Misuari dakwa 'mereka ke Sabah selepas janji Najib'

Harakahdaily
MANILA: Menurut laporan Manila Buletin Publishing Corporation (mb.com.ph), pengasas MNLF Nur Misuari mendakwa tentera Sulu ke Sabah selepas mendengar janji dari Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut laporan bertarikh 21 Februari 2013 bertajuk "Don’t Harm Sultan’s Men, Nur Warns Malaysia", Misuari berkata, ketika beliau di Jolo, Sulu beliau terdengar bahawa adik kepada Sultan Jamalul Kiram III, Agbimuddin Kiram telah merentas lautan kerana mereka telah dijanjikan untuk ditempatkan di Sabah.

Oleh itu, Misuari merayu Najib untuk bertindak dengan cermat dalam menghadapi pemberontak Filipina yang kini telah membunuh lapan anggota polis Malaysia di Sabah dalam pertempuran berdarah di Lahad Datu dan juga Semporna.
Misuari (gambar) juga mendakwa Agbimuddin mungkin ke Sabah untuk menunjukkan ketidaksabaran terhadap tuntutan mereka.

"Perkara ini perlu diselia oleh mereka yang lebih tenang," beliau berkata, sambil menambah ia adalah lebih baik menunggu pilihanraya umum April ini untuk melihat siapa menjadi Perdana Menteri.

Misuari juga memberikan amaran kepada Malaysia untuk menyelesaikan pertempuran di Sabah dengan aman.

Jika tidak, pasukannya akan memberikan bantuan kepada Kiram, ugut Misuari.

Laporan penuh artikel yang ditulis oleh Edd K.Usman boleh dibaca di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan