Kenyataan Media DPP Puchong: AMK Jangan Biadap!!!

tombey

1). Senario terkini berhubung kenyataan biadap Shamsul Iskandar Mat Akin yang secara terang-terangan menyerang dan menyelar Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) amat dikesali lebih-lebih lagi kenyataan tersebut telah dilaporkan oleh Malaysian Insider pada 24 Mei 2013.

2). Ketidakpuasan hati beberapa pimpinan PKR ini secara sinis boleh dilihat dalam rentetan kenyataan tidak wajar seperti isu kerusi bertindih sewaktu PRU 13 yang lepas terutamanya kerusi DUN Kota Damansara dan isu pemilihan Menteri Besar.

3). Dewan Pemuda PAS Puchong hairan bagaimana kenyataan biadab ini boleh dituturkan oleh beliau yang sebelum ini kelihatan cerdik dan sangat memahami susila persefahaman politik yang telah terbina sekian lama. Malangnya beliau mengambil jalan mudah dan popular “membelasah” Presiden PAS agar dilihat hebat oleh anak-anak buahnya dengan menyatakan Tuan Guru Presien PAS seorang pimpinan yang benak.

4). Dewan Pemuda PAS Puchong berpandangan sepatutnya Kongres yang tiada pemilihan tersebut menjadi medan muhasabah AMK bagi menilai prestasi merudum PKR semasa PRU13 yang lepas dan menjadi ruang penambahbaikan pengurusan organisasi ranting dan cabang PKR seluruh Malaysia.

5). Umum mengetahui pasca PRU 13 kemelut dalaman PKR bergelojak akibat pertembungan antara Timbalan Presiden dan beberapa orang pucuk pimpinan PKR dalam isu pemilihan Menteri Besar Selangor yang menyaksikan siri-siri kenyataan media menyalahkan pihak lain daripada melihat kelemahan PKR sendiri.

6). Isu watikah kerusi DUN Kota Damansara, kami Dewan Pemuda PAS Puchong bersama dengan tindakan Presiden yang memberi sokongan penuh untuk calon PAS bertanding di kerusi DUN tersebut. Sudah tentulah keputusan besar tersebut telah ditimbang oleh Tuan Guru Presiden agar selaras dengan perjuangan PAS dan Islam itu sendiri seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Apakah AMK tidak boleh membuat pertimbangan keutamaan antara Presiden PAS, yang berada di dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat berbanding memberi keutamaan kepada calon import yang hanya sekadar menumpang logo parti sahaja yang tidak berada di dalam Pakatan Rakyat dan pada masa yang sama parti calon import ini berlawan dengan PKR di Semenyih.

7). Oleh itu Dewan Pemuda PAS Puchong mendesak Shamsul Iskandar Mat Akin agar membuat permohonan maaf atas ketelanjuran beliau mengaibkan Presiden PAS dan kami bimbang jika selepas ini berlaku pula hentaman-hentaman kepada Ketua Umum PKR. Kami pemuda PAS juga punya tahap kesabaran yang terbatas kalau sekiranya Tuan Guru Presiden terus-terusan dihendik seperti ini oleh ahli komponen Pakatan Rakyat sendiri. “Jangan kerana guruh dilangit, air setempayan dicurahkan”.

Mohd Rosharizan Mohd Rozlan
Ketua Dewan Pemuda PAS Puchong
16 Rejab 1435 H - 26 Mei 2013 M

Tiada ulasan:

Catat Ulasan