Kenyataan Tian Chua dimanipulasi, Rahim Nor pula terlibat dalam politik

Aspan Alias
Sedang kita berkabung kerana kehilangan ramai anggota keselamatan, saya tidak dapat menahan diri tentang perlakuan politik yang timbul dikeliling kejadian berdarah ini. Sesiapa pun boleh bercakap apa tentang isu ini dan cara kerajaan mengendalikannya.
Dari awal kejadian ini lagi kita telah mendengar permainan politik setengah pihak yang menuduh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai dalang kepada kejadian ini dan ia sesungguhnya sangat menjilikkan. Apabila kejadian seperti ini berlaku ada pihak tidak sempat-sempat hendak menjadikan kejadian ini sebagai alat politik mereka.

Sudah dua malam kita telah diberitahu yang TV3 telah memainkan isu terhadap Tian Chua dan salah seorang yang dipaparkan dalam siaran itu melalui buletin utama TV itu ialah Rahim Nor, bekas Ketua Polis Negara, yang pernah dipenjarakan oleh Mahkamah kerana memukul Anwar semasa dalam tahanan Polis pada tahun 1998 dahulu.

Tian Chua dijadikan sasaran oleh UMNO dengan menggunakan TV3 dan media massa lain sambil menuduh Tian Chua bermain politik dengan isu tembak menembak di Sabah sekarang ini. Kata-kata Tian Chua dimanipulasi oleh pihak media kononnya Tian Chua menuduh kejadian di Lahat Datu itu adalah sandiwara UMNO dan BN. Apa yang dikatakan oleh Tian adalah respons kepada tuduhan yang pencerobohan di Lahat Datu itu didalangi oleh Anwar. Tian tidak membuat komen tentang tembak menembak itu.

Semua orang tahu yang UMNO itu dalam keadaan terdesak, tetapi terdesak macam mana pun adalah menjilikkan untuk memutar-belit kan kenyataan Tian Chua itu dengan sewenang-wenangnya.

Yang lebih menjengkelkan ialah media menggunakan bekas Ketua Polis Negara yang melakukan kesalahan memukul Anwar semasa pemimpin pembangkang itu berada di dalam lokap Polis semasa beliau di tahan pada tahun 1998 dahulu. Rahim lah yang didapati bersalah memukul Anwar semasa dalam tahanan itu sehingga mata Anwar membengkak kehitaman.

Rahim semalam menganggap Tian Chua seperti kanak-kanak sekolah yang tidak layak untuk dipertahankan oleh sesiapa pun dalam pilihanraya yang akan datang. Bagaimana TV3 boleh menggunakan Rahim untuk membuat kenyataan membidas Tian Chua sedangkan dari segi moralnya Rahim ini tidak berkelayakan untuk membuat komen politik kerana beliau sendiri bukanlah seorang yang mempunyai ‘moral standing' yang kukuh untuk berkata-kata tentang politik dengan baik.

Sebaliknya Rahim itulah yang lebih rendah martabatnya kerana melakukan kekasaran terhadap Anwar semasa dalam tahanan itu. Rahim lebih rendah dari semua manusia yang bertamaddun dan tindakan beliau memukul orang lain itu seolah-olah beliau (Rahim) sedang hidup di zaman batu. Di zaman batu dahulu siapa yang mempunyai otot yang kuat orang itulah yang berkuasa.

Rahim itulah sebenarnya yang menggunakan keadaan semasa ini untuk menonjolkan diri beliau dan sikap mengampu pihak yang berkuasa tidak kira bermoral atau sebaliknya. Itu ada lah budaya yang sudah tertanam di dalam kehidupan mereka yang menghampiri yang berkuasa sejak lebih dari dua dekad yang lalu.

Rahim ini tidak lebih dan tidak kurang seperti anggota boria yang melangkah dan menghayun tangannya mengikut kumpulan boria. Jika Rahim dijadikan ‘anchor' dalam memberikan komen politik, ia membawa makna pihak yang disokong Rahim itu sememangnya pihak yang tidak mempunyai moral untuk membuat apa-apa kebaikan untuk siasah negara ini.

Orang yang tidak mempunyai sahsiah yang asas untuk bercakap tentang moral seperti Rahim ini masih diperguna oleh polis pihak pemerintah. Saya juga difahamkan yang Rahim ini merupakan Ketua Unit dalam "war room" UMNO. Jika berita ini benar, bertambah jelas lah yang UMNO akan tersungkur dalam pilihanraya kali ini.

Kerja UMNO untuk mengaitkan Anwar dalam pencerobohan dari Sulu itu merupakan tindakan yang sangat ‘desperate' bagi UMNO dan niat Anwar untuk membawa ke mahkamah pihak yang membuat tuduhan itu adalah satu tindakan yang sangat wajar.

Pihak pembangkang juga boleh membuat tuduhan yang sama jika mahu tetapi itu bukan caranya untuk mendapat sokongan ramai. Kita juga boleh mengejek kemampuan pihak kita mengendalikan pencerobohan itu.

Kita boleh berkata yang jika kumpulan yang tidak mempunyai senjata canggih pun tidak mampu dilawan oleh pihak kita bagaimana pula jika negara kita di serang oleh negara lain secara peperangan sebenarnya.

Kita bukan tidak sedar dengan kematian yang begitu ramai pihak keselamatan kita itu, ia menunjukkan kepada dunia betapa rendahnya kemampuan kita untuk mempertahankan negara yang berdaulat ini. Malahan jika keadaan ini berlaku di negara, kerajaan atau pimpinan yang bertanggungjawab, mereka sudah pun meletakkan jawatan untuk menjaga maruah dan martabat negara. Malahan seluruh kerajaan sepatutnya meletakkan jawatan serta merta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan