Bernama
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang Jamaluddin Mohd Radzi akan bertanding sebagai calon Bebas untuk mempertahankan kerusi DUN itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana yakin dapat menambat hati pengundi di kawasan itu.
"Sekiranya (bertanding) antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), BN (Barisan Nasional) dan saya sebagai calon Bebas, saya yakin saya akan menang tetapi ia satu pertarungan sengit.
"Sekiranya saya guna lambang BN untuk lawan calon PKR, saya akan menang dengan majoriti lebih 5,000 dan mungkin jumlah itu adalah yang tertinggi di Perak," katanya ketika ditemui pemberita selepas membeli borang pencalonan di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya negeri Perak di Ipoh hari ini.
Ditanya sama ada beliau berminat untuk bertanding atas tiket BN, beliau berkata:
"Kalau kita nak bertunang pun kena ada orang masuk meminang, mana boleh kita menawarkan diri. Sekiranya ada pihak yang memberi tawaran saya akan fikirkan. Selama hari ini pun saya bekerja untuk BN dan Perak pun adalah di bawah BN, tidak mustahil saya penyokong kuat BN."
Pada pilihan raya umum ke-12, Jamaluddin yang mewakili PKR mengalahkan calon BN, M Ramasamy dengan majoriti 1,027 undi.
Pada Februari 2009, Jamaluddin bersama tiga lagi Adun pakatan pembangkang mengisytiharkan keluar parti dan menyatakan sokongan kepada BN, sekali gus memberi laluan kepada BN membentuk kerajaan di Perak.
-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan