Penjelasan MSO Mengenai Fitnah Terhadap Husam

Mohd Sayuti Omar
Yang jelasnya saya tidak bertanding di mana-mana kerusi dalam pilihan raya kali ini. Saya bukan calon bebas di kerusi P 125 Putrajaya. Tetapi khbarnya gambar saya turut disebar dan dimasukkan dalam peti surat menjadi bahan kempen di situ. Beberapa rakan dan penggemar blog saya juga menghubungi dan bertanya khabar mengenai itu. Apa sudah jadi tuan... tanya mereka.
Gambar saya tersebar menerusi sebuah buku kecil yang di muka hadapannya turut tertera gambar saya. Buku itu menghentam calon PAS di Putrajaya Husam Musa. Buku itu sudah lama tersebr di Kelantan dibahagi-bahagikan sebagai buah tangan dalam setiap majlis anjuran kerajaan UBN.

Khabarnya juga calon BN, Teuku Adnan Teuku Mansor ada menyebut nama saya dan kononnya bercerita sesuatu mengenai Husam kepadanya. Aduhai politik bangsaku.

Saya ingin jelaskan di sini, mengenai tuduhan dan dakwaan kononnya dibuat oleh saya terhadap Husam baik oleh Teuku Adnan dan juga apa yang ditulis dan 'dikarai' didalam buku kecil itu. Buku kecil itu tidak ada nama pengarangnya. Ertinya ia buku hantu. Hantu tidak boleh dipercayai. Saya mahu berdepan dengan manusia yang normal dan nyata saja. Saya jelek dengan manusia halimunan atau tidak bertanggungjawab.

Kalau boleh penulis atau penyusun buku berkenaan timbul dan tampilkkan wajah anda. Baru sedap hendak soal bicara atau berdebat. Jangan main tusuk muka itu perangai bonbon.

Sebahagian bahan di dalam buku itu diambil dari blog saya. Tidak menjadi masalah tetapi ada sedutan ataupun petikan yang dibuat tidak benar dan ia adalah fitnah pula kepada saya dan lebih-lebih lagi kepda Husam.

Misalnya mengenai quotation di muka 7, kononnya saya menyebut Husam ada menyimpan perempuan Cina di sebuah kondominum dan kahwin secara senyap adalah bohong dan fitnah. Buktikan kalau saya ada berbuat demikian? Tidak baik kalau kita hendak mengetuk orang dengan meminjam tangan orang lain. Guna tangan sendirilah...

Itu semua adalah rekaan untuk memburuk-burukkan Husam. Memang saya tidak setuju dalam beberapa perkara dengan Husam, tetapi saya tidak mengheretnya ke dalam fitnah. Saya amat kesal atas penulisan ini yang dibuat secara tidak bertanggungjawab. Bukan tuduhan dan dakwaan itu saja, dakwaan-dakwaan lain yang agak melampau dan berniat buruk ke atas Husam adalah dikesali.

Di zaman edan saya dulu, syaa berdepan dengan Husam secara direct. Saya tidak main sembunyi tangan dan selindung kepala. Sebab itu Husam saman saya dan saya menghadapi saman Husam. Kami gentlemen.

Saya mengakui saya menulis blog dan mengisahkan perihal Husam, tetapi apa yang saya tulis dan perkatakan adalah apa yang saya ketahui bukan spekulasi. Jadi adalah tidak adil, menyalahi etika penulisan kalau nama saya diheret untuk memburuk-burukkan Husam.Itu namanya melanun.

Saya berharap kepada semua pihak agar tidak eksploitkan nama saya, atau gambar saya untuk kempen di Putrajaya. Kemenangan di Putrajaya akan diperolehi dek mereka yang ikhlas dan jujur. Kemenangan yang sebenar ialah yang dijalankan secara teratur, tertib dan menempati lunas-lunas Islam.

Saya rasaya komuniti Putrajaya tidak mudah tertipu dengan dakyah ataupun dakwaan-dakwaan yang mentah oleh mana-mana pihak kerana kebanyakan mereka berpendidikan, celik IT serta mempunyai deria rasa yang tinggi untuk menentukan siapakah pemimpin mereka di situ.
http://msomelayu.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan