Dr Rashidi
AnalisisAssalamualaikum
Surat ini aku tujukan kepada semua peminat politik di Kedah khususnya dan di seluruh Malaysia amnya. Tulisan aku ini hanya satu pandangan ke atas banyak perkara yang berlaku kebelakangan ini dalam PAS di negeri Kedah Darul Aman sehingga menyebabkan empayar yang cuba diperkukuhkan tersembam menyembah bumi.
Aku hanya seorang peminat politik dan tidak pernah terlibat dalam politik kepartian secara langsung. mungkin penulisan aku tidak begitu baik dan tersusun
Selepas memenangi Kedah pada 2008, PAS diberi keyakinan menerajui kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah. Ustaz Azizan, satu sosok tubuh yang sebenarnya tak begitu dikenali ramai dimahsyurkan sebagai Menteri Besar. Ketika itu, tidak ada seorang pun di kalangan ahli PAS yang membantah, malah bersetuju sebulat suara melantik beliau sebagai MB. Aku amat yakin bahawa pada ketika tersebut, beliau diberi sokongan penuh untuk menerajui Kerajaan Kedah. Rupanya panas tidak sampai ke petang kerana hujan di tengahari.
Telah wujud 'pakatan' di dalama Pakatan (PR) bagi menggantikan Ustaz Azizan di tampok pentadbiran. Pelbagai perencanaan dibuat, pelbagai perancangan di atur dengan rapi dan teliti. Maka bermula lah episod hitam dalam PAS Kedah sedangkan sebelum itu, tidak nampak sebarang ketegangan di peringkat atasan mahupun di bawahan.
Aku lalu bertanyakan beberapa sahabat mengenai apa yang berlaku dan apa isu sebenarnya, namun tidak pernah berjumpa dengan jawapan yang memuaskan. Kebanyakannya berkitar sebagai satu tuduhan yang mungkin berasas, tetapi hanya pada cakapan sahaja dengan tidak disertakan bukti atas setiap perkataan. Aku juga sering berinteraksi melalui facebook bertanyakan hal yang sebenar, pun tiada jawapan kukuh diberikan mengapa Ustaz Azizan perlu digantikan. Ada jawapan yg aku perolehi iaitu sebab Ustaz Azizan bersifat 'cengei' (garang), satu jawapan yang menggelikan hati kecil aku.
Satu jawapan yang aku tidak boleh terima iaitu dikaitkan dengan projek-projek yang dikatakan dianugerahkan kepada ahli UMNO. Jawapan tersebut membuatkan aku terfikir adakah PAS juga mengamalkan politik 'balas dendam'?. Kita sedia maklum sepanjang UMNO mentadbir, agak sukar ahli PAS mendapatkan projek dari kerajaan kerana amalan kronisme, tetapi adakah PAS juga sekarang ambil sikap yang sama apabila menjadi kerajaan?. Aku cuba bertanyakan kebenarannya dari sumber-sumber tertentu, aku dapati dakwaan tersebut tidak berasas dan tidak boleh diterima sebagai satu alasan menggantikan Ustaz Azizan sebagai MB.
selepas itu, pelbagai alasan dikemukakan. Antaranya alasan kesihatan beliau serta alasan bahawa beliau telah menjadi proksi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ustaz Azizan juga dikatakan menerima nasihat dari mantan PM tersebut serta bantuan-bantuan lain. Sekali lagi aku tersentak dengan alasan politik sempit sebegini. Adakah di kalangan ahli PAS ini mengamalkan politik pembangkang dalam kerajaan hinggakan berhubungan dengan seteru politik adalah satu dosa.
Sedangkan pada pandangan ramai sesebuah kerajaan itu perlu bersifat neutral dalam melayan rakyatnya. Kehadiran Ustaz Azizan ke program 1M4U dijadikan topik dan bukti bahawa Ustaz Azizan bersekongkol dengan UMNO, sedangkan dalam lipatan sejarah pentadbiran PAS di Kelantan juga acapkali Tuan Guru Menteri Besar hadir ke majlis dianjurkan oleh Kerajaan Pusat di bumi Kelantan sekiranya menerima jemputan. Politik diamalkan oleh Tuan Guru Nik Aziz adalah politik bersifat universal yang amat dekat dengan akhlak Islam, maka begitu juga diamalkan oleh Ustaz Azizan yang dijemput secara rasmi ke majlis tersebut atas kapasitinya sebagai seorang Menteri Besar. Dari mulut seorang sahabat (ahli UMNO) yang turut hadir ke majlis tersebut memuji Ustaz Azizan atas profesionalisma yang ditunjukkan beliau terutama apabila diberi peluang berucap.
Beliau dikatakan tidak langsung menghentam kerajaan pusat, malah pada masa yang sama mempromosikan kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS. Kata sahabat itu lagi, kehadiran ahli dan penyokong UMNO di majlis tersebut tidak menggusarkan Ustaz Azizan menyampaikan dakwahnya dan pada masa yang sama juga, ucapan pemimpin UMNO pada majlis tersebut langsung tidak menyentuh atau menghentam kerajaan negeri. Cuba bayangkan jika Ustaz Azizan tidak hadir pada majlis seperti tersebut? Sudah tentunya ia akan digunakan sebagai pentas menghentam kerajaan negeri.
Berbalik kepada isu pertentangan yang semakin nyata di peringkat atasan, ia telah merebak ke bawah ke peringkat PAS Kawasan. Sudah ramai yang mula berani menunjukkan belang dan taring. Beberapa Kawasan telah mengalami perpecahan dan perbezaan yang ketara. Maka bermula lah era 'perang dingin' dalam PAS dan menjadi semakin panas menjelang hampirnya pilihanraya.
Antara pentadbiran kawasan yang bermasalah seperti Pendang, Jerlun, Baling, Sik, Kulim/Bandar Baharu dan melibatkan Dun yang PAS bertanding seperti Dun Merbau Pulas, Dun Pantai Merdeka, Dun Kota Seputih dan beberapa lagi. Hampir kesemuanya melibatkan pertentangan dalaman yang belegar disebalik topik calon PRU 13. Wujud perbuatan lobi melobi, cantas mencantas hingga ada yang sudah berani mengingkari arahan dan nasihat pimpinan PAS Pusat.
Aku juga diceritakan ada ahli-ahli yang dulunya bersifat akur, walak dan setia kepada keputusan atasan sudah berani menafikan arahan hingga wujud rombongan-rombongan tertentu ke pejabat PAS Pusat bertemu mata dengan Tuan Guru Presiden dan Setiausaha Agung. Perbuatan lobi melobi ini berterusan hinggalah ke hari akhir sebelum penamaan calon.
Ahli PAS yang dulunya dikenali sebagai ahli yang setia kepada keputusan pimpinan sudah hilang arah panduan, hilang jatidiri ahli PAS yang memperjuangkan konsep kepimpinan ulama, ikhlas dan akhlak. Sedikit sebanyak ianya dipengaruhi oleh kemenangan, perebutan kuasa dan ringgit berlaku walaupun cuba disembunyikan, namun berjaya juga dihidu oleh penyokong seperti aku.
Sesetengah pihak melihat ianya sebagai satu kegagalan Ustaz Azizan selaku Pesuruhjaya PAS Negeri dalam meredakan keadaan. Tetapi sudut pandangan aku berbeza. Padaku kegagalan ahli di peringkat Kawasan untuk mematuhi apa yang telah diputuskan adalah punca utamanya. Jika keputusan PAS Pusat yang telah memutuskan calon-calon tertentu juga diengkari, maka apa lah halnya dengan arahan dari Pesuruhjaya Negeri, sudah tentu langsung tidak dihormati.
Tindakan pihak-pihak berkepentingan ini telah banyak melemahkan jentera pilihanraya di semua peringkat. Tidak seperti di Selangor, gerakerja mereka amat tersusun. kemasukan pendaftaran pemilih yang diragui segera dibuat bantahan, tetapi tidak di Kedah. Di Dun aku sendiri, peningkatan mendadak pengundi langsung tidak diendahkan oleh jentera pilihanraya DUN melainkan mereka hanya sibuk bercakap mengenai penyelewengan UMNO serta bakal calon yang ingin diketengahkan. Hampir di kebanyakan tempat yang aku singgah bercerita mengenai penyelewengan begitu begini oleh SPR dalam pilihanraya, tetapi aku tidak pernah nampak sebarang usaha bagi menghalang penyelewengan itu berterusan sebagaimana dibuat di Negeri Selangor.
Ini lah PAS yang hanya banyak bersembang dari buat kerja. Sebagai contoh, pada sepanjang tempoh berkempen, ramai petugas parti yang masih terkial-kial untuk memahami tugasan sedangkan aku dimaklumkan bahawa penerangan sudah berkali-kali dibuat, tetapi kehadiran amat tidak memuaskan. Aku juga difahamkan ada petugas yang dilantik secara tangkap muat yang tidak pernah menghadiri sebarang kursus dan dilantik pada saat akhir. Amat lah menghairankan kerana dilihat di semua markas PAS pada setiap malam amatlah riuh dan ramai. Ini terbukti apabila seorang sahabat aku yang masih mempunyai keahlian UMNO dilantik sebagai petugas 'polling' bagi pihak PAS hanya kerana dia selalu mengunjungi markas PAS di perumahannya. Sedangkan pula di kawasan perumahan aku, dimaklumkan aku tidak boleh bertugas mewakili parti kerana aku bukan ahli.
Sebenarnya masih banyak isu yang menjadi faktor kepada kejatuhan PAS Kedah. Aku tidak menyalahkan UMNO kerana sudah jadi adat pertandingan iaitu saling ingin jatuh menjatuhkan. Tetapi tidak menjadi adat di dalam PAS perbuatan cantas mencantas hingga ada yang berkata 'serah balik kat UMNO pun tak mengapa'. Kebanyakan apa yang diceritakan di atas adalah dari sumber yang aku kutip dari penyokong semua team dan juga melalui hubungan baik aku dengan rakan-rakan aku di dalam UMNO.
Kesimpulannya, minat aku terhadap politik Islam cara PAS di Kedah sudah semakin pudar kerana ahli-ahlinya tidak bersungguh dalam mengamalkan politik Islam dengan akhlak Islam yang sebenar. Sungguhpun begitu, aku akan terus memerhati dengan perlantikan Dato Mahfuz Omar sebagai Pesuruhjaya Negeri yang baru yang diharapkan dapat membawa satu perubahan baik dalam PAS Kedah. Tetapi, bukan dibahunya seorang tertanggung segala persoalan dan jawapan selagi ahli-ahli tidak berubah sikap dan kiblat walak mereka kepada satu kepimpinan, maka perpecahan akan terus melebar dan membesar. Selagi ahli meletakkan kesetiaan mereka kepada satu-satu individu, PAS Kedah akan terus kucar kacir bak menunggu belah sesudah lama retak.
azizan bodoh sombong....pengundi cina tak sokong pas.
BalasPadam