Mohd Sayuti Omar
Malam tadi semasa keluar minum dengan seorang teman (yang insya-Allah akan bertanding dalam pilihan raya akan datang) saya terserempak dengan salah seorang Jeneral (B) askar yang baru menyertai PKR. Bersamanya anggota tiga Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menjadi penggerak acara Sumpah Pemuda yang digerakkan oleh bekas ketua AMK yang kini sudah menjadi usang dan sedang memakan hati berulam jantung dalam Umno.
Razaleigh: Ada undi penentu.
Pemuda berkenaan bertanya saya secara terus terang mengenai situasi negara hari ini dan iklim politik kontemporari. Dia mahu saya menjawab secara jujur sebagai seorang pencerat dan penulis politik kerdil. "Abang bagaimana pandangan abang mengenai situasi keseluruhannya?" Soal beliau.
"Maksudnya dalam PKR atau pun keseluruhan negara?" tanya saya inginkan kepasti dari sisi mana yang diingini.
"Seluruh negara, kedudukan terkini?" katanya menjelaskan isi maksud persoalannya. Saya melihat kepada Jeneral yang baru berkubang dalam politik itu. Saya tidak mahu dia terkejut dengan jawaban saya yang boleh mengjungkitkan punggungnya. Semangatnya untuk menumbangkan UBN jangan pula terjejas dengan jawaban saya. Saya pula suka berterus terang walaupun cara itu tidak disenangi. Bagi saya berterus terang lebih baik dari segala-galanya.
"Saya masih meletakkan kerusi yang akan diperolehi Pakatan Rakyat sekitar 90 hingga 100 kerusi sahaja. Maksudnya dapat mengekalkan kerusi yang diperolehi dalam pilihan raya dengan penambahan dua tiga kerusi. Situasi ini bermakna Pakatan Rakyat memerlukan 25 atau 35 kerusi tambahan untuk menjadi pemerintah. Kalau 83 dicampur 25 ini bermaka 108 kerusi. Jadi sebanyak 20 kerusi lagi diperlukan untuk jadi 128, kerusi itu datangnya dari Sabah dan Sarawak," jelas dan hurai saya agak panjang lebar. Matematik itu sangat mudah untuk difahami.
"Macam mana di Sabah dan Sarawak, boleh ke?" Tanya pemuda itu. Dua lagi anak muda yang bersama di meja hanya mendengar dengan teliti dan begitu juga dengan rakan saya. Banyak mengunyah apa yang saya cerakinkan.
"Kondisi di Sabah kini agar berubah sedikit ekoran meletusnya tragedi pencerobohan Lahad Datu. Kalau dulu saya meletakkan 10 kerusi akan diperolehi, tetapi kini untuk mendapat angka itu sakit sedikit. Apabila UBN telah mengistyharkan 10 kawasan sebagai kawasan keselamatan khas semua kerusi parlimen yang terdapat di situ (7) akan menjadi milik mereka secara automatik. Begitu juga 15 kerusi state..."
"Apabila ia dijadikan kawasan keselamatan khas, maka Pakatan Rakyat tidak dapat menjalankan kegiatan kempen secara terbuka dan luas. Ia akan disekat dengan peraturan yang ketat. Sementara UBN boleh bergerak bebas atas nama aktiviti kerajaan dan sebagainya," jelas saya lagi.
"Begitu juga dengan rakyat Filipina yang mempunyai kad pengenalan Malaysia yang sudah kecewa dengan UBN dijangka akan mengundi Pakatan Rakyat. Tetapi setelah diadakan sekatan itu, mereka tidak akan dapat mengundi lagi. Kebanyakan mereka sudah dihalau pulang ke negeri asal mereka secara berperingkat", sambung saya lagi berhujah.
Jadi, sambung saya.. kerusi yang mulanya diperkirakan akan diperolehi dari Sabah akan hilang satu demi satu. Perkembangan hari ini saya berani mengatakan Pakatan mungkin memperolehi hanya lima atau paling tinggi tujuh kerusi saja di Sabah.
Pemuda itu terdiam sejenak termasuk jeneral askar itu yang banyak mendengar. Jawaban dan penjelsan saya itu menganggui emosinya. Keyakinannya juga mungkin berubah. Selepas itu dia bertanya saya mengenai Sarawak pula.
Saya menjelaskan di Sarawak keadaan tidak banyak berubah. Sejak awal lagi saya meletakkan sasaran Pakatan Rakyat akan menang antara lima hingga tujuh kerusi sahaja. Yang menyumbang kerusi itu hanya dari DAP. Sedangkan Pakatan memerlukan sekurang-kurang 10 kerusi di Sarawak. Alasan saya muda, situasi dan gelora politik di Sarawak tidak seperti di Sabah.
Angin perubahan dan arus hendak tukar pemerintah politik di Sabah belum merebak ke seluruh Sarawak. Faktor pentingnya ialah kerana di Sarawak tiada pemberani yang cuba mengolahkan kebangkitan rakyat. Tokoh-tokoh Melayu Islam Sarawak masih lagi bersetia khurafat dengan Taib Mahmud sambil mengharap mereka akan diberikan jawatan Ketua Menteri Sarawak. Mereka sanggup menunggu peralihan kerusi dari Taib kepada mereka sampai punggung berakar seperti pohon jejawi.
Wajah anak muda itu sekali lagi menjadi keruh dengan jawaban telus dari saya itu. Jenderal berkenaan juga menjadi lebih diam. Beberapa saat dia seakan merenung ke dalam dirinya.
"Macam mana pula dengan sokongan orang Melayu ke seluruhnya, bang?" dia mengalih topik untuk melihat kepada politik orang Melayu. Pertanyaan ini menarik dan memberikan saya peluang membuat konklusi kepada persoalan berhubung jaya atau gagal Pakatan Rakyat untuk rampas Malaysia.
"Dalam perhatian saya orang Melayu keseluruhnya masih menyokong BN, khasnya Umno. Kedudukan atau prestaj kalau boleh saya sebut kira-kira 62 hingga 65 peratuas orang Melayu masih setia dengan Umno. Ini bermakna sekitar 38 atau 35 peratus menyokong Pakatan Rakyat. Jadi dengan angka ini ertinya Pakatan Rakyat hanya boleh merampas paling tinggi 40 kerusi Melayu daripada jumlah semuanya 150 kerusi.
"Kita andailah dari 42 kerusi Cina berjaya dirampas oleh DAP secara mutlak 42 kerusi manakala kerusi campuran sebanyak 30 disecara mutlak dirampas oleh Pakatan Rakyat dan kerusi Melayu diperolehi 40 kerusi, ia akan menjadi 40 + 42 + 30 = 112. Jumlah ini belum cukup untuk PR menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah 113 kerusi," ujar saya.
Afdalnya kata saya dengan situsi dan kondisi itu Pakatan Rakyat perlu menambahkan antara 3 hingga 5 peratus lagi undi Melayu bagi memperolehi sekurang-kurangnya lima kerusi lagi bagi mengenapkan 112 atau lebih untuk membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan secara mudah.
Anak muda berkenaan terdiam sejenak kemudian mengangguk-angguk seolah-olah faham dengan apa yang saya jelaskan. Lantas beliau bertanya, bagai mana strategi untuk menambah peratus berkenaan. "Apa caranya yang abang fikir?" Tekan beliau serius matanya dicerlung ke wajah saya.
Persoalan itu mencabar minda saya. Dalam pada itu anak muda berkenaan mengemukakan cadangan dan bertanya siapakah tokoh yang boleh dibawa ke tengah masyarakat untuk meraih undi Melayu sebagai tambahan. Cadangan itu baik tetapi saya sendiri tidak nampak siapakah mereka buat masa ini.
Bekas pegawai kerajaan yang sudah bersara tidak mudah untuk dijadikan alat politik kepada mana-mana pihak apa lagi Pakatan Rakyat. Mereka lebih senang dengan kedudukan mereka hari ini bersama anak dan keluarga di samping memakan wang persaraan. Bagi mereka soal bangsa dan negara boleh diurus oleh orang lain. Perkhidmatan mereka beberapa tahun sebelum ini sudah cukup sebagai sumbangan mereka kepada negara, walaupun kemudahan pencen dan sebagainya mereka mahu diberikan sampai mati dan diwarisi anak cucu tujuh keturunan.
Agak sukar untuk mencari ikhtiar bagaimana untuk tambahkan peratus Melayu itu. Pemikiran dan sikap orang Melayu kini seakan sudah dikunci oleh Umno menerusi berbagai isu berkaitan bangsa dan agama yang dimainkan. Isu-isu kalimah Allah, kedudukan agama Islam, ancaman Kristian, soal patrotisme atau tidak serta isu-isu berbentuk provokasi sekiranya Pakatan Rakyat menang negara akan jadi huruhara, pemerintah akan bertukar tangan kepada orang kafir dan sebagainya, dimakan oleh Melayu yang akalnya takah tujuh dan mereka (Melayu) yang tidak mendapat akses maklumat dari media bebas.
Saya menyebut salah satu cara bagi mengatasi kekurangan ini Pakatan Rakyat kena tumpukan kepada pengundi muda yang pertama kali akan mengundi. Bilangan mereka lumayan juga kira-kira 3 juta. Andainya 2 juta pengundi muda mengambil bahagian ia boleh mengubah suasana. Mereka ini harus didekati, diberi kefahaman sebaik mungkin. Sementara pemikiran mereka masih belum tepu dengan pemberian wang poket pilihan raya, mereka boleh diajak membantu ke arah menukar kerajaan secara rasional dan bertanggungjawab.
Selain entiti itu yang boleh membantu memberi undi cukup kepada Pakatan Rakyat, ialah seorang tokoh atau ahli politik bernama Tengku Razaleigh Hamzah. Kehebatan dan pengaruh Tengku Razaleigh tidak boleh dikesampingkan. Beliau mempunyai kekuatan dan penyokong tersendiri. Pengaruhnya ada di seluruh negara. Kalau pun beliau tidak dapat memberi sumbangan langsung dalam bentuk kerusi tetapi penyokonganya boleh memenangkan kerusi-kerusi yang margin Melayu.
Ahli Umno yang ikhlas dalam perjuangan bersama Tengku Razaleigh kerana mereka merasakan beliau orang yang ikhlas dalam perjuangan. Mereka ini setia dan sedia menuruti apa yang Tengku arahkan. Jadi Tengku Razaleigh boleh dijadikan pemanggil untuk meraih sokongan Melayu kepada Pakatan Rakyat. Jumlah yang dikehendaki itu sebanyak 5 persen boleh diperolehi daripadanya.
Persoalannya macam mana hendak pastikan Tengku Razaleigh akan memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat? Apakah beliau bersetuju begitu saja tanpa dikenakan apa-apa bayaran ufti? Tengku juga ada agendanya tersendiri dan seorang yang berprinsip. Nah, sekarang ini terpulang maklumkan kepada Pakatan Rakyat, bagaimana untuk mendapat sokongan dan undi Melayu yang berada di tangan Tengku Razaleigh Hamzah itu?
Perundingan boleh dijalankan dan kalau kena gaya, dan lagu rasanya Tengku Razaleigh tidak akan 'kupik' untuk menghulurkan bantuan dan sokongan. Makenismenya macam mana? Ini yang perlu diwacanakan. Bagi saya, saya cukup yakin Tengku Razaleigh ada kekuatan tersendiri untuk memenangkan Pakatan Rakyat dan begitu juga sebaliknya mengalahkan Barisan Nasional. Jadi Tengku Razaleigh adalah pengadil yang boleh diajak berunding
Tiada ulasan:
Catat Ulasan