Lahad Datu: Warkah untuk Tuanku Yang DiPertuan Agung

Zukri Aksah

Menghadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung

Al-Sultan Almu`tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu`adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah

Ampun Tuanku,

Patik cuma orang biasa, rakyat biasa di dalam negara di bawah naungan daulat Tuanku. Tetapi, keorangbiasaan patik itu tidaklah pula sampai mengkesampingkan patik dari mengambil tahu akan hal-hal berkait dengan negara yang sedang berlaku sekarang. Atas rasa prihatin inilah patik cuba menulis warkah ini buat Tuanku. Patik harap, Tuanku yang patik kenal dengan penampilan yang lemah-lembut, juga mempunya hati budi yang lembut untuk turut sama merasai apa yang cuba patik sampaikan dalam tulisan ini.

Terlebih dahulu, izinkan patik memperkenalkan diri patik. Patik bernama Mohd Zukri, dari ibu yang bernama Azizah binti Abdul Wahab bin Jumaat bin Hitam. Jumaat yang mengguna gelar ayahnya “Panglima Hitam,” adalah salah seorang dari tujuh panglima Pahang (termasuk Mat Kilau dan Dato’ Bahaman), yang menentang penjajah British dan akhirnya sebelum berpecah telah mengangkat persetiaan tujuh pendekar Pahang yang mana mereka tidak akan mendedahkan identiti sebenar mereka sehingga mati. Moyang patik itu meninggal dunia hanya beberapa tahun awal sebelum hebohnya berita kemunculan semula Mat Kilau di Pahang, pada ketika umurnya 120 tahun lebih. Bunyut patik yang bernama Hitam itu pula adalah salah seorang pendekar yang setia hingga ke matinya bersama-sama dengan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir Pahang (1847-1863). Bunyut patik bersekali dengan BSM Tun Mutahir mangkat di Sedili. Sementera BSM Tun Mutahir dimakamkan di Bukit Timbalan, Johor, bunyut patik dikebumikan di Pulau Lima. Keturunan patik ini kalau dipanjangkan lagi, ia langsung akan sampai ke nama Raja Haji fisabilillah, Marhum Teluk Ketapang, syahid menentang penjajah Belanda.

Ampun Tuanku, jika cara patik mengungkit jurai keturunan patik ini agak tidak molek pada pandangan Tuanku, tiada langsung niat serong di hati patik, jauh dari mahu membangga diri. Ini sudah tentu berkait dengan petaka yang sedang melanda di hujung negara kita, di Sabah sana. Petaka yang telah menggelora rasa segenap hati rakyat jelata, satu negara berdukalara, satu negara hiba nestapa. Dalam keadaan gawat di sana, yang sudahpun mengorbankan nyawa, lingkaran politik di arus perdana pula sibuk menuding jari ke sana-sini, yang ini pengkhianat, yang itu penderhaka, pemimpin ini tidak patriotik, pemimpin itu tidak sayangkan negara, semata-mata kerana ada cakap-cakap yang berteori tentang konspirasi di belakang insiden ini.

Maka sebab itulah patik mulakan warkah ini dengan sejarah panjang keluarga patik, supaya orang yang membaca dan mungkin Tuanku sendiri faham, bahawa walaupun mungkin akan ada kontroversi tentang apa yang bakal patik tulis tetapi biarlah patik tegaskan, darah dan keringat leluhur patik dari beberapa generasi pernah tumpah di bumi bertuah ini kerana menentang penjajah dan mempertahankan daulat Raja. Tidak mungkin dan tidak akan patik sia-siakannya, mustahil untuk patik belot dan khianat kepada negara sendiri, apatah lagi sampai ke tahap memperlekeh para pejuang negara masa kini yang sekarang sedang berada di medan tempur. Harap tidak ada yang meragui patriotisme patik.

Patik yakin, tidak akan ada rakyat Tuanku yang waras yang akan mengatakan bahawa pertembungan militer di antara pasukan keselamatan kita dengan pengganas Sulu itu adalah drama atau sandiwara. Mungkin sesetengah dari pemimpin politik yang cuba mengulas insiden ini sama ada kurang pandai berbahasa atau lemah dalam perbendaharaan kata, lalu penerimaan umum menjadi lain.

Ya, pertembungan militer itu secara tersendiri adalah sesuatu yang “real,” yang benar, hingga memakan korban (al Fatihah buat semua perwira negara). Tetapi yang banyak dipersoalkan sebenarnya adalah penglibatan lingkungan politik di luarnya. Sejauh mana penglibatan lingkungan politik ini dalam menjawab soalan “Apa yang menyebabkan ini berlaku?” dan “Siapa yang menyebabkan ini berlaku?”

Teori-teori ini mendapat respon yang meledak di media-media sosial kerana kebetulan pula, ketika pengganas-pengganas Sulu itu menceroboh Lahad Datu, Suruhanjaya Siasatan DiRaja sedang bersidang dan membicarakan isu-isu dan kes-kes berkaitan dengan apa yang dikatakan skandal “Projek IC.” Saksi-saksi yang memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya tersebut sebelum ini kebanyakannya telah mendedahkan bahawa ribuan IC segera telah dikeluarkan kepada pendatang tanpa izin di Sabah terutamanya dari Filipina, ini termasuklah dari suku Sulu – Tausug.

Tuanku, seringkali kita dengar kenyataan dari pihak keselamatan kita bahawa dalam memburu puak pengganas ini, mereka didapati berselindung di rumah-rumah orang tempatan. Persoalannya, apakah “orang tempatan” ini sememangnya orang tempatan yang diugut supaya memberi bantuan atau “orang tempatan segera” yang berjaya mendapat klasifikasi “tempatan” hasil dari Projek IC yang kesetiaan mereka bukan kepada Tuanku dan negara? Apakah kerana sebab ini juga yang menyebabkan sukarnya kerja-kerja pasukan keselamatan kita dalam mengesan kedudukan saki-baki puak pengganas ini, sehingga masa yang lama terpaksa diambil?

Ampunkan patik Tuanku. Pada hemat patik, tidak adil rasanya untuk menyalahkan rakyat atau mana-mana individu bilamana mereka terpaksa untuk berfikir dua kali untuk tidak percaya kepada teori konspirasi di belakang tragedi malang di Sabah. Sekali lagi patik tegaskan konspirasi di sini adalah berkait dengan lingkungan-lingkungan politik di luar tragedi tersebut, tragedi tersebut secara tersendiri adalah “real” dan peristiwa benar. Mereka ada asas untuk mempertimbangkannya.

Patik mohon Tuanku hayati kata-kata ini,

"Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam… Saya merayu kepada mahkamah yang kini berada di dalam kedudukan dan mempunyai kuasa untuk menentukan hidup dan mati saya, agar tidak menghukum saya sekaligus menyempurnakan perencanaan mereka terhadap saya"

Ini adalah kata-kata yang terbit dari mulut anggota polis, pasukan keselamatan kita yang bernama Koperal Sirul Azhar Umar dalam kes pembunuhan penterjemah wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Betapa jika disimpulkan dari kenyataannya ini, ada orang yang begitu berpengaruh dan berkuasa sanggup menghantar anggota keselamatan kita ke tali gantung semata-mata kerana kerakusan kuasa dan kedudukan.

Sama ada pembunuhan Altantuya mahupun pertembungan militer di Sabah, kedua-duanya adalah kejadian benar yang memilukan, tidak akan ada manusia yang mempersoalkannya. Tetapi persamaan kedua-dua kejadian ini adalah penglibatan lingkungan politik di luarnya, ini yang menjadi perbahasan dan perdebatan hangat. Sementara Ahli Dewan Rakyat, YB Tian Chua bakal didakwa di bawah Akta Hasutan kerana “kononnya” menuduh UMNO sebagai dalang konspirasi tragedi di Sabah, kalangan yang menuduh pemimpin Pakatan Rakyat pula sebagai konspiratornya tidak turut disiasat dan didakwa di bawah Akta yang sama. Ampun Tuanku, sekalian pacal rakyat, sangat-sangat berharap yang Tuanku mampu untuk campurtangan dan mengembalikan keadilan di negara kita ini.
Tuanku,

Belum sempat jernih keruh di Sabah, mandat kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang memerintah hari ini tamat tempohnya, maka kuasa dipulangkan kepada Tuanku untuk menentu atur-bicaranya. Mereka yang ahli dalam hal perlembagaan saling berhujah perihal bila tamatnya tempoh lima tahun penggal pemerintahan, mengiranya bermaksud menentukan tarikh permulaannya, ada yang berkata bermula Barisan Nasional diisytiharkan menang pilihanraya umum yang lalu, ada pula yang berkata bermulanya pada hari pertama sidang pertama Dewan Rakyat selepas pilihanraya tersebut. Apapun ia adalah khilaf penakrifan undang-undang. Jika kita adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar, tentulah kita tidak mahu berada dalam kedua-dua kekhilafan ini, maka mendapat mandat baru atau mengadakan pilihanraya baru sebelum timbulnya kekhilafan ini adalah lebih afdal dan menggamit hormat.

Jika seorang Perdana Menteri gementar atau ragu-ragu, lalu bertangguh-tangguh untuk merafak sembah Tuanku memohon perkenan membubarkan Parlimen, maka Tuanku punya kuasa mutlak untuk membuat pembubaran tersebut tanpa sebarang permohonan pun. Kuasa Tuanku ini dinyatakan dalam Bab 3 Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Patik sangat berharap tidak ada usaha di pihak Perdana Menteri untuk memohon perkenan Tuanku supaya melanjutkan tarikh tamat tempoh itu menggunakan sebab tragedi berdarah di Sabah. Jika ada usaha itu, patik mohon Tuanku menolaknya. Jika Tuanku sudah menerima dan memperkenankannya, patik mohon sembah derhaka, mohon agar Tuanku menarik balik perkenan itu.

Atas sebab yang sama, tragedi berdarah di Sabah, patik kira pilihanraya umum yang baru harus disegerakan. Patik melihat negara kita memerlukan sebuah kerajaan baru yang lebih kuat, yang mampu untuk membuat keputusan-keputusan yang lebih strategik dalam menyelesaikan permasalahan di Sabah secara lebih tuntas. Patik juga berpendapat bahawa negara kita memerlukan sebuah kerajaan yang lebih jujur dan telus, supaya kita boleh pastikan yang lingkungan-lingkungan politik seperti yang patik sebutkan di atas tadi boleh kita hapuskan, juga menjadi panduan agar ia tidak lagi berlaku pada masa hadapan, kerana terbukti hari ini penglibatan lingkungan-lingkungan politik tanpa had dalam semua perkara akhirnya seperti di Sabah telah mengkompromi keselamatan negara dan rakyat, yang akhirnya menagih korban.

Ampun Tuanku, beribu ampun. Patik tamatkan warkah patik setakat ini.

Patik pacal yang hina,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan