ZULKIFLI YAHAYA
AGAK menarik untuk membayangkan apabila BN kalah di Pusat dalam PRU13 nanti. Senario kekalahan itu jika dapat diceritakan kepada rakyat, boleh memberi motivasi kepada mereka untuk menukar kerajaan kerana suasana yang berbeza daripada kebiasaan, selagi tidak menggugat kehidupan mereka, juga adalah impian sebahagian besar manusia
Hari ini, saban waktu kita menghadap televisyen hanya versi sebelah pihak yang diperolehi. Jika mereka melaporkan program kerajaan maka ia memang wajar kerana aktiviti kerajaan mesti diberi liputan.
Namun laporan berita yang dibuat tidak dapat membezakan antara kerajaan dan parti politik yang memerintah.
Perhimpunan Agung Umno mendapat liputan siaran langsung dan fokus selama berhari-hari. Persidangan Parlimen pun tidak mendapat liputan sehebat itu.
Rakyat umumnya naik muak setiap kali berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno. Selepas ini tiada lagi liputan istimewa seperti itu untuk Umno.
Maka selepas ini liputan untuk PAS, KeADILan atau DAP ada dalam televisyen, radio dan akhbar tetapi tidaklah menjolok mata seperti perhimpunan Umno sekarang.
Sebelum ini, menjelang PRU atau pilihan raya kecil kerajaan BN turun atas nama kerajaan Pusat. Seluruh jentera kerajaan dikerahkan berkempen untuk BN dengan menggunakan peruntukan kerajaan.
Selepas ini tiada lagi. Semua parti politik sertai pilihan raya dengan menggunakan jentera serta kekuatan parti.
Hari ini, BN menjadi parti yang sangat berkuasa. Keangkuhan mereka cuma tidak mengatasi Firaun yang mengaku menjadi Tuhan. Mereka kononnya boleh memberi segalanya kepada rakyat.
Kerajaan dan BN atau Umno sudah jadi sinonim. Apa yang menjadi hak kerajaan adalah hakmilik BN sehingga pejabat parti pun dalam balai raya milik kerajaan.
Selepas PRU nanti, BN kehilangan semua itu kerana mereka hilang kerajaan Pusat. Tiada tempat untuk bertenggek. Untuk bermesyuarat atau merancang aktiviti mungkin boleh dibuat di bawah pokok tetapi untuk membiayai program parti mereka tiada sumber kewangan.
Tauke dan korporat tidak mahu lagi membantu kerana mereka tidak berhutang budi apa-apa lagi dengan pihak BN. Berapa hari agaknya mereka mampu bertahan?
Selama ini ramai yang menyokong Umno atau BN kerana kepentingan. Kerana projek, kedudukan, jawatan atau sekurang-kurangnya kerana mahu bernaung di bawah BN yang menerajui kerajaan.
Golongan berkepentingan ini akan meninggalkan BN yang kalah dan menyokong Pakatan yang menerajui Pusat.
Gerakan ini berlaku secara besar-besaran di seluruh negara. Parti Umno di semua peringkat akan runtuh satu demi satu macam komunis di era kejatuhannya. Satu demi satu negara komunis menuntut kemerdekaan.
Bagaimanapun diramalkan Umno tidaklah hancur terus.
Mereka akan diberi nafas baru oleh kumpulan ekstremis seperti Perkasa, Jati, Pekida dan sebagainya. pada masa itu Umno mungkin kehilangan wajah 1-Malaysianya. Perjuangan mereka menjadi semakin rasis, apatah lagi antara yang berkongsi kuasa pada masa itu ialah DAP.
Katalah dalam PRU nanti Pakatan menang dengan majoriti mudah. Ia tiada masalah asalkan boleh membentuk kerajaan dan seorang ahli Parlimen Pakatan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Selesakah ahli Parlimen BN untuk menjadi pembangkang setelah berpuluh-puluh tahun dalam posisi senang lenang sebagai orang kerajaan?
Seorang demi seorang akan melompat menyertai parti kerajaan kerana tidak mampu bertahan sebagai pembangkang. Akhirnya kerajaan Pusat dapat ditegakkan dengan majoriti dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat.
Jika Pakatan menang di Pusat, mungkin tidak semua negeri akan turut dimenangi.
Jika ada negeri yang dikuasai BN, apakah mereka mampu bertahan sebagaimana Pakatan mampu mempertahankan empat negeri sehingga berakhirnya penggal?
Saya menjangkakan tidak, kerana mereka mereka tidak pernah mendapat tarbiyah sebagai pembangkang yang memulakan episod politik tanpa kerajaan. Mereka tidak pernah merasa susah, lalu memilih jalan lebih senang. jalan mudahnya ialah bersama kerajaan yang memerintah Pusat.
Tanpa perlu 'dibeli' para Adun BN itu akan melompat menyebelahi Pakatan sehingga tiada lagi kerajaan BN yang memerintah negeri.
Bagaimana halnya dengan negarawan ulung Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkempen siang malam untuk mempertahankan kerajaan BN.
Ada yang meramalkan bahawa beliau dan keluarga akan meninggalkan negara sebelum keputusan diumumkan. Itupun andaian menarik yang ingin dilihat rakyat. Banyak sudah kesengsaraan yang ditanggung oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim angkara Mahathir.
Takkanlah sepanjang 22 tahun memimpin kerajaan, tiada satu dakwaan pun boleh dikenakan terhadapnya.
Apakah nasibnya nanti sama dengan Suharto atau Hosni Mubarak? Atau Perdana Menteri pada masa itu berjiwa besar, memberi pengampunan kepadanya.
Itu semua andaian yang sangat menyeronokan untuk diikuti nanti.
Tidak mustahil untuk ia berlaku dan rakyat kena berusaha jika mahu melihat ia berlaku. Selepas berusaha kita bermunajat memohon Allah menyempurnakan cita-cita kita untuk melihat ia terjadi. Allah mempunyai kuasa mutlak untuk menjatuh atau menaikkan sesebuah kekuasaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan