Pertembungan Antara Dua Saudara Tak Dapat Dielakkan Dalam PRU-13

ROZAID A. RAHMAN
WALAUPUN mereka bersaudara tetapi itu tidak bermakna mereka berada dalam barisan yang sama.

Ahli parlimen Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Samad, 63, dan adiknya, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, 55, adalah contoh terbaik.

Shahrir adalah orang Umno tetapi Khalid adalah ahli PAS.
Sejak awal lagi kedua-duanya bergerak di atas platform yang berbeza.

Walaupun Shahrir terlebih dahulu menerjunkan dirinya dalam politik dengan menjadi setiausaha politik Tun Musa Hitam sejak tahun 70an lagi tetapi Khalid tidak pernah sama sekali melibatkan diri dengan Umno.

Sebaliknya beliau memilih Pas. Sementara karier politik Shahrir ada pasang surutnya tetapi beliau terlebih dahulu lebih berjaya daripada adik bongsunya.
Karier politik Shahrir ada pasang surutnya tetapi beliau terlebih dahulu lebih berjaya daripada adiknya, Khalid.
Memenangi kerusi parlimen Johor Baharu tanpa kalah sejak 1978 dan kemudian dilantik menjadi menteri kabinet pada usia 28 tahun dan hari ini masih lagi mempertahankan kerusi JB dengan penuh semangat.

Khalid pula hanya mula bertanding pada pilihan raya 1986 dan selepas itu diikuti pula pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008.

Tidak sepertimana Shahrir, Khalid tewas di ketiga-tiga percubaan dan hanya berjaya pada percubaan keempat pada tahun 2008 di parlimen Shah Alam dengan menumpaskan penyandang kerusi yang juga menteri pusat, Datuk Sri Aziz Shamsuddin.
Khalid kini menyandang jawatan Ahli Parlimen Shah Alam.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, nampaknya kedua-dua bersaudara ini akan terus mempertahankan kerusi masing-masing.

Sementara itu di Utara tanah air, kita juga bakal menyaksikan satu lagi pertembungan antara dua bersaudara iaitu antara Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, 49, dan juga abangnya Datuk Sahlan Ismail, 54, yang merupakan setiausaha politik kepada perdana menteri.

Saifuddin buat masa ini adalah ahli parlimen Machang Kelantan, perlu mencari kerusi baru.

Ini kerana telah menjadi satu amalan tidak bertulis di negeri Kelantan, bukan anak Kelantan cuma diizinkan bertanding tidak melebihi dua penggal oleh PAS Kelantan di negeri itu.

Atas sebab itu jugalah, Saifuddin yang berasal dari Kedah dan Salehuddin Ayub yang berasal dari Johor perlu mencari kerusi baru menjelang PRU-13 nanti.

Salehuddin siang-siang lagi telah menyatakan yang beliau akan bertanding di kerusi Pulai, Johor kali ini.
Saifuddin perlu mencari kerusi baru.
Sehubungan dengan itu, Saifuddin disebut-sebut akan memilih Kulim-Bandar Baru di Selatan Kedah - kerusi yang sebelum ini disandang oleh Datuk Zulkifli Nordin dari PKR sebelum menjadi ahli Bebas.

Kulim-Bandar Baru bukanlah satu kawasan yang asing buat Saifuddin. Pada tahun 2000 beliau bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Lunas yang terletak dalam parlimen berkenaan dan menang.

Sementara abangnya, Sahlan Ismail, disebut-sebut akan diletakkan bertanding di Parlimen Pokok Sena atau pun Dewan Undangan Negeri Bukit Lada.

Pokok Sena adalah tempat asal keluarga Saifuddin dan abangnya itu.

Jika ini benar berlaku, ia adalah percubaan yang pertama buat Sahlan.
Sahlan dijangka bertanding di Parlimen Pokok Sena.
Kerusi Pokok Sena kini disandang oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz pertama kali memenangi kerusi itu pada tahun 1999 tetapi kemudian tewas pada 2004 sebelum merampasnya semula pada 2008.

Berbanding Saifuddin, Sahlan agak terkemudian bergerak aktif dalam politik kepartian walaupun sebelum ini beliau sudah dikenali sebagai seorang fisilitator dan aktivis Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau telah berkhidmat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pegawai khas sejak 1995 lagi sebelum diangkat sebagai setiausaha politik pada April 2008.

Tidak sepertimana Shahrir-Khalid yang sejak dari awal lagi berkecimpung dalam politik atas platform yang berbeza, Saifuddin-Sahlan tidak sebegitu.

Ini kerana Saifuddin pernah bergerak aktif di dalam PAS dan kemudian Umno dengan menyandang jawatan selaku setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Malaysia pada era Datuk Ahmad Zahid Hamidi menerajui pergerakan itu antara tahun 1996-98.

Namun begitu apa yang unik ialah kedua-dua bersaudara itu masing-masing pernah menjadi setiausaha politik.

Saifuddin pernah menjadi setiausaha politik menteri pertahanan dan kini Sahlan setiausaha politik kepada perdana menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan