kerana pemimpin mereka di atas pun sedang menghadapi masalah besar. Masakan mereka mampu untuk menengok-nengokan keadaan parti di bawah-bawah ini. Lagi pun UMNO akan secara jelas berpecah sejurus nama-nama calon di umumkan. Tidak ada apa lagi yang hendak kita tunggu dalam UMNO itu.

Kalau UMNO sendiri takut bagaimana rakyat hendak berani ke depan mempertahankan UMNO itu? Saya teringat dialog AR Tompel dalam filem Laksaman Do Re Mi semasa mereka hendak menaiki tikar terbang dalam filem itu. “:Jangan takut! Kalau kau takut, aku lagi takut!” kata Tompel kepada Ibrahim Din dalam filem itu.

Begitulah keadaan UMNO sekarang ini. Pemimpin mereka tahu yang UMNO akan tumpas dan mereka merasa takut untuk mengadakan pilihanraya. Ketakutan pimpinan UMNO inilah yang membuatkan ahli-ahli UMNO di bawah ini merasa takut untuk memberikan sokongan kepada UMNO secara terbuka.

Oleh itu kita hanya perlu bersabar dan tingkatkan doa dan sandaran kita terhadap Allah swt. Hanya kita berharap agar segala gerak kerja kita selama ini adalah di dalam sepenuh keredoanNya sentiasa. Kita mengharapkan dari Allah yang segala gerak langkah kita sekarang ini, adalah gerak dan afa’alNya semata-mata.

Semua nya akan berlaku dengan keizinanNya semata-mata. Jangan berani-beraninya sesiapa menyangkal hakikat ketuhanan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan